Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 15 jemaah masjid meninggal dunia dalam dua minggu

SHAH ALAM, 13 JUN: Seramai 15 jemaah masjid di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah meninggal dunia dalam tempoh dua minggu akibat jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata kematian berlaku selepas berlaku penularan wabak dalam kalangan jemaah pada Mei lalu, lapor Berita Harian.

“Ya hingga hari ini sudah 15 orang meninggal dunia, maklumat ini saya perolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

“Virus ini merebak sejak tercetusnya kluster di Taman Mahsuri yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 18 Mei sehingga 31 Mei lalu,” katanya.

Pada 18 Mei, sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah Jitra, Kedah dikenakan PKPD selama 14 hari.

Ia membabitkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Darul Aman, mukim Naga.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saringan bersasar di masjid lapangan terbang Subang

SHAH ALAM, 13 OKT: Saringan bersasar di mukim Klang ditukar ke Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (MLTSAA), Subang susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan jemaah.

Dato’ Menteri Besar berkata daerah Petaling lebih memerlukan saringan bersasar yang dilakukan Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) atau Klinik Selcare.

“Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) sudah minta jemaah yang hadir (solat Jumaat pada 2 Oktober) buat saringan tapi tak dapat dikesan.

“Jadi saringan akan dibuat dalam masjid bagi memudahkan jemaah datang. Kita tidak mahu ada yang tertinggal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Penjanaan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) 2021.

Jumaat lalu, Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan penangguhan sementara aktiviti di MLTSAA susulan seorang jemaah solat Jumaat pada 2 Oktober disahkan positif wabak.

Berdasarkan rekod, seramai 1,310 jemaah lain turut bersolat Jumaat pada tarikh itu.

Sebelum ini, saringan bersasar dilaksanakan di 16 Klinik Selcare bermula 4 hingga 11 Oktober dan kemudian tertumpu di mukim Klang selepas kawasan itu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 sehingga 23 Oktober.