Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai ditipu, waspada aplikasi palsu Bank Negara

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan aplikasi MyBNM, yang telah ditamatkan penggunaannya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada November tahun lepas, digunakan sebagai alat untuk menipu orang ramai.

Aplikasi MyBNM, merupakan satu kemudahan dalam talian yang pernah disediakan pihak BNM bermula November tahun 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa dalam kes-kes ini akan dihubungi oleh pihak yang akan menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguatkuasa, termasuklah pihak BNM.

Beliau berkata mangsa kemudiannya akan diminta untuk memuat turun aplikasi MyBNM yang palsu, dan melalui aplikasi itu, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat seperti nama, nombor kad dan pin ATM, nama pengguna dan kata laluan.

“Setelah memperoleh maklumat itu, sindiket akan membuat pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga (keldai akaun),” katanya dan menambah mangsa hanya sedar ditipu setelah menyedari wang di dalam akaun milik mereka berkurang.

Berdasarkan rekod sepanjang tahun 2020, beliau berkata sejumlah 53 kes telah dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM1.19 juta, manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun 2021, jumlah kes yang dicatatkan telah meningkat kepada 57 kes, melibatkan kerugian RM1.7 juta.

“Bagi menangani peningkatan ini, tindakan pembanterasan dan pencegahan yang melibatkan usaha sama antara PDRM serta kesedaran masyarakat perlu dilaksanakan, dengan lebih efektif.

“Di peringkat PDRM, JSJK komited untuk melipat gandakan usaha, khususnya daripada aspek siasatan badan operasi,” katanya.

Beliau berkata di pihak masyarakat, PDRM menyeru agar aspek pencegahan jenayah yang merangkumi ilmu pegetahuan, kewaspadaan dan sebagainya, sentiasa dititikberatkan.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan yang dikatakan daripada pihak penguatkuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis atau bank, yang diminta untuk memuat turun atau mendaftar dalam aplikasi MyBNM. Jangan klik mana-mana pautan, memuat turun apa-apa aplikasi mudah alih yang tertera nama MyBNM atau logo BNM,” katanya.

Zainuddin meminta orang ramai agar membuat semakan pengesahan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘semak mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi.

Selain itu, hubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-261-1559/03-26101599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KDNK dijangka kembang 0.5 peratus pada suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat sebanyak 0.5 peratus suku ke suku pada suku pertama 2021 (Q1 2021) berbanding penguncupan 0.3 peratus yang dilihat pada suku keempat 2020, demikian menurut Moody’s Analytics.

Ia berkata walaupun Malaysia berhadapan dengan kemunculan semula yang teruk kes Covid-19 yang memuncak pada Februari dan sekatan lebih ketat yang membantutkan pemulihan penggunaan domestik, ekonomi telah mendapat keuntungan daripada kedudukan perdagangan yang agak kukuh.

Eksport disokong oleh pemulihan permintaan global untuk barang-barang pembuatan dan dirangsang oleh lonjakan permintaan global untuk semikonduktor.

“Kami menjangkakan kenaikan daripada permintaan luaran yang mendorong sebahagian besar pertumbuhan pada suku bulan Mac,” katanya dalam catatan hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus dalam pengumuman Mei 2020 – tahap terendah dalam tempoh lebih daripada 10 tahun.

Pada Mac 2021, pengeluaran perindustrian Malaysia meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun, pengeluaran pembuatan melonjak 12.7 peratus tahun ke tahun dan elektrik mengembang 10.3 peratus tahun ke tahun sementara output perlombongan menguncup 1.9 peratus tahun ke tahun.

“Memang benar bahawa kenaikan eksport yang cukup besar pada suku bulan Mac telah berjaya mengimbangi kelemahan dalam penggunaan domestik yang mana pengeluar mendapat keuntungan daripada pemulihan permintaan global untuk barang-barang pembuatan sementara kedudukan bersih diperkuat oleh permintaan global untuk semikonduktor dan pemulihan harga komoditi,” katanya.

