Categories
ADN SELANGOR

1,000 bakul makanan diagih santuni keluarga susah di Balakong

SHAH ALAM, 3 JAN: Sebanyak 1,000 pek bakul makanan diedarkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Balakong mulai 1 Januari.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata bantuan itu bagi menggantikan program sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang dibatalkan susulan Covid-19 dan banjir.

“Kita berikan sumbangan ini bagi menghormati individu yang terkesan bukan sahaja dengan pandemik Covid-19 tetapi bencana banjir baru-baru ini.

“Kita harap pemberian ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima sekali gus meraikan perayaan secara bersederhana,” katanya ketika dihubungi.

Antara makanan diagihkan ialah beras, gula, garam, kopi, susu pekat, sardin, kuih raya, kalendar, pelitup muka dan angpau.

Siew Ki berkata individu yang memerlukan bantuan boleh tampil ke Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong atau hubungi 03-9076 0331.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek atasi banjir kilat Jalan Sungai Chua siap akhir Mac

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerja menaik taraf sistem saliran di belakang Winnie Plaza, Jalan Sungai Chua, Kajang dijangka siap sepenuhnya akhir Mac ini.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki berkata projek menangani insiden banjir kilat mencapai kemajuan 90 peratus sejak dimulakan kira-kira dua tahun lalu.

“Kawasan ini antara titik panas banjir jika hujan lebat, justeru diharap pembaikan tersebut membolehkan aliran air lebih lancar ke Sungai Langat,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM1 juta bagi menjayakan projek kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dengan sebahagian dana untuk penjajaran kabel utiliti.

“Ramai ingat projek ini tidak bergerak, sebaliknya ia mengambil masa kerana melibatkan kos besar. Kita berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya,” kata Siew Ki.