Categories
SELANGOR

FAS tawar jersi serendah RM20 di Jelajah 360° Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 NOV : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menawarkan jersi serendah RM20 sempena Jelajah 360° Smart Selangor di Batang Kali, minggu ini.

Jurucakap FAS berkata, biasanya jersi pasukan bola sepak itu dijual diantara RM90 hingga ke RM100, namun kini peminat boleh mendapatkannya dengan harga lebih murah.

“Ia bukan setakat murah tetapi jualan rugi buat FAS, namun demi peminat, kami menjualnya dengan harga ‘gila-gila’.

“Bagi yang ingin mendapatkannya, silalah berkunjung ke Jelajah 360° Smart Selangor bertempat di Oasis Street Mall, Batang Kali, Hulu Selangor bermula 17 hingga 18 November akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah menarik, pada program kali ini, FAS juga akan mengadakan sesi ‘Meet & Greet’ Session bersama pemain bola sepak.

Wakil tersebut memaklumkan, antara pemain dijangkakan hadir termasuk Kannan Kalaiselvan dan Khairulazhan Khalid.

“Kali ini kami bawakan khas pemain Selangor kerana mahu mendekati peminat-peminat di kawasan luar bandar kerana biasanya mereka bertemu peminat di kawasan bandar.

“Jadi kepada penduduk di Hulu Selangor, jangan lepaskan peluang keemasan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor – Batang Kali, Hulu Selangor lokasi kedua

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Jelajah 360° Smart Selangor akan menjengah penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor selepas penganjuran pertamanya di Pantai Remis, Kuala Selangor berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung.

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkata, program anjuran MBI di Oasis Street Mall, Batang Kali itu akan menyajikan pelbagai aktiviti bermula dari 17 hingga 18 November ini.

“Ia termasuk Sesi ‘Meet and Greet’ bersama pemain Bola Sepak Selangor (FAS), dan tidak ketinggalan jualan jersi murah original Selangor.

“Bagi memeriahkan acara, kita turut adakan konsert secara percuma buat pengunjung dengan menampilkan penyanyi terkenal, Tomok, Black Hanifah, Bandi Amuk dan kumpulan acapella yang baru meningkat naik, Bahiyyah Aneesa,” katanya kepada SelangorKini.

Jelajah 360° Smart Selangor bertujuan mendokong aspirasi Kerajaan Negeri menjadi sebuah negeri pintar (Smart State) menerusi Smart Selangor.

Program ini turut membabitkan Universiti Selangor (UNISEL), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), SelangorKini, Tv Selangor, KDEB Waste Management, Yayasan Hijrah Selangor, dan FA Selangor.

Syazwan berkata, jelajah kali ini turut disertai selebriti, Amira Othman untuk program Bicara ‘Alami Smart Selangor 2025.

Katanya, ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan pendekatan secara terus kepada rakyat Selangor sekali gus memperomosikan Smart Selangor.

“Banyak lagi tarikan lain termasuk trak VR Smart Selangor, Smart Selangor Mobile Library, bazaria, gerai makanan, pertandingan busker, sukaneka rakyat seperti pertandingan makan, memotong buah, dan macam-macam lagi.

“Oleh itu saya menyeru kepada penduduk sekitar Hulu Selangor termasuk seluruh kawasan lain untuk mengambil kesempatan kali ini untuk berkunjung ke jelajah berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Syazwan berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran melebihi 10,000 pengunjung sama seperti Jelajah 360° Smart Selangor di Pantai Remis pada Oktober lalu.

Selepas Hulu Selangor, jelajah akan bergerak ke Kuala Langat pada Disember akan datang, dan dijangkakan menjelajah kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjelang 2019.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman facebook MBI.

Categories
SELANGOR

Perpustakaan bergerak PPAS meriahkan Jelajah 360° Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Jom Lepak di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sempena Jelajah 360° Smart Selangor bakal menarik penduduk di sekitar Hulu Selangor.

Pengarahnya, Mastura Muhammad berkata, melalui program jelajah kali ini, PPAS akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik di perpustakaan bergerak mereka.

Katanya, antaranya termasuk 1,500 bahan bacaan untuk semua peringkat usia serta tempat membaca yang lebih selesa buat pengunjung.

“Kita menyediakan tempat berhawa dingin, perkhidmatan jalur lebar percuma (WiFi), kerusi ‘bean bag’ dan juga tikar bagi membolehkan anak-anak bersantai sambil membaca.

“Lebih menarik, kami menyediakan buku dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan semua kaum dapat menikmati kemudahan ini, ia termasuk buku Bahasa Melayu, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Inggeris,” katanya kepada SelangorKini.

Program Jom Lepak di PPAS dijangka bermula dari 17 hingga 18 November di Oasis Street Mall, Batang Kali, Hulu Selangor.

Mastura berkata, ‘tagline’ Jom Lepak digunakan bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke perpustakaan.

