Categories
AGENDA JENAYAH

Polis panggil individu cetak logo Jata Negara dalam kasut

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Polis akan memanggil dalam masa terdekat beberapa individu daripada syarikat pengeluar kasut, yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya bagi membantu siasatan.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Lambang dan Nama Mencegah Penggunaan Tidak Wajar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mereka yang terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya, walaupun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu.

Saifuddin berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara, dalam penerbitan sebuah buku baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan pengeluar kasut terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas gambar kasut keluarannya yang mengandungi logo Jata Negara tular di media sosial dan mengarahkan pemberhentian pengeluaran produk itu dengan serta-merta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA

Editor buku hina Jata Negara lari ke luar negara – Polis

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Editor buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” yang gambar kulit bukunya didakwa menghina Jata Negara dikesan melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata lelaki yang merupakan warga tempatan itu didapati ke luar negara sejak 21 Jan lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.

“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ menyenaraikannya sebagai orang yang dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Huzir berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Interpol dan akan mengeluarkan notis merah sekiranya suspek dikesan di mana-mana negara.

Katanya, setakat ini polis merakam keterangan lapan daripada 28 penulis yang menyumbang artikel untuk buku itu, manakala bakinya sedang dikesan.

“JSJ juga akan meminta bantuan Cawangan Khas sekiranya artikel yang disumbangkan 28 penulis buku itu mempunyai unsur-unsur ancaman keselamatan dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 203 laporan polis diterima berhubung kes itu di seluruh negara.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Buku “Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia” yang disunting penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Perkara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi selepas ia tersebar dan tular di media sosial menyebabkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Buku hina Jata Negara, polis rampas 313 naskhah belum terjual

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Sejumlah 313 naskah buku didakwa menghina Jata Negara dirampas polis dalam serbuan ke atas sebuah syarikat percetakan di Petaling Jaya, Selangor, petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata rampasan dilakukan selepas siasatan mendapati sejumlah 1,000 naskah buku berkenaan dicetak sebelum ini, bagaimanapun sebanyak 687 naskah terjual secara dalam talian.

“Sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman telah dikerah ke sana sejak 3 petang tadi (semalam) bagi merampas baki 313 naskah yang masih disimpan di syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini semalam.

Jelasnya, polis kini dalam proses meneliti naskah buku berkenaan selain telah mengenal pasti individu terbabit yang melakar kulit buku berkenaan.

Mengulas lanjut, Huzir berkata tangkapan ke atas individu mempunyai kaitan dalam penghasilan buku itu akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.

Polis dalam masa sama menerima sebanyak 32 laporan berhubung kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Semalam, tular di media sosial sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias kulit buku berkenaan.

-BERNAMA