Sementara itu, Moody’s Analytics turut maklum dengan rangsangan fiskal dan monetari yang besar disediakan sejak awal tahun 2020, penggubal dasar turut kehabisan ruang untuk akomodasi selanjutnya.

“Mengumumkan satu lagi penurunan kadar di tengah-tengah kebangkitan tidak hanya akan menyaksikan daya tarikan yang terbatas dalam mengurangi permintaan, tetapi berisiko lebih tinggi untuk mencetuskan aliran keluar modal.

“Ini seharusnya menjadi risiko tambahan yang perlu diberi perhatian oleh BNM,” tambahnya.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi pertumbuhan suku pertama 2021 pada Selasa, 11 Mei.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Bursa Malaysia memulakan urus niaga minggu yang singkat ini tinggi sedikit dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur menjelang pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara untuk suku pertama 2021 dan cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.23 mata kepada 1,587.68 daripada 1,587.45 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka 0.03 mata tinggi pada 1,587.48.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2021 pada Selasa.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 267 berbalas 163 sementara 304 kaunter tidak berubah, 1,436 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 289.98 juta bernilai RM156.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen di pasaran mungkin akan terus berhati-hati sepanjang minggu urus niaga yang singkat ini sambil memberi fokus kepada kadar pertumbuhan KDNK suku pertama 2021 yang diunjurkan masih lemah berikutan persekitaran yang terjejas oleh Covid-19.

“Namun begitu, peniaga akan lebih memberi fokus kepada komoditi yang meningkat seperti minyak sawit mentah (MSM), yang melonjak lebih daripada 5.0 peratus minggu lepas serta harga minyak Brent yang naik sedikit pada ketika ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan indeks utama akan bergerak dalam julat kecil dengan paras sokongan antara 1,555 dan 1,565, sementara halangan pada 1,600 dan 1,620.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, Malacca Securities berkata sektor perladangan; minyak dan gas mungkin menarik minat peniaga di tengah-tengah peningkatan harga MSM dan minyak Brent.

Selain itu, di bawah perintah kawalan pergerakan 3.0, permintaan yang kukuh untuk saham pembungkusan dan berkaitan media dijangkakan di tengah-tengah mod penghuni perlu diam di rumah.

“Sektor teknologi juga mungkin menyaksikan beberapan lantunan teknikal selepas Nasdaq mencatatkan keuntungan dalam urus niaga semalaman,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut satu sen kepada RM8.23, RM4.09 dan RM8.29.

Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing menambah satu sen kepada RM9.91 dan RM5.67, sementara saham sarung tangan getah – Hartalega, Top Glove dan Supermax – meningkat kerana kes Covid-19 di negara ini terus melambung tinggi.

Bagi kaunter aktif, Tanco tidak berubah pada 11 sen, Focus Dynamics dan LKL masing-masing naik setengah sen kepada 10 sen dan 37 sen sementara KTG menambah satu sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.53 mata kepada 11,666.15, Indeks FBMT 100 menokok 4.69 mata kepada 11,319.07, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.6 mata kepada 13,107.43, FBM ACE naik 70.45 mata kepada 8,396.98, dan FBM 70 memperoleh 18.07 mata kepada 15,277.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.85 mata kepada 14,782.77, Indeks Perladangan 44.72 mata lebih kukuh pada 7,142.21 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.27 mata kepada 200.81.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit kukuh bawa impak positif pasaran ekuiti – analisis

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Kekukuhan ringgit ketika ini dijangka membawa impak positif kepada pasaran ekuiti di tengah-tengah kelemahan dolar AS, apabila petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 30.24 mata untuk ditutup bagi minggu pertama 2021 pada paras tertinggi harian 1,633.19.

Ringgit diniagakan setinggi 3.9957 berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan tahun ini dan firma penyelidikan berkenaan percaya kelemahan dolar itu akan berterusan.

