Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Letusan Sinabung tidak jejas kualiti udara Malaysia hujung minggu

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Khabar mengenai kesan debu gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia akan menjejaskan kualiti udara di Malaysia sehingga hujung minggu ini adalah tidak benar, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam satu kenyataan semalam berkata debu daripada letusan pada 10 Ogos itu tidak lagi memberi sebarang kesan kepada negara.

“Malahan sebelum ini, ia hanya menjejaskan operasi penerbangan tetapi tidak menjejaskan kualiti udara,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai isu berkenaan, sebaliknya perlu sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui lama web rasmi, dan aplikasi myCuaca.

Menurutnya pada ketika ini gunung berapi Sinabung masih lagi aktif dan boleh meletus semula pada bila-bila masa.

Isnin lepas, gunung berapi itu meletus pada pukul 11.37 pagi yang menyaksikan asap debu letusan itu memasuki ruang udara negeri Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang, namun ia tidak menjejaskan kualiti udara negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca lembap dijangka berterusan sehingga hujung Julai

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Negara akan mengalami keadaan cuaca lembap dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon.

Beliau memberitahu Bernama, jangkaan itu adalah berdasarkan intensiti Monsun Barat Daya tahun ini yang dikesan lemah berbanding biasa dan menyebabkan cuaca lembap berlaku pada bulan Jun dan Julai yang kebiasaannya kurang hujan.

Mengenai keadaan cuaca semasa, hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan Jailan berkata, ia adalah akibat daripada penumpuan angin Tenggara dan angin Barat Daya di selatan Semenanjung serta angin Barat Daya dan angin Barat Laut di utara Semenanjung.

“Keadaan ini juga berlaku serentak dengan air pasang yang sejak awal pagi tadi. Bagaimanapun, cuaca lembap itu dijangka berkurangan menjelang lewat petang ini,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, kawasan pesisir pantai barat Semenanjung berpotensi berlaku hujan lebat serta ribut petir (garis badai), pada awal pagi akibat daripada penumpuan angin barat daya.

Pada sebelah petang pula, keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di kawasan pedalaman negeri Perak, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

MetMalaysia meminta penduduk di kawasan rendah yang biasa dinaiki air, untuk lebih berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat, serta menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil, sekiranya berlaku bencana dan segera berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan cuaca dan amaran cuaca, orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Letusan Gunung Merapi, Indonesia dijangka tidak jejas Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Letusan gunung berapi yang berlaku dua kali di Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia pagi tadi, dijangka tidak menjejaskan kualiti udara Malaysia walaupun debunya mencapai sehingga 6,000 meter ke udara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata ini kerana angin pada paras debu itu bertiup ke arah selatan dan barat daya, malah tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara ini.

“Keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata sehingga 7.00 malam ini, empat lokasi di bandar utama menunjukkan bacaan IPU antara 0 hingga 50 atau kategori baik iaitu Seremban, Negeri Sembilan (47); Kota Tinggi, Johor (48); Kota Kinabalu, Sabah (21); dan Kuching, Sarawak (18).

Tujuh kawasan merekod kualiti udara sederhana, bacaan IPU melebihi 51 hingga 100 iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur (56); Petaling Jaya, Selangor (54); Putrajaya (52); Bandaraya Melaka, Melaka (51); manakala masing-masing mencatat bacaan 58 di Tasek Ipoh, Perak; Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Dilaporkan, Gunung Merapi meletus pada 10.13 pagi dan 10.27 pagi tadi.

Sehingga kini, Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan (BPPTKG) Yogyakarta masih menetapkan status Gunung Merapi pada tahap waspada.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan, ribut petir diramal di seluruh negara minggu ini

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Fasa peralihan monsun yang membawa hujan dan ribut petir diramal berlaku melibatkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang minggu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, fasa peralihan monsun itu tidak membawa banjir besar, sebaliknya berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Katanya hujan lebat hanya berlaku pada waktu petang di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Hujan dan ribut petir memang lumrah atau biasa berlaku semasa musim peralihan monsun.

“Biasanya negeri-negeri di pantai barat Semenanjung dan pedalaman pantai timur serta barat Sabah dan Sarawak memang akan mengalami hujan atau ribut petir pada sebelah petang atau awal malam semasa musim peralihan monsun ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jailan berkata, Monsun Timur Laut dijangka bermula pada hujung minggu ini atau awal minggu hadapan dan sepanjang waktu itu, kemungkinan beberapa kawasan akan mengalami banjir.

Beliau berkata, hujan lebat turut dijangka berlaku antara pertengahan November hingga hujung Disember di Kelantan dan Terengganu manakala Pahang dan Johor akan mengalami keadaan sama pada Disember hingga awal Januari.

“Pada awal Januari hingga Februari nanti hujan (dijangka) beralih ke Sarawak dan Sabah,” katanya.

– BERNAMA