Categories
AGENDA EKONOMI

Perintah kawalan: Kesan ekonomi terhad, KDNK sederhana

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula hari ini bagi menangani penularan Covid-19 memberi kesan terhadap ekonomi negara dalam masa terdekat, namun impaknya adalah terhad, demikian menurut Kenanga Investment Bank.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata memandangkan perkhidmatan kerajaan dan perniagaan berjalan seperti biasa dan tempoh pelaksanaan sekatan selama dua minggu, impak sepenuhnya bergantung kepada faktor kecepatan penyebaran dan tempoh diperlukan bagi menangani keadaan itu sekiranya Perintah Kawalan itu dilanjutkan.

“Walaupun risiko penurunannya itu telah meningkat, kami turut mengambil kira potensi impak ekonomi itu menerusi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baru-baru ini.

“Asas unjuran kami bagi pertumbuhan KDNK itu akan menyederhana sebanyak 2.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini yang kebanyakannya disebabkan oleh jangkaan pertumbuhan lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan selain turut memberi impak ketara terhadap industri berkaitan pengangkutan dan pelancongan yang terjejas,” katanya.

Menurut Kenanga, kelembapan sektor pembuatan akibat gangguan bekalan disebabkan penutupan kilang dan kelemahan permintaan luar dari rakan dagangan utama, juga dijangka menyumbang kepada momentum pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Dari segi permintaan, kami menjangkakan penggunaan swasta terus susut kepada 5.7 peratus pada separuh pertama 1H20.

“Ia juga menjangkakan pertumbuhan KDNK secara keseluruhan menyederhana pada 3.1 peratus tahun ini berbanding 4.3 peratus pada 2019,” katanya.

-BERNAMA