Categories
AGENDA NASIONAL

JKM, Pertubuhan Sukarela Kebajikan bincang isu OKU

PUTRAJAYA, 26 FEB: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan sesi libat urus bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada golongan itu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi kenyataan memaklumkan objektif sesi libat urus itu ialah memberi penerangan berkaitan penambahbaikan perkhidmatan OKU dan pelaksanaan program rintis bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau dikenali sebagai JKMPay.

“Perbincangan banyak menyentuh mengenai JKMPay. Penjelasan mengenai siapa yang terlibat dalam program JKMPay, bagaimana ia dilaksanakan dan apakah perkhidmatan yang disediakan di bawah JKMPay telah dijelaskan secara terperinci,” menurut kenyataan itu.

KPWKM menjelaskan JKM akan terus memantapkan proses pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) di bawah Pemangkin Dasar Empat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu mempercepat penyampaian perkhidmatan awam supaya keberhasilan perkhidmatan dapat memberikan kesejahteraan rakyat seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Menurut kenyataan itu, KPWKM juga mengambil maklum isu-isu berbangkit kumpulan sasar kementerian dengan menggunakan pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Nation’ supaya penggemblengan tenaga pelbagai pihak seperti PSK, agensi, korporat, pemimpin tempatan dan komuniti dimanfaatkan bagi menjayakan program khususnya penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada kumpulan sasar.

-BERNAMA

300 orang miskin serbu JKM setiap hari

Akademi Belia menemukan Dapur Jalanan, Lawyers for Liberty dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencerakinkan isu gelandangan dalam bentuk yang lebih mudah difahami

Skim Bantuan Asuhan Rakyat ( SI KEMBAR)

SKIM BANTUAN ASUHAN RAKYAT atau SI KEMBAR dikhaskan untuk kanak-kanak yang berusia 4 tahun ke bawah yang dihantar ke Taman Asuhan Kanak-kanak atau Nurseri di Selangor.

Ibu bapa yang layak dan memenuhi syarat akan menerima bantuan yuran TASKA anak-anak mereka sebanyak RM100 setiap bulan. Bantuan yuran tersebut akan dibayar terus kepada TASKA atau Nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja. Skim ini terhad kepada 2 orang anak yang berumur 4 tahun kebawah.

Categories
NASIONAL

Masih ramai tidak tahu ada tabung mangsa serangan binatang buas

KUCHING, 6 Mac: Masih ramai di negara ini tidak tahu mangsa serangan binatang buas boleh memohon bantuan menerusi tabung khas yang diwujudkan pada 2005, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

haiwanKatanya bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas, Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas membantu 348 mangsa di seluruh negara membabitkan jumlah RM1.7 juta.

Kedah mencatatkan penerima terbanyak dengan 123 orang, diikuti Kelantan (69), Sarawak (43), Terengganu (30), Perak (19), Perlis (14), Pahang (13), Negeri Sembilan (12), Selangor (8), Melaka dan Sabah (masing-masing 5), Johor (4) dan Pulau Pinang (3), katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata kes paling banyak membabitkan serangan ular (190 kes), buaya (42), babi hutan (36) dan beruang (2).

Dalam usaha meningkatkan lagi perlindungan, bermula tahun lepas liputan tabung itu diperluas kepada serangan haiwan akuatik seperti ikan pari dan obor-obor, katanya.

“Kadar bantuan berdasarkan kepada tahap kecederaan yang dialami mangsa dengan kadar maksimum RM20,000 bagi mangsa yang meninggal dunia, koma atau hilang upaya kekal. Bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan,” katanya.

Tabung yang diluluskan Kabinet pada 2004 itu diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertanggungjawab menyediakan laporan terperinci kes untuk dijadikan asas permohonan bantuan.

Antara binatang yang melayakkan mangsa menerima bantuan ialah gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa dan primat (beruk, kera, siamang, ungka, lotong dan kongkang). (Bernama)

Categories
SELANGOR

Lebih Setengah Juta Telah Dibelanjakan Untuk Bantuan Pra Sekolah

Skim Tunas Selangor Tadika Padang Jawa 08

SHAH ALAM 3 APRIL : Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM 600,000 untuk memberi bantuan Tadika dan Taska kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan serta tindakan pihak tertentu yang menyaman Kerajaan Negeri kerana kononnya gagal menunaikan janji pilihanraya 2008 untuk memberi bantuan pra sekolah.

Bagi tahun 2012, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) yang mula dilancarkan pada Julai tahun itu berjaya menarik penyertaan seramai 1,903 kanak-kanak daripada 217 buah tadika yang menyertai skim tersebut.

Tahun lalu, RM 210,475 dibelanjakan untuk skim Tunas, di mana keluarga berpendapatan RM 1,500 mendapat RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka ke tadika.

Skim Tunas Selangor Tadika Padang Jawa 05Namun, atas permintaan masyarakat, tahun ini Kerajaan Negeri menaikkan syarat itu kepada keluarga yang berpendapatan RM 2,500 sebulan.

Syarat kelayakan baru itu berjaya menarik 2,420 kanak-kanak daripada 406 buah tadika sehingga hujung Mac lalu dengan peruntukan berjumlah RM 430,220.

Bagi Skim Si Kembar pula, bermula awal tahun ini sehingga Mac lalu, seramai 164 kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada 34 buah taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, saman tersebut tidak seharusnya timbul kerana bantuan sudahpun disalurkan.

“Ramai yang layak dan memenuhi syarat sudahpun menerima manfaat daripada inisiatif Skim Bantuan Tunas ini.

“Kita pastinya akan teruskan skim ini pada masa-masa akan datang dengan penambahbaikan agar rakyat terus memperoleh manfaat daripada program ini,” jelasnya.