Categories
AGENDA NASIONAL

47.2 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Sebanyak 47.2 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau seramai 15,429,300 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, seramai 20,115,233 individu atau 61.6 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 35,519,754 dos.

Berdasarkan perkongsian maklumat itu juga, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 65.9 peratus setakat semalam berbanding 65.1 peratus, pada Rabu.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 369,280 dos diberikan, iaitu 187,645 merupakan dos kedua dan baki 181,635 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bertujuan melaksanakan program vaksinasi bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JKJAV: Lebih 28 juta dos vaksin diberi setakat Isnin

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Sebanyak 28,312,631 dos vaksin Covid-19 telah diberikan setakat Isnin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya memaklumkan jumlah yang menerima dos pertama ialah 17,252,314 orang manakala 11,060,317 orang menerima dos kedua.

Mengikut peratusan, 52.8 peratus daripada jumlah populasi negara telah mendapat dos pertama manakala 33.9 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 501,776 dos diberikan semalam dengan 175,874 adalah dos pertama manakala 325,902 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas boleh dapat vaksin tanpa janji temu mulai esok

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh jumpa terus (walk-in) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang mulai esok (17 Julai), untuk menerima suntikan Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kaedah tersebut hanya dikhususkan kepada golongan warga emas yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19.

“Warga emas yang hadir akan dibenarkan masuk ke PPV menggunakan laluan khas yang disediakan,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Pelaksanaan kaedah vaksinasi secara jumpa terus bagi warga emas berusia 60 ke atas itu diumumkan oleh Dr Adham dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan, semalam.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata petugas di PPV akan mendaftarkan warga emas berkenaan secara manual sekiranya mereka belum mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Petugas PPV juga akan mendapatkan maklumat waris atau keluarga untuk dihubungi bagi tujuan peringatan vaksinasi dos kedua, katanya.

Bagaimanapun, Khairy mengingatkan warga emas yang telah diberikan tarikh janji temu agar tidak datang ke PPV secara jumpa terus bagi mendapatkan vaksinasi sebaliknya menunggu tarikh yang telah ditetapkan.

“Kaedah ‘walk-in’ ini hanya untuk warga emas yang belum menerima tarikh janji temu sahaja. Yang sudah terima tarikh melalui MySejahtera, sila ikut tarikh yang ditetapkan. Saya beri jaminan, mereka akan terima suntikan dos pertama sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Kira-kira 2.68 juta warga emas telah mendapat sekurang-kurangnya suntikan dos suntikan vaksin Covid-19 melalui fasa kedua PICK yang dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah komorbid selain Orang Kurang Upaya.

– BERNAMA