Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek atasi banjir kilat Jalan Sungai Chua siap akhir Mac

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerja menaik taraf sistem saliran di belakang Winnie Plaza, Jalan Sungai Chua, Kajang dijangka siap sepenuhnya akhir Mac ini.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki berkata projek menangani insiden banjir kilat mencapai kemajuan 90 peratus sejak dimulakan kira-kira dua tahun lalu.

“Kawasan ini antara titik panas banjir jika hujan lebat, justeru diharap pembaikan tersebut membolehkan aliran air lebih lancar ke Sungai Langat,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM1 juta bagi menjayakan projek kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dengan sebahagian dana untuk penjajaran kabel utiliti.

“Ramai ingat projek ini tidak bergerak, sebaliknya ia mengambil masa kerana melibatkan kos besar. Kita berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya,” kata Siew Ki.