Katanya, PPAS mahu konsep pendidikan dan hiburan (edutainment) diterapkan bagi membolehkan golongan kurang berminat ke perpustakaan akan lebih tertarik.

“Disebabkan itu, kali ini penganjur, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) membawa selebriti, Ardell Aryana bersama-sama memeriahkan program PPAS Hulu Selangor.

“Saya gembira kerana MBI melalui Kerajaan Negeri begitu komited menjadikan perpustakaan di Selangor sebagai salah satu tempat menyeronokkan, bukan lagi terbelenggu dan dilabelkan tempat yang hambar,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut, orang ramai boleh melayari laman facebook MBI dan PPAS.

Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor siri kedua sasar lebih 10,000 pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 NOV: Jelajah 360° Smart Selangor yang bakal berlangsung selama dua hari mulai 17 hingga 18 November ini, di Oasis Street Mall Batang Kali, Hulu Selangor, di sini, dijangka menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Program berkonsepkan karnival yang memasuki siri kedua itu dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) termasuk Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, ia bertujuan memberi pendekatan secara terus khususnya dalam mempromosi Smart Selangor dan menyampaikan intipati agenda Kerajaan Negeri terhadap rakyat, di Selangor.

Katanya, pihaknya menampilkan tema sama seperti penganjuran siri pertama di Pantai Remis baru-baru ini, tetapi daripada segi pengisian program yang disusun adalah berbeza.

“MBI menyediakan trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ yang memberikan gambaran kepada rakyat mengenai masa depan Smart Selangor dan wawasannya untuk menjadi Negeri Pintar utama di Asean menjelang 2025.

“Aktiviti lain misalnya pameran agensi kerajaan, Smart Selangor Mobile Library, cabutan bertuah, konsert dan persembahan artis tempatan, forum dan temu bual daripada artis serta pakar, aktiviti keluarga dan kanak-kanak, selain jualan barangan, trak makanan, juga aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Hasril turut merakamkan ucapan terima kasih kepada MBI kerana memberi peluang dan kepercayaan penuh untuk menjadi rakan sinergi dalam membantu melaksanakan program terbabit.

“Kita berharap program ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan adanya capaian maklumat (iklan) menerusi dalam talian,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah 360 Smart Selangor realisasi Smart State 2025

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 15 OKT: Program Jelajah 360 Smart Selangor: Alami Smart Selangor 2018, di Pantai Remis, di sini, selaras matlamat menjadikan negeri itu sebagai Smart State yang unggul, di rantau Asia menjelang 2025.

Siri pertama jelajah itu bertujuan memberi pendekatan secara terus kepada rakyat di Selangor, sekali gus mempromosikan Smart Selangor.

Ketua Pegawai Kewangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Zannifa Azura Ahmad berkata, ia pada masa sama memberi peluang menyampaikan intipati agenda Selangor, khasnya terhadap rakyat, di negeri itu.

“Kerajaan Negeri memberikan mandat kepada MBI Selangor untuk menjadikan visi Smart Selangor sebagai satu realiti.

“Sepanjang Jelajah 360 Smart Selangor, MBI menyediakan trak “Smart Selangor Visual Reality Simulator”, yang akan memberi gambaran kepada rakyat berkenaan masa depan Smart Selangor dan wawasannya menjadi Negeri Pintar utama, di Asean menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah 360 Smart Selangor: Alami Smart Selangor, di sini, semalam.

Pada masa sama, Zannifa Azura berkata, Kerajaan Negeri mahu mewujudkan inisiatif seluruh negara yang berkesan sebagai pemangkin ekonomi dan sosial.

Justeru katanya, Smart Selangor bukan retorik semata-mata, bahkan ia adalah salah satu agenda utama menghubungkan rakyat, negeri dan industri.

“Setelah tiga tahun pengenalan Smart Selangor, terdapat pelbagai inisiatif yang dilancarkan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, di Selangor.

“Saya sangat gembira dengan inisiatif ini dan berharap penduduk sekitar Kuala Selangor tidak ketinggalan bersama merasai pengalaman Smart Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025,” katanya.

Sehubungan itu, beliau optimis Selangor dapat merealisasikan visi Smart Selangor dengan adanya sokongan mantap daripada semua pihak membabitkan jabatan, komuniti dan kerajaan.

Antara pihak yang memperhebatkan program berkenaan adalah Universiti Selangor, Bahagian Teknologi Maklumat SUK Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Majlis Daerah Kuala Selangor dan jabatan serta agensi Kerajaan Negeri turut menjadi penganjur bersama.

MBI turut bekerjasama dengan penganjur Malaysian Women Basketball League dalam penganjuran Kejohanan Bola Keranjang 3 on 3 bagi kategori 12 hingga 20 tahun, di setiap kawasan sepanjang jelajah berkenaan.

Manakala, daerah Hulu Selangor bakal menjadi lokasi bagi siri kedua penganjuran sama, pada November.