Categories
AGENDA NASIONAL

Judi tanpa lesen, dasar kewangan PKS fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Perihal berkaitan judi tanpa lesen dan dasar kewangan jangka panjang serta perancangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara yang bakal dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Cha Kee Chin (PH-Rasah) akan bertanya Menteri Dalam Negeri mengenai langkah kerajaan untuk membanteras kegiatan judi nombor 4D tanpa lesen, kerana kewujudannya menjejaskan hasil kutipan cukai kerajaan.

Selain itu, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) akan meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan dasar kewangan jangka panjang dan perancangan untuk membantu PKS serta industri terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19.

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari terakhir, hari ini selepas RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lepas.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, ia akan disusuli dengan jawapan daripada menteri selama tiga hari bermula esok.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Warga emas antara ditahan terlibat judi tanpa lesen sekitar PJ

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Polis menahan 10 individu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan judi tanpa lesen termasuk loteri awam, bookie lumba kuda dan mahjong di sekitar Petaling Jaya pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek judi loteri awam dan bookie lumba kuda terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 38 sehingga 70 tahun.

Beliau berkata suspek judi loteri awam ditahan di Kampung Lindungan, Kampung Sungai Kayu Ara, kawasan Taman Medan, manakala suspek bookie lumba kuda ditahan di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya.

“Siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan penjualan loteri haram dan pertaruhan lumba kuda kepada penduduk tempatan dan warga asing di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 57 sehingga 79 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Damansara, di sini kerana disyaki terlibat kegiatan judi mahjong.

-BERNAMA