Categories
AGENDA NASIONAL

Tambak Johor: Cadangan jambatan ketiga masih dalam kajian

JOHOR BAHRU, 1 DIS: Cadangan jambatan ketiga hanya akan diputuskan selepas kajian kebolehlaksanaan disiapkan, untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian kebolehlaksaan itu akan turut menilai keupayaan masa kini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), yang kini terpaksa menampung jumlah pelawat yang sangat tinggi.

“Kita setuju secara dasar kajian ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta… skop perunding akan ditetapkan termasuk sama ada BSI dan KSAB ini dapat ditambah baik dalam keadaan sedia ada atau perlu dibina lain-lain kemudahan termasuk mungkin jambatan ketiga,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Menangani Kesesakan Tambak Johor, yang turut dihadiri pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Saya dimaklumkan hampir 70 peratus pelawat ataupun pengunjung yang masuk keluar Malaysia ini, datang melalui Tambak Johor. Ini kalau boleh saya katakan, pusat kemasukan yang paling sesak berbanding mana-mana tempat di dunia,” katanya.

“Jadi sebab itu, satu kajian menyeluruh perlu diadakan untuk mengetahui apakah langkah-langkah ke hadapan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membolehkan trafik, dari segi kenderaan dan manusia yang melalui pintu masuk negara ini, berjalan licin dan lancar,” tambah beliau yang juga Ahlli Parlimen Pagoh.

Menurutnya, kajian kebolehlaksanaan yang dijangka akan dimulakan pada tahun hadapan itu, akan mengambil masa sembilan bulan untuk siap.

Sementara itu, merujuk kepada mesyuarat hari ini Muhyiddin berkata, jawatankuasa berkenaan bersetuju supaya cadangan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor diteruskan sebagai langkah jangka pendek untuk atasi masalah kesesakan di tambak itu.

“Kos yang terlibat ialah RM30 juta tetapi kita belum dapat keputusan kerana kita perlu bincang antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga syarikat PLUS Malaysia Bhd, yang jadi syarikat konsesi lebuh raya di situ.

“Ia akan diperhalusi kerana dimaklumkan ramai pengguna pejalan kaki guna cara sedia ada, yang mungkin dianggap merbahaya pada lalulintas dan sebagainya. Ini kita ambil kira meskipun kerajaan telah putuskan untuk adakan Projek Sistem Transit Rapid (RTS),” kata beliau.

Turut hadir di mesyuarat itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, wakil kerajaan negeri serta ketua-ketua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pembinaan jambatan ketiga Klang ikut jadual

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 APR: Kerja pembinaan jambatan ketiga Klang masih diteruskan mengikut jadual ditetapkan dan dijangka siap April 2018.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, setakat ini pembinaan jambatan itu masih diperingkat fasa satu yang dijangka siap penghujung tahun ini.

zaidy“Pembinaan masih diteruskan dan berjalan mengikut jadual. Kini, ia dalam fasa satu membabitkan pembinaan jambatan melintasi Sungai Klang,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, jambatan itu akan disiapkan mengikut dua fasa dengan kos kerja bagi fasa satu dianggarkan hampir RM199 juta.

Sementara itu, fasa kedua dianggarkan menelan belanja RM320 juta yang masih dalam proses reka bentuk dengan pembinaan dijangka bermula bulan ini.

Jambatan ketiga Klang dengan reka bentuk bercirikan kapal layar dan keris sepanjang 2.5 kilometer akan bermula selepas persimpangan Sungai Udang/Teluk Pulai serta berakhir di persimpangan Jalan Goh Hock Huat.

Pembinaan jambatan itu dijangka akan mengurang kesesakan trafik di dua jambatan utama Klang iaitu Jambatan Kota sebanyak 20 peratus dan Tengku Kelana (40%).

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Tender jambatan ketiga Klang akhir Februari

Oleh Afeeqa Afeera

KLANG 15 FEB: Tender pembinaan jambatan ketiga akan dikeluarkan akhir Februari ini bagi membantu menyuraikan masalah trafik di daerah ini, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar itu, berkata pembinaan berkenaan dijangka bermula Mac ini, sekaligus menyelesaikan masalah trafik yang membelenggu penduduk sekian lama.

Beliau memberi jaminan betapa kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan trafik di Klang bagi memastikannya lebih lancar dan selamat.

b“Kita akan terus buat pembangunan untuk rakyat. Proses pembinaan jambatan ketiga akan dilakukan tahun ini. Kerajaan negeri sudah buat peruntukan dan tender dikeluarkan akhir Februari ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Perayaan Chap Goh Meh peringkat Selangor anjuran DUN Sungai Pinang bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jalan Pasar di sini malam tadi.

eLebih 2,000 rakyat pelbagai kaum memeriahi pesta perayaan itu yang
turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh; Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim; Yang Dipertua MPK, Datuk Mohammad Yacob, selain ahli parlimen dan Adun.

dTetamu turut berpeluang bersalaman dan bergambar bersama Abdul Khalid selain dihiburkan dengan pelbagai persembahan artis tempatan.

Selain persembahan pentas, pengunjung juga dihiburkan dengan tarian singa dan naga.

– FZL