Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor, JDT terus manfaat bakat Akademik Mokhtar Dahari

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) masih menjadi pilihan pasukan terbaik di negara ini apabila 12 pelatihnya telah menandatangani kontrak dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, baru-baru ini.

Menurut sumber, pemain daripada lebih 40 pelatih generasi kedua AMD itu ditawarkan kontrak antara dua dan tiga tahun serta sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Dua pelatih dianggap bakat terbaik generasi kedua AMD itu – pemain tengah Ziad El Basheer Norhisham menandatangani perjanjian bersama JDT, sementara pemain pertahanan Muhammad Faiz Amer Runnizar memilih skuad Gergasi Merah sebagai destinasi pilihan.

Mengikut langkah Ziad El Basheer ke JDT adalah penyerang Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal yang bergandingan bersama bintang muda negara Luqman Hakim Shamsuddin di posisi serangan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

“Ziad El Basheer dan Muhammad Faiz boleh dianggap bakat terbaik dalam kalangan pemain ketika ini, bagaimanapun, Muhammad Najmudin juga sepatutnya merupakan pemain terbaik tetapi disebabkan mengalami kecederaan lutut yang serius tahun lepas, dia terpaksa berehat panjang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Najmudin bersama seorang lagi pelatih generasi kedua AMD Muhammad Syukur Fariz Januri merupakan dua pemain dalam kesebelasan utama skuad B-16 Malaysia yang menewaskan Tajikistan 6-2 pada aksi kumpulan Kejuaraan B-16 AFC.

Pada masa sama, hampir kesemua 12 pelatih yang berpangkalan di Gambang, Kuantan itu adalah antara 18 pemain skuad B-17 negara yang beraksi pada kejohanan Piala Jenesys 2020 di Kagoshima, Jepun, Mac lalu.

Perkembangan terbaru itu membuktikan produk AMD di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara masih memberi impak yang besar dan sering mendapat perhatian pasukan gergasi bola sepak negara, JDT dan Selangor, yang seakan menjadi pelanggan setia mereka.

Kedua-dua pasukan itu juga ‘memborong’ kesemua 34 pelatih generasi pertama tahun lalu dengan 28 daripadanya mengikat kontrak bersama Selangor.

Selain itu, peminat bola sepak negara juga sedang menanti siapakah dalam kalangan 12 pemain generasi kedua AMD itu yang mampu mengikuti jejak langkah Luqman Hakim yang berkelana ke Eropah selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab profesional Belgium, KV Kortrijk.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor gagal sekat JDT ke final

SHAH ALAM, 27 OKT: Hatrik daripada Safawi Rashid sudah cukup untuk membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Selangor 0-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan B Sathianathan gagal mencipta magis kebangkitan pada aksi separuh akhir kedua sekali gus tewas dengan agreget 1-5.

Aksi babak pertama menyaksikan JDT lebih menguasai permainan dengan melancarkan beberapa serangan menerusi gerakan pantas di sebelah kanan pertahanan Selangor.

Red Giants terlebih dahulu menguji gawang JDT pada minit kelapan menerusi tandukan Michal Nguyen dan disusuli percubaan Safawi ke gawang tuan rumah enam minit kemudian.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun, Safawi menebus kesilapan awal dengan meledak gol pertama pelawat pada minit ke-24 selepas berjaya memperdaya penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid bagi kedudukan 0-1.

Khyril Muhymeen Mohd Zambri turut menguji gawang JDT pada minit ke-32 menerusi rembatan jarak jauh tetapi bola terus ke dakapan penjaga gol, Farizal Marlias.

Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila menghalang percubaan Khyril Muhymeen hasil tolakan Syahmi Safari pada minit ke-41 bagi memastikan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tidak sampai seminit babak kedua bersambung, Safawi menggandakan jaringan 0-2 buat JDT apabila tenang melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti untuk sekali lagi menewaskan Khairulazhan.

Selang lima minit kemudian, Safawi melengkapkan hatrik dengan gol ketiga JDT selepas melepasi perangkap offside sekali gus menewaskan Khairulazhan di gawang Selangor.

Selangor terus mencuba pada minit ke-72 sekali lagi menerusi rembatan Khyril Muhymeen tetapi berjaya ditolak keluar pertahanan JDT.

Selang lima minit kemudian, Ifedayo Olusegun turut berpeluang untuk merobek gawang JDT tetapi beliau gagal mengawal bola dan mudah diselamatkan Farizal.

Categories
SUKANKINI

Perlawanan JDT-PJ City FC ditunda akibat virus influenza

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JUL: Perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City FC yang dijadual berlangsung esok terpaksa ditunda selepas sebahagian besar pemain dan pegawai JDT disahkan dijangkiti virus influenza.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perkara itu selepas menerima permohonan penundaan perlawanan minggu ke-20 Liga Super daripada JDT berserta laporan penuh doktor perubatan pada hari ini.

“Selepas penelitian itu, MFL telah bersetuju untuk tidak meneruskan perlawanan disebabkan bimbang virus influenza yang merupakan sejenis penyakit berjangkit melalui saluran pernafasan disebabkan sesuatu virus, akan memberikan impak negatif kepada persekitaran perlawanan itu jika aksi itu diteruskan.

“Ini kerana virus Influenza bukan sahaja memberikan risiko tinggi kepada pasukan pelawat sebaliknya turut bimbang terdedah kepada jangkitan itu adalah orang ramai jika perlawanan itu diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Perlawanan itu akan dilangsungkan 16 Julai hadapan keputusan ini diterima dan disokong kedua-dua pasukan.

Dalam perkembangan sama, pasukan Kuala Lumpur turut bersetuju untuk menunda tarikh perlawanan dengan JDT pada 14 Julai ini kepada 13 Julai bagi membolehkan pasukan lawan itu mempunyai tempoh rehat dua hari sebelum perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menunda perlawanan Liga Premier di antara Perlis dan UiTM FC selepas 14 pemain Perlis diserang penyakit cirit birit pada Jun 2014.

 

Kredit Foto: Facebook Malaysia Football League

Categories
SUKANKINI

JDT rampas kedudukan teratas Liga Super

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 MAC: Johor Darul Ta’zim (JDT) merampas kedudukan teratas Liga Super dengan catatan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC), malam tadi.

Dalam perlawanan di Kuala Terengganu itu, JDT berjaya memperoleh gol melalui Marcos Antonio pada minit ke 29 untuk mengatasi tuan rumah 1 – 0.

Selepas lima perlawanan, JDT mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan satu kalah manakala TFC gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kekalahan itu.

Dalam perlawanan di Kuantan pula, Pahang mengalahkan Negeri Sembilan 4 – 0 untuk naik ke tangga kedua liga dengan 10 mata.

Manakala pendatang baharu, Kuala Lumpur menghampakan Kedah 4 – 3 dalam perlawanan berlangsung di Cheras.

PKNS FC sebelum ini berada pada kedudukan teratas liga selepas mengalahkan Kelantan 1 – 0, turun ke tangga ketiga menerusi perbezaan gol biarpun berkongsi 10 mata dengan Pahang.