Seorang penganalisis berkata ia terbukti pada Jumaat minggu yang baru berakhir ini, selepas FBM KLCI bergerak rendah semasa sesi pagi, dan ramai pembeli mencari mana-mana saham rendah dalam pasaran membangun dan langkah itu membayangkan ekuiti serantau berada di landasan untuk meningkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata 2021 bakal menjadi tahun yang lebih baik dengan sokongan ringgit yang kukuh, yang bakal menarik lebih ramai pelabur asing.

“Faktor-faktor yang menggalakkan termasuk sokongan pada masa akan datang dalam bentuk mudah tunai daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pengurangan kadar faedah, pelaksanaan rangsangan Belanjawan 2021, keterlibatan tinggi pelabur runcit, lantunan semula kukuh pendapatan korporat dan kenaikan harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar US$55 setong.

“Jangkaan umum Covid-19 dapat dibendung pada 2021 juga meningkatkan sentimen susulan berita pelaksanaan vaksinasi tidak lama lagi.

“Kekuatan ringgit yang meyakinkan berbanding dolar AS juga akan menjadi penyumbang untuk menarik pelabur asing secara berperingkat ke Malaysia pada 2021,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada data yang diperoleh bagi tahun penuh 2020, pelabur antarabangsa menjual RM24.6 bilion bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.

Nazri berkata dengan ringgit yang mencatatkan prestasi lebih baik, ia akan membawa kesan domino kerana ia menyokong banyak sektor, antara lainnya adalah komoditi yang bakal merangsang pasaran ekuiti.

“Apabila ringgit kukuh, orang akan berpusu-pusu membeli minyak sawit mentah. Apabila komoditi dalam nilai dolar AS ini menjadi murah untuk dibeli oleh peniaga, begitu juga negara-negara seperti China dan India,” katanya.

Nazri berkata pelabur runcit sudah tentunya masih mendominasi dengan sokongan rangsangan daripada Belanjawan 2021 memandangkan mereka kini membentuk 37 peratus dalam pasaran dan diharapkan akan mencapai 40 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata sektor sasaran yang akan meningkat pada tahun ini berbeza daripada tahun lepas apabila sektor yang merosot akan menjadi pemacu — menjadi tumpuan dana asing.

“Sektor yang akan meningkat merupakan penerima manfaat dana asing seperti Telekom Malaysia, British American Tobacco, Genting, Inari dan bank-bank, selain pembinaan dan hartanah yang akan menjadi peneraju seiring dengan tenaga atau minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata belanjawan 2021 memberikan penekanan penting kepada projek berimpak pengganda tinggi yang disambung semula seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo dan dijangka mewujudkan impak positif seawal suku pertama 2021.

Nazri berkata menjelang akhir tahun, sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berada pada paras 1,800, yang manaka kali terakhir dicatatkan adalah pada 2018, meskipun pada anggaran yang agak agresif iaitu nisbah 16.5 setahun, dipacu oleh penerima manfaat dana asing serta sektor-sektor kitaran.

Beliau turut menekankan beberapa kemungkinan risiko yang boleh menjejaskan keadaan misalnya ketidaktentuan politik, isu melibatkan garis masa vaksin dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

“Risiko itu termasuk kemungkinan diadakan pilihan raya umum dan garis masa vaksin. Tidak dapat dipastikan bilakah vaksin ini akan berada di Malaysia, diharapkan tiada kelemahan dalam (pengedaran) vaksin sekiranya mereka berdepan pengalaman buruk dalam logistik kerana ia juga risiko besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak berputus asa dalam mengharungi cabaran besar pada 2020, dan mengatasi kebanyakan negara di rantau ini seperti Indonesia, Singapura dan Thailand meskipun FBM KLCI berada pada paras terendah dalam tempoh lapan bulan pada Februari dan Mac.

“Pada satu ketika, FBM KLCI susut 30 peratus, namun kita mampu bangkit semula dengan bantuan saham pengeluar sarung tangan dan pelabur runcit yang berdaya tahan,” kata Nazri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Sentimen pelabur bertambah baik, jejaki prestasi positif global

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Sentimen pelabur bertambah baik pada November disebabkan terutamanya oleh perkembangan global yang positif.

