Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UK kekal pilihan rakyat Malaysia sambung belajar

SHAH ALAM, 17 JAN: Kajian sebuah badan pemikir Singapura mendapati United Kingdom (UK) kekal menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian.

Sebanyak 31.3 peratus responden memilih negara Komanwel itu manakala 21.5 peratus memilih Amerika Syarikat (AS), lapor Malay Mail berdasarkan kaji selidik Negeri Asia Tenggara 2020 oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute hari ini.

Sementara itu, Jepun dan Australia berkongsi kedudukan di tempat ketiga dengan 14.1 peratus.

Kaji selidik sama turut menunjukkan 29.3 peratus negara Asean memilih AS bagi pendidikan tinggi, UK (23.3 peratus) dan Australia (13.8 peratus).

“AS popular dalam kalangan enam negara Asean iaitu Singapura 41 peratus, Vietnam (38.1 peratus), Thailand (36.4 peratus), Filipina (32.1 peratus), Indonesia (26.3) peratus) dan Myanmar (25 peratus),” menurut badan pemikir itu.

Seramai 1,308 responden dari sepuluh negara Asean menyertai kaji selidik dengan 222 penyertaan dari Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dalam kunjungan khas ke United Kingdom

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 16 Disember.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan lawatan Al-Sultan Abdullah yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu melambangkan kepentingan memelihara hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan UK, terutama menguatkan jalinan antara keluarga kerabat diraja kedua-dua negara.

Di London, Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada Khamis (12 Disember).

Pada Jumaat (13 Disember), Yang di-Pertuan Agong diberi penghormatan dan akan menerima tabik hormat semasa perbarisan sempena istiadat pentauliahan diraja Pemangku Raja Pahang​​ Tengku​​​​ Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.

Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

Menurut kenyataan itu, atur cara lawatan turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London pada majlis santapan malam, Selasa (10 Disember).

Pasangan Diraja Malaysia itu juga dijangka melawat Muzium dan Perpustakaan British pada Rabu (11 Disember) serta mengadakan pertemuan dengan Archbishop of Canterbury Justin Welby.

“(Pertemuan itu) untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kesejahteraan bersama dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama di kedua-dua negara,” jelas Kementerian Luar.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke UK adalah kali keempat selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun pada Jun, Julai dan Oktober lali.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Menakutkan, matahari jadi merah, langit jadi kuning di UK

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 17 OKT: Masyarakat United Kingdom menyaksikan fenomena ‘unik’ dan jarang-jarang berlaku apabila Matahari kelihatan berwarna merah dan langit kekuningan minggu ini.

Suasana itu mendapat perhatian pengguna media sosial dengan memuat naik ke laman sosial berkongsi suasana ‘menakutkan’ itu seolah-olah ‘hampir kiamat’.

Perubahan di langit itu dipercayai disebabkan oleh Taufan Ophelia, yang kini bergerak dari pantai barat Ireland dan bergerak ke utara di seluruh Scotland bermula semalam.

Ia menyebabkan matahari kelihatan merah dan langit kelihatan kuning di beberapa bahagian England, termasuk Midlands dan barat daya.

Jabatan Meteorologi Britain berkata keadaan itu berlaku apabila Taufan Ophelia muncul dari Azores apabila membawa sekali debu Sahara dari Afrika Utara serta debu dari kebakaran di Sepanyol dan Portugal.

‘Warna kekuningan ini berpunca dari debu yang bercampur dengan sinaran matahari menjadikan matahari berubah menjadi lebih merah,’ katanya.

Keadaan itu dijangka berakhir apabila Taufan Ophelia bergerak ke seluruh Scotland pada Selasa dan ke Laut Utara ke Scandinavia serta ia menyebabkan keadaan di selatan Britain pulih seperti sediakala.

Sementara itu tiga maut manakala lebih 300,000 penduduk terputus bekalan elektrik apabila Taufan Ophelia melanda Ireland memaksa sekolah dan pejabat kerajaan ditutup.

Jurucakap polis berkata, seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an maut di Aglish selepas pokok menghempap kenderaannya, manakala penumpang wanita berusia dalam lingkungan 70-an cedera ringan.

Seorang mangsa lelaki maut dalam kemalangan ketika membersihkan pokok tumbang dengan gergaji berhampiran bandar Cahir.

 

 

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

Tiga majlis jalinan perniagaan berskala besar berjaya

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sebanyak tiga majlis jalinan perniagaan berskala besar berjaya dianjur dan memberi peluang baik buat Kerajaan Negeri, bagi tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia membabitkan dua kunjungan delegasi daripada Kerajaan Victoria, Australia dan United Kingdom ‘Mega Technology Mision’.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menghoskan satu forum khas buat delegasi daripada Bavaria, Jerman, pada dua bulan lalu.

“Selangor sentiasa menyambut baik kunjungan delegasi untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di Selangor.

“Kita yakin, hubungan erat yang terjalin bukan sekadar memberi manfaat kepada pelabur tetapi rakyat Selangor secara amnya,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim berkata, hubungan dua hala dengan delegasi luar pasti mampu memperkukuh kedudukan Selangor sebagai ‘regional smart state’.

