Categories
NASIONAL

JKM salur lebih RM600 juta bantu warga emas, OKU

KUALA LUMPUR, 1 APR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan lebih RM600 juta bagi membantu 166,028 Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit kronik dan warga emas tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, mereka dibantu menerusi dua skim bantuan kewangan iaitu Bantuan Orang Tua dan Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik serta OKU Terlantar.

Beliau berkata, JKM juga menyediakan perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan kepada warga emas untuk mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan menerusi Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) dengan seramai 2,262 warga emas mendapat manfaat daripada program itu pada 2018.

“Selain itu, program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) atau Home Help Service juga dilaksana bagi meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas dan OKU,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam membantu golongan khususnya ibu tunggal dan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk mendapatkan rawatan lanjutan seperti hemodialisis.

Hannah berkata, sehingga Disember 2018, seramai 8,994 isi rumah iaitu 7,135 isi rumah warga emas dan 1,859 isi rumah OKU menerima perkhidmatan KBDR yang dilaksanakan JKM itu.

Sementara itu katanya, kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperuntukkan anggaran RM4 juta bagi membiayai rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang yang terpilih di seluruh negara setiap tahun.

“Kesemua individu yang ditaja sepenuhnya itu terdiri pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,200 sebulan dan sedang mendapatkan rawatan di pusat dialisis kelolaan YKN di seluruh negara,” katanya.

– BERNAMA