Dalam sorotan November, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata perkembangan ini termasuk prospek ekonomi yang bertambah baik berikutan hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) yang lebih jelas susulan berakhirnya Pilihan Raya Presiden AS serta perkembangan positif berhubung kelulusan dan pengagihan vaksin Covid-19.

“Hasilnya, indeks ekuiti global mencatatkan keuntungan secara keseluruhan, termasuk kutipan semula pinjaman daripada sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik.

“Berlatarbelakangkan keadaan ini, FBM KLCI meningkat sebanyak 6.5 peratus pada bulan itu,” katanya.

Menurut bank pusat, risiko yang bertambah baik juga mendorong aliran masuk bukan pemastautin yang berterusan ke dalam pasaran bon domestik susulan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur yang menyumbang kepada ringgit menambah nilai sebanyak 2.2 peratus berbanding dolar US.

Meskipun pasaran bon kerajaan terus disokong oleh aliran masuk ini, ketidakpastian berhubung undian parlimen bagi Belanjawan 2021 telah mendorong kepada kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun yang lebih tinggi sedikit menjelang akhir bulan.

BNM berkata sistem perbankan berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap kejutan pendapatan dan menyokong aktiviti pengantaraan.

“Nisbah modal sebahagian besarnya tidak berubah berikutan terbitan baharu instrumen hutang yang telah mengimbangi penurunan sedikit modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1) daripada bayaran dividen dan pengurangan keuntungan belum direalisasi daripada komponen modal instrumen kewangan.

“Lebihan penampan modal bank-bank berjumlah RM125.1 bilion pada November 2020,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM US$105.3 bilion pada 30 Nov

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$105.7 bilion pada 15 Dis berbanding US$105.3 bilion pada 30 November.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata paras rizab tersebut adalah memadai bagi membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Bank pusat berkata komponen utama rizab antarabangsa itu terdiri daripada rizab mata wang asing (US$96.7 bilion), kedudukan rizab tabung Mata Wang Antarabangsa (US$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR; US$1.1 billion), emas (US$2.4 billion), dan aset rizab lain (US$4.1 billion).

Aset-aset tersebut merangkumi emas dan pertukaran asing, termasuk SDR berjumlah RM439.10 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.15 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.47 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM17.51 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM14.29 bilion).

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM172.60 bilion), mata wang dalam edaran (RM128.91 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM139.32 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM10.46 bilion), lain-lain deposit (RM12.93 bilion), kertas Bank Negara (RM11.36 bilion), peruntukan SDR (RM7.86 bilion), dan lain-lain liabiliti (RM5.13 bilion).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM sedia dana sehingga RM5 juta bantu usahawan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta daripada dana Kemudahan Teknologi Tinggi Bank Negara Malaysia (BNM) – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion.

“PKS boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tujuan modal kerja; sehingga RM5 juta bagi membiayai perbelanjaan modal; atau gabungan perbelanjaan modal kerja dan modal sehingga RM5 juta untuk tempoh sehingga 7 tahun.”

Kemudahan ini ditawarkan pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun untuk pinjaman tanpa jaminan atau sehingga 5 peratus setahun termasuk yuran jaminan (dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

Kemudahan itu akan disediakan mulai 15 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021, atau sehingga ia habis digunakan sepenuhnya (yang mana lebih awal).

HTF-NIA yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2021 adalah usaha untuk memberi bantuan tambahan kepada PKS yang terjejas akibat Covid-19.

“Kemudahan ini bertujuan menyokong PKS berteknologi tinggi dan berteraskan inovasi yang terjejas akibat Covid-19 untuk pulih dan menghidupkan semula kapasiti inovasi negara. Ini adalah penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia yang kompetitif dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.”

PKS yang layak termasuk mereka yang berada dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi yang paling sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai dalam pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan seperti yang termaktub dalam NIA. Antara contohnya ialah perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu.