“Tahun ini kita berjaya dengan tiga delegasi, jadi tahun hadapan pastinya rombongan lain akan sampai ke Selangor,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut delegasi United Kingdom ‘Mega Technology Mision’ ke Malaysia, di Istana Selangor, semalam.

Majlis berkenaan disertai lebih 70 delegasi untuk bertemu lebih 50 wakil korporat bagi sesi suai kenal dan sesi ‘business to business’.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Wujudkan kerjasama dengan syarikat besar UK

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan Negeri berbesar hati dan mengalukan lebih 70 delegasi United Kingdom (UK) melengkapkan Misi Mega Teknologi ke Malaysia menerusi Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, misi disertai pelabur penting UK itu mengintai peluang baru melebar perniagaan mereka khususnya dalam bidang teknologi tinggi.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan Selangor sebagai ‘regional smart state’.

“Invest Selangor sebagai agensi Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk memainkan peranan penting dalam melihat peluang baru ini.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dan komuniti bisnes Selangor dapat mengambil peluang ini untuk mewujudkan kolaborasi dengan syarikat besar daripada UK,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau mengetuai Kerajaan Negeri menyambut delegasi UK yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell, di Istana Selangor, semalam.

Turut serta, Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Mohamed Azmin berkata, pelabur menunjukkan respon positif dan keyakinan terhadap potensi Selangor sebagai hab pembangunan teknologi.

“Pelabur merasakan dasar ‘Internet of Things’ adalah tepat untuk menjayakan masa depan global yang memerlukan pendekatan baru bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ini,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

NGO mahu kerajaan guna undang-undang lebih moden

jenayah 1

SHAH ALAM 22 OGOS : Kerajaan diseru untuk menggunakan undang-undang yang lebih moden, progresif dan menghormati hak asasi manusia untuk membendung jenayah ganas di negara ini, tegas NGO, Lawyers for Liberty (LFL).

Menurut Pengasas bersama LFL, Eric Paulsen, berkata kumpulan hak asasi manusia dan pembaharuan undang-undang itu tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang membenarkan polis menahan suspek sehingga 72 hari tanpa didakwa.

“Kita melihat tempoh itu masa yang panjang, berlebihan dan tidak perlu,” kata Eric Paulsen dalam satu kenyataannya.

Beliau menyeru agar kerajaan mencontohi undang-undang di United Kingdom untuk menangani jenayah terancang dengan menggabungkan usaha pelbagai badan dan agensi untuk mengenal pasti dan menangani kumpulan penjenayah.

“The Serious Organised Crimes Agency’ (SOCA) diwujudkan untuk menangani jenayah terancang dengan cara yang jauh lebih berkesan dan moden,” kata Paulsen.

SOCA melibatkan kerjasama polis, kastam, imigresen dan pihak berkuasa lain untuk mengumpul maklumat kumpulan penjenayah terancang dan mengenal pasti aset kewangan kumpulan termasuk hartanah, perniagaan dan akaun bank.

Katanya, penyelesaian moden itu adalah jauh lebih baik daripada PCA 1959 yang dilihat sebagai ‘tidak boleh diterima’ kerana potensi untuk berlakunya penyalahgunaan.

“Majistret akan hanya menjadi ‘rubber stamp’ untuk permohonan polis bagi mendapatkan perintah reman.

“Tempoh reman yang lama ini akan membawa kepada salahguna kuasa termasuk peras ugut, serangan, penyeksaan dan kematian dalam tahanan,” kata Paulsen.

– MZA

Categories
SELANGOR

SKMM Siasat Yasin Berkenaan Temubual Bersama Radio Free Malaysia

SKMM Siasat Yasin 01

KUALA LUMPUR 1 APRIL: Penyanyi popular yang juga Duta Angkatan Muda Keadilan (AMK), Yasin Sulaiman dipanggil ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung temubualnya bersama Radio Free Malaysia (RFM) di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur hari ini.

Yasin dirakam kenyataannya oleh Pegawai SKMM, Iqbal Ikhwandi Mat Zin bagi membantu siasatan berkenaan RFM yang didakwa tidak mempunyai lesen dan permit daripada SKMM.

Turut menemani beliau, Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Samsul ketika ditemui pemberita menyatakan kehadiran Yasin hanya sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap stesen radio online berkenaan.

Pada 25 Mac lalu, RFM menemubual Yasin berkenaan lagu Reformasi yang dijadikan lagu kempen AMK diseluruh negara dan juga harapan beliau mengenai kebangkitan suara rakyat Malaysia.

Yasin berkata, beliau ditemuramah secara telefon oleh radio yang berpangkalan di London, United Kingdom itu dan tidak mengesyaki radio berkenaan menghadapi masalah seperti yang didakwa SKMM.

