Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tidak berubah 4.133 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Urus niaga ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pada pagi Isnin dalam situasi hasil bon yang tinggi dan harga minyak mentah yang tidak menentu.

Pada jam 9.01 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1330/1380, tidak berubah daripada 4.1330/1370 ketika ditutup Jumaat minggu lepas.

“Urus niaga ringgit terperangkap antara kadar hasil AS yang tinggi dan harga minyak mentah,” demikian menurut Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes.

Innes berkata ringgit turut dipengaruhi oleh inflasi yang lebih tinggi di China disebabkan oleh harga komoditi yang lebih kukuh dan ini memungkinkan bank pusat China untuk menghentikan momentum kredit negara berkenaan.

“Memang pun, ini berpotensi memberikan impak negatif bagi pengeksport komoditi sekiranya kesan inflasi sementara daripada kenaikan harga minyak tidak surut,” katanya kepada Bernama.

Bergerak ke hadapan, beliau menjangkakan peniaga mata wang akan terus mengambil sikap tunggu dang lihat, begitu juga dengan rakan setara G-10 mereka menjelang pengumuman Indeks Hara Pengguna AS untuk Mac 2021 yang dijadualkan pada 13 April.

Sementara itu, nota Perbendaharaan 10 tahun meningkat 3.2 mata asas kepada 1.664 peratus pada Jumaat lepas manakal penanda aras minyak mentah Brent kekal bertahan sekitar US$63 hari ini berikutan situasi tidak menentu yang dilihat di pasaran minyak baru-baru ini.

Dalam pada itu, dalam catatan berasingan, Kenanga Research berkata kenaikan dolar nampaknya kemungkinan terbatas minggu ini memandangkan hala tuju untuk mata wang tempatan amat dipengaruhi oleh pasaran minyak mentah yang tidak menentu dan hasil Perbendaharaan AS.

“Ringgit dilihat akan diniagakan antara 4.13-4.14 sebelum mengakhiri minggu urus niaga rendah sedikit berbanding dolar AS,” katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0790/0839 daripada 3.0800/0839 Jumaat lepas dan naik sedikit berbanding yen kepada 3.7651/7707 daripada 3.7689/7733.

Bagaimanapun, unit tempatan lega berbanding pound kepada 5.6651/6728 daripada 5.6618/6685 sebelumnya dan berbanding euro, ringgit menyusut 4.9162/9238 daripada 4.9141/9205 sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Data eksport Julai pamer tanda pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Eksport Malaysia meningkat 3.1 peratus pada Julai, walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding 8.0 peratus pada Jun, sejajar dengan jangkaan pasaran.

Kenanga Research berkata eksport bulan ke bulan menyederhana pada bulan lepas setelah berkembang pada kadar terpantasnya sejak April 1997.

“Namun, dari segi nilai, ini juga merupakan eksport kedua tertinggi pada RM92.5 bilion berbanding RM82.8 bilion pada Jun selepas merekodkan paras tertinggi pada Oktober 2018, menandakan ekonomi pulih secara beransur-ansur daripada kemerosotan pada suku kedua,” kata firma penyelidikan itu dalam laporan ekonominya.

Data juga menunjukkan permintaan dari China perlahan, walaupun situasi itu diimbangi sedikit oleh peningkatan eksport ke Amerika Syarikat dan Singapura.

“Eksport ke China merosot kepada 13.9 peratus berbanding 46.8 peratus pada Jun apabila eksport jatuh ke paras terendahnya dalam tempoh dua bulan, disebabkan terutamanya oleh kesan asas yang tinggi,” kata Kenanga Research.

Sementara itu, CGS CIMB, dalam nota ekonominya berkata kekuatan eksport Malaysia didorong oleh eksport sektor perkilangan yang meningkat 4.7 peratus serta sektor pertanian yang naik 30.4 peratus sejajar dengan lonjakan 57.2 peratus lemak dan minyak sayuran.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Perintah kawalan: Kesan ekonomi terhad, KDNK sederhana

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula hari ini bagi menangani penularan Covid-19 memberi kesan terhadap ekonomi negara dalam masa terdekat, namun impaknya adalah terhad, demikian menurut Kenanga Investment Bank.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata memandangkan perkhidmatan kerajaan dan perniagaan berjalan seperti biasa dan tempoh pelaksanaan sekatan selama dua minggu, impak sepenuhnya bergantung kepada faktor kecepatan penyebaran dan tempoh diperlukan bagi menangani keadaan itu sekiranya Perintah Kawalan itu dilanjutkan.

“Walaupun risiko penurunannya itu telah meningkat, kami turut mengambil kira potensi impak ekonomi itu menerusi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baru-baru ini.

“Asas unjuran kami bagi pertumbuhan KDNK itu akan menyederhana sebanyak 2.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini yang kebanyakannya disebabkan oleh jangkaan pertumbuhan lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan selain turut memberi impak ketara terhadap industri berkaitan pengangkutan dan pelancongan yang terjejas,” katanya.

Menurut Kenanga, kelembapan sektor pembuatan akibat gangguan bekalan disebabkan penutupan kilang dan kelemahan permintaan luar dari rakan dagangan utama, juga dijangka menyumbang kepada momentum pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Dari segi permintaan, kami menjangkakan penggunaan swasta terus susut kepada 5.7 peratus pada separuh pertama 1H20.

“Ia juga menjangkakan pertumbuhan KDNK secara keseluruhan menyederhana pada 3.1 peratus tahun ini berbanding 4.3 peratus pada 2019,” katanya.

-BERNAMA