“Peserta projek PKS dalam program penting kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi yang diberi keutamaan dalam rangka tindakan kebangsaan, daripada teknologi berkaitan IR4.02, teknologi hijau dan bioteknologi bagi memastikan kesinambungan dan penyiapan projek yang sedang berjalan,” kata BNM.

PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan yang terlibat, yang merangkumi bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM melalui laman web mereka atau dengan melawat cawangan mereka.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$104.8 bilion pada 15 Sept

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$104.8 bilion pada 15 September, 2020.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Katanya komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$104.8 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.1 bilion), emas (US$2.2 bilion) dan lain-lain aset rizab (US$3.9 bilion).

Aset-aset tersebut merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk SDR berjumlah RM448.13 bilion; Kertas Kerajaan Malaysia (RM10.95 bilion); deposit dengan institusi kewangan (RM7.0 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM16.52 bilion); tanah dan bangunan (RM4.17 bilion); serta aset lain (RM15.44 bilion).

Bank pusat itu berkata modal dan liabiliti merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM177.75 bilion), mata wang dalam edaran (RM126.18 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM145.55 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM8.16 bilion), lain-lain deposit (RM15.63 bilion), kertas Bank Negara (RM15.28 bilion), peruntukan SDR (RM7.93 bilion) dan liabiliti lain (RM5.63 bilion).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Firma jangka OPR turun selepas BNM semak unjuran KDNK

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Penyelidikan oleh bank pelaburan dan firma pembrokeran saham hari ini menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020 namun menaikkan jangkaan mereka bagi KDNK 2021.

Ia selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak turun unjuran pertumbuhan 2020 kepada di antara -5.5 peratus dengan -3.5 peratus daripada -2.0 peratus hingga 0.5 peratus sebelumnya, untuk menunjukkan terutama kesan pandemik Covid-19 yang amat buruk.

KDNK Malaysia menguncup 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2020 (berkembang 0.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2020), lebih rendah daripada penguncupan 11.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 1998.

Kenanga Investment Bank menerusi nota penyelidikan hari ini berkata penguncupan KDNK lebih ketara berbanding jangkaan dan tertinggi pada suku kedua 2020 yang dicatatkan sektor utama (perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan) menunjukkan risiko terhadap pemulihan pertumbuhan dan kelemahan struktural asas ekonomi.

“Berdasarkan trajektori pertumbuhan lebih rendah dan risiko pertumbuhan semasa, kami menurunkan unjuran KDNK separuh kedua kepada -3.7 peratus (jangkaan awal: -2.3 peratus) dan unjuran KDNK 2020 kepada -5.9 peratus (jangkaan awal: -2.9 peratus; 2019: 4.3 peratus).

“Kami turut melaraskan unjuran pertumbuhan 2021 kami kepada 5.1 peratus daripada 4.1 peratus yang dibuat sebelum ini,” menurutnya.

Penyelidikan oleh bank pelaburan itu juga berkata berlandaskan kenyataan BNM yang agak menyakinkan mengenai unjuran pemulihan, kemungkinan besar bank pusat memutuskan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan pada angka tidak berubah, 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bulan depan.

Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk BNM bergantung kepada pelonggaran monetari seterusnya sekiranya pemulihan lembap, menurutnya.

Sementara itu, firma pembrokeran saham, CGS-CIMB Securities (CGS-CIMB) turut menyemak turun unjuran KDNK Malaysia kepada -4.0 peratus pada 2020 namun menjangkakan peningkatan semula kepada pertumbuhan 7.5 peratus pada 2021 (BNM: 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021).

“Kami menyemak jangkaan OPR dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas mungkin diputuskan pada September untuk menyokong risiko negatif ke atas pemulihan ekonomi dan pasaran tenaga kerja,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MIDF Research semak turun unjuran KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: MIDF Research menyemak turun unjurannya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada paras -4.8 peratus tahun ke tahun pada 2020 daripada 4.5 peratus sebelum ini kerana impak ekonomi pada suku kedua tahun ini adalah buruk berbanding dijangkakan sebelum ini.

