Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia catat momentum naik, prestasi positif

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pasaran tempatan meneruskan momentum kenaikan semalam apabila Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hampir kesemua indeks hari ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 1.78 mata kepada 1,502.13 ,

Indeks utama itu dibuka 5.13 mata lebih tinggi kepada 1,505.48.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 212 berbanding 155, sementara 263 kaunter tidak berubah, 1,520 kaunter tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 250.99 juta unit bernilai RM178.59 juta.

Penganalisis berkata indeks itu dijangka kekal pada prestasi positif, disokong oleh pembelian semasa harga rendah yang berterusan namun pergerakan dalam jajaran kecil.

“Pelabur institusi ketika ini menjalankan pembelian semasa harga rendah ke atas saham-saham yang mengalami penurunan manakala kebanyakan pelabur runcit tidak memasuki pasaran bagi menunggu hala tuju pergerakan seterusnya.

“Ini boleh dilihat menerusi penurunan jumlah unit yang bertukar tangan sejak awal minggu ini,” katanya.

Beliau berkata dari sudut unjuran teknikal, pergerakan KLCI akan berada dalam jajaran kecil hari ini dengan paras rintangan serta-merta pada 1,510 manakala paras sokongan pada 1,485.

Antara saham berwajaran tinggi, Hartalega menambah 16 sen kepada RM18.44, Sime Darby naik lima sen kepada RM2.45, Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM16.16, Sime Darby Plantation and Dialog masing-masing menokok tiga sen kepada RM4.90 dan RM3.73.

Hartalega dan Petronas Gas muncul sebagai saham paling untung selain Pasifik Malaysia yang melonjak 34 sen kepada RM22.88 dan Kuala Lumpur Kepong yang menambah 10 sen kepada RM22.46.

Kalangan saham aktif, Tech Vivocom naik setengah sen kepada lima sen dan Pestaiang menokok sembilan sen kepada 50 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 16.97 mata kepada 10,885.04, Indeks FBMT 100 meningkat 14.01 mata pada 10,690.12 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 33.16 mata kepada 13,068.65.

Sementara itu, FBM 70 meningkat 24.01 mata kepada 14,357.05 dan FBM ACE susut 2.13 mata kepada 10,003.20.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.77 mata kepada 12,306.15, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.06 mata kepada 144.80 dan Indeks Perladangan menambah 26.24 mata kepada 6,967.81.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar dasar semalam dijangka pengaruhi ringgit

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan memandangkan pelabur menunggu keputusan bank pusat berhubung kadar dasar semalam (OPR) seterusnya.

Penganalisis berkata pengumuman itu akan menjadi faktor dalam menentukan kedudukan ekonomi bagi beberapa bulan akan datang dengan tempoh moratorium perbankan akan berakhir pada September ini.

“Berdasarkan pasaran pekerjaan tempatan yang mengalami kesukaran dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan kemelesetan juga masih membelenggu keadaan, pengurangan lagi OPR dijangka dilaksanakan untuk meningkatkan mudah tunai kewangan serta melengkapkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

OPR Malaysia kini berada pada 2.00 peratus, terendah sejak Krisis Ekonomi Global 2008-2009, dan menurut nota penyelidikan, Bank Negara Malaysia mungkin mengurangkan 25 mata asas lagi menjadi 1.75 peratus untuk melindungi ekonomi selepas mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19.

Mengenai pelaburan asing, beliau berkata mata wang tempatan kini diniagakan dalam mod tidak banyak berubah susulan ketidaktentuan pasaran global akan berterusan, oleh itu pelabur menangguhkan untuk menetapkan semula pegangan masing-masing.

“Pasaran minyak global kekal tidak berubah pada US$40 setong kerana permintaan masih lembap selepas ekonomi mulai dibuka kembali. Selagi logistik dan perjalanan udara masih disekat, permintaan akan kekal suram,” katanya.

Bagi prestasi mingguan, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.2840 2900 ketika ditutup pada Jumaat, daripada 4.2890/2930 semasa penutupan pada Jumaat minggu lepas.

Unit tempatan juga naik berbanding dolar Singapuran kepada 3.0718/0766 daripada 3.0827/0865 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9855/9918 daripada 4.0114/0155.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3332/3423 daripada 5.3124/3190 minggu lepas namun stabil berbanding euro kepada 4.8101/8185 daripada 4.8118/8167.

-BERNAMA