Categories
EKONOMI SELANGOR

Tiga majlis jalinan perniagaan berskala besar berjaya

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sebanyak tiga majlis jalinan perniagaan berskala besar berjaya dianjur dan memberi peluang baik buat Kerajaan Negeri, bagi tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia membabitkan dua kunjungan delegasi daripada Kerajaan Victoria, Australia dan United Kingdom ‘Mega Technology Mision’.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menghoskan satu forum khas buat delegasi daripada Bavaria, Jerman, pada dua bulan lalu.

“Selangor sentiasa menyambut baik kunjungan delegasi untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di Selangor.

“Kita yakin, hubungan erat yang terjalin bukan sekadar memberi manfaat kepada pelabur tetapi rakyat Selangor secara amnya,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim berkata, hubungan dua hala dengan delegasi luar pasti mampu memperkukuh kedudukan Selangor sebagai ‘regional smart state’.

“Tahun ini kita berjaya dengan tiga delegasi, jadi tahun hadapan pastinya rombongan lain akan sampai ke Selangor,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut delegasi United Kingdom ‘Mega Technology Mision’ ke Malaysia, di Istana Selangor, semalam.

Majlis berkenaan disertai lebih 70 delegasi untuk bertemu lebih 50 wakil korporat bagi sesi suai kenal dan sesi ‘business to business’.

=EZY=