Dalam nota semalam, firma penyelidikan itu berkata berdasarkan perkembangan dan indikator semasa, ekonomi akan bertambah baik secara beransur-ansur kerana sentimen masih lemah berikutan ketidakpastian terhadap penularan Covid-19 dengan risiko-risiko penurunan lain muncul seperti keadaan politik, peningkatan dasar perlindungan dan ketegangan geopolitik.

“Penularan semula Covid-19 di beberapa negara telah menyebabkan mereka melaksanakan sekatan perjalanan sekali lagi. Di Malaysia, peningkatan wabak itu hanya melibatkan kes tempatan. Bagaimanapun, kebimbangan terhadap keadaan yang buruk berlaku di luar negara turut berlaku di Malaysia,” katanya.

MIDF Research berkata sempadan negara yang masih ditutup dan kadar pengangguran tinggi (yang mempengaruhi perbelanjaan swasta, pemacu ekonomi terbesar) juga menyumbang kepada semakan turun tersebut.

Bagaimanapun, ia berkata pakej rangsangan dan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan akan mengurangkan beberapa kesan buruk itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan bahawa KDNK Malaysia turun 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, jauh lebih buruk daripada jangkaan pasaran, dan kejatuhan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak Krisis Kewangan Asia iaitu -11.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat tahun 1998.

BNM berkata kebanyakannya disebabkan oleh pelaksanaan sekatan perjalanan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan langkah-langkah ketat telah diambil kerana kesihatan awam dan keselamatan merupakan keutamaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM AS$104.2 bilion setakat 30 Julai

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$104.2 bilion pada 30 Julai, 2020, tinggi sedikit berbanding AS$104.0 bilion pada 15 Julai, 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata, komponen utama rizab antarabangsa setakat 30 Julai, 2020 terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$97.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.2 billion) dan lain-lain aset rizab (AS$2.4 bilion).

Ia berkata aset terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab-rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM446.36 bilion; kertas Kerajaan Malaysia (RM10.46 bilion); deposit dengan institusi kewangan (RM3.75 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM16.37 bilion); tanah dan bangunan (RM4.16 bilion); dan aset lain (RM13.78 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM176.24 bilion), mata wang dalam edaran (RM127.35 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM130.38 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM19.24 bilion), deposit lain (RM16.22 bilion), kertas Bank Negara (RM12.69 bilion), peruntukan SDR (RM7.93 bilion) dan liabiliti lain (RM4.74 bilion).

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.2600/2650 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh dagangan harga minyak mentah yang stabil walaupun lengang, kata penganalisis.

Setakat 9 pagi ini, unit tempatan meningkat kepada 4.2600/2650 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.2720/2770 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata industri dilihat lebih tertumpu pada pemacu jangka sederhana dan panjang bagi minyak mentah, namun pada masa sama, peniaga memantau tanda-tanda reaksi terhadap data pengeluaran AS serta laporan mengenai jumlah kes baharu Covid-19.

“Brent dilihat ditutup dalam julat US$40 hingga US$45 setong, sementara risiko jangka pendek tetap cenderung menyusut, ini mungkin petanda positif bagi minyak mentah tanpa mengambil kira sebarang pencapaian penghasilan ubat atau terapeutik bagi Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi peringkat tempatan, memandangkan pasaran mula menjangkakan pengurangan kadar faedah Bank Negara Malaysia pada September, ini seharusnya menggalakkan aliran masuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Hasil sebenar MGS bertempoh 10 tahun dilihat amat menarik jika dibandingkan dengan bon AS yang setara. Saya berpandangan ringgit akan mencapai prestasi lebih baik hari ini susulan dolar AS yang lebih lemah secara keseluruhan di seluruh papan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9698/9756 daripada 3.9703/9768 ketika ditutup pada Rabu serta rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0614/0657 daripada 3.0600/0642.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.8279/8352 daripada 4.8167/8236 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3727/3807 daripada 5.3503/3587.

-BERNAMA