Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Kadar caruman pekerja sembilan peratus tahun depan

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memaklumkan bahawa kadar caruman berkanun syer pekerja akan dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tahun 2021.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata kadar caruman berkanun baharu itu akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

Bagi pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas pula, caruman berkanun syer pekerja masih kekal pada kadar yang sama, katanya.

Kadar baharu ini akan berkuat kuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 (caruman Februari 2021) sehingga bulan Disember 2021 (caruman Januari 2022).

“Ahli masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) mulai 1 Disember, 2020.

“Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam talian melalui kemudahan i-Akaun (Majikan) mulai 14 Disember, 2020. Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan,” kata KWSP.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh merujuk laman sesawang KWSP atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurangan caruman beri kesan ahli berumur bawah 60 tahun – KWSP

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Keputusan kerajaan mengurangkan kadar caruman minimum berkanun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja sebanyak empat peratus memberi kesan kepada ahli  berumur di bawah 60 tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata untuk mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, bahagian caruman pekerja kekal pada kadar sifar peratus.

“Pekerja boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman bahagian pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.

Notis itu perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP,” katanya.

Pengurangan kadar caruman daripada 11 peratus kepada tujuh peratus adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan bertujuan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global Covid-19. Kadar baharu itu akan berkuat kuasa 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini.

Pakej rangsangan ekonomi itu dilancarkan Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

-BERNAMA