“Takda apa sangat pun, saya tak tahu radio ini ada masalah dengan kerajaan ke, empat hari lepas, mereka menemubual saya secara telefon dan bertanyakan mengenai lagu Reformasi dan harapan saya tentang Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Yasin dan Samsul berpendapat bahawa kebebasan media mesti diberikan kepada semua pengamal media bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan bukannya menyekatnya dengan pelbagai akta dan undang-undang.

Ketika dilancarkan beberapa minggu lalu, RFM turut menebual beberapa tokoh politik terkenal seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai fitnah yang dikenakan terhadap beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Charles : Umno-BN Didakwa Daftar Rakyat Tinggal Di luar Negara Sebagai Pengundi

SPR 01

KLANG 29 MAC : Umno-BN didakwa terlibat dalam kegiatan mendaftarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sebagai pengundi demi memastikan parti itu terus berkuasa sebagai kerajaan di negara ini.

Berikutan situasi itu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas apabila mendedahkan kes penduduk Klang yang menetap di luar negara seperti  United Kingdom; Ireland dan Australia yang nama mereka didaftar tanpa pengetahuan.

Yang menghairankan, katanya, bagaimana maklumat seseorang rakyat itu diperolehi dan boleh didaftarkan sebagai pengundi tanpa kebenaran.

“SPR sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya perlu bersikap adil dengan menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara ini dan membuat laporan polis terhadap pihak terlibat.

“Apa yang menghairankan ia melibatkan Umno-BN kerana informasi diterima bagi pendaftaran Dinesh a/l Siva Kumar, 32, dibuat oleh Penolong Pendaftar Umno, Hishamuddin Kassim. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Siapa yang menandatangani borang pendaftarannya?

“Ia juga seolah-olah mengaitkan pihak Imigresen, SPR dan Umno-BN dalam komplot ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

SPR 02

Bapa Dinesh, K Siva Kumar, 64, menjelaskan dia terkejut apabila mendapati anaknya didaftarkan sebagai pemilih untuk mengundi bagi pilihan raya di dalam negara.

Katanya, anaknya bertugas sebagai jurutera dan menetap di United Kingdom lebih 10 tahun tidak pernah mendaftar diri sebagai pengundi atau mewakilkan seseorang untuk tujuan berkenaan.

“Saya  membuat laporan polis pada 31 Januari lalu tetapi apa yang mengecewakan ialah SPR yang tidak bekerjasama dalam perkara ini.

“Menerusi emel, SPR hanya menyatakan pendaftaran anak saya dibuat pada 7 Mac 2012 oleh Hishamuddin yang kemudiannya ditamatkan perkhidmatan pada 27 April 2012 atas beberapa kesilapan pendaftaran dilakukan.

“SPR dilihat melindungi Hishamuddin dan Umno-BN apabila tidak menjawab beberapa emel saya iaitu 18, 19, 21 dan 26 Mac lalu,” katanya mengenai aduan dibuat kepada SPR Selangor.

SPR 03

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Rumah Mampu Milik Pasang Siap Selangor Tidak Melebihi RM100,000

MB Bengkel 02

SHAH ALAM 8 FEB : Pakar dari dalam dan luar negara akan dipanggil Kerajaan Negeri berhubung pembinaan projek ?Rumah Mampu Milik Pasang Siap? yang mula dilaksanakan menerusi Belanjawan 2013.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pakar-pakar luar negara dari United Kingdom dan Jepun itu akan diminta memberikan pendapat dan cadangan dalam penyediaan rumah itu nanti dengan cara yang terbaik.

Katanya, hasil pembinaan itu, rakyat akan dapat menikmati dengan harga yang murah iaitu tidak melebihi RM100,000.

“Di Selangor, khusunya Shah Alam, harga tanah semasa tinggi, setiap lima tahun tanah yang berharga RM10 sekaki akan menjadi RM30 sekaki, kalau harga tanah tinggi lagi ramai yang mahu membelinya.

“Jadi untuk rakyat yang tidak mampu, itu kita akan sediakan mereka rumah mampu milik. Dan menjadi polisi Kerajaan Negeri, setiap pembangunan tanah di 10 ekar tanah, mestilah mempunyai projek pembinaan rumah mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Bengkel Pengurusan Tanah negeri bagi tahun 2008-2012 .

Hadir sama Pengarah PTGS, Datuk Kamarulzaman Jamil dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

November lalu, dalam sidang Dewan Negeri (DNS) sejumlah RM50 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik melalui projek ?Rumah Mampu Milik Pasang Siap? (Prefabricated Packages Home) yang bakal dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mulai ini menerusi Belanjawan 2013.

Inisiatif itu bertujuan membantu rakyat yang terbeban dengan harga rumah yang melambung di pasaran pada ketika ini.

Projek itu diyakini mampu memberi keseimbangan terhadap harga tinggi dalam trend lonjakan harga rumah kesan daripada penawaran dan permintaan pasaran akibat pengambilan untung yang keterlaluan dikalangan pemaju.

Melalui projek itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbaiki kesan-kesan harga pasaran yang terjadi akibat aktiviti persaingan spekulasi dalam perniagaan hartanah.