Categories
AGENDA NASIONAL

Peluang jadi sukarelawan kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 masih terbuka

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Peluang untuk menjadi sukarelawan dalam kajian klinikal fasa 3 Vaksin Covid-19 masih terbuka, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kenyataan menerusi laman Twitter rasmi KKM, kementerian itu memaklumkan antara syarat yang diletakkan adalah pemohon perlu berusia 18 tahun ke atas dan sihat.

Mereka yang berminat dan mahukan maklumat lanjut boleh menghubungi antara sembilan hospital yang menjadi tapak kajian tersebut menerusi aplikasi WhatsApp iaitu Hospital Ampang, Selangor (016-7286617 dan Telegram); Hospital Umum Sarawak, Sarawak (012-3108108); Hospital Pulau Pinang, Pulau Pinang (014-9453599) dan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang (014-9065518).

Selain itu, boleh juga menghubungi Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah (019-5544976); Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak (011-63311654); Hospital Taiping, Perak (019-5544976); Hospital Sungai Buloh, Selangor (011-10045343) dan Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah (017-7931938, 017-7931987, 011-57669114).

Rata-rata maklum balas yang diterima Bernama apabila menghubungi talian-talian tersebut adalah borang perlu diisi secara dalam talian ataupun secara terus menerusi aplikasi WhatsApp sambil memberi pautan untuk maklumat lanjut, sebelum mereka mengambil tindakan seterusnya dan menghubungi pemohon.

Bagaimanapun, setakat ini tapak kajian di Hospital Ampang sudah mempunyai sukarelawan yang mencukupi, namun pihak terbabit memberi pautan untuk mengisi borang secara dalam talian bagi membolehkan mereka yang berminat dalam percubaan vaksin pada masa hadapan.

Pada 27 Januari, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan berkata kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 dimulakan pada hari tersebut di sembilan hospital berkenaan melibatkan 3,000 sukarelawan.

Beliau berkata kajian klinikal itu ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan objektif untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19.

Sembilan hospital yang terlibat dalam percubaan klinikal itu adalah di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kajian klinikal rawat Covid-19 dimulakan

PUTRAJAYA, 19 APRIL: Kajian klinikal antarabangsa di bawah ‘Kaji Selidik Solidariti’ bagi menguji empat kaedah dalam merawat Covid-19 akan dimulakan ke atas pesakit dalam negara pada masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sembilan hospital kerajaan akan mengambil bahagian dalam melaksanakan kajian klinikal berkenaan menggunakan kombinasi ubat Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Dr Noor Hisham berkata kesemua hospital ini juga bersedia menerima peserta yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Jelasnya kelulusan penggunaan ubat berkenaan dinilai badan regulatori yang disertai Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan dan Badan Regulatori Farmasi Negara.

“Penilaian dibuat berdasarkan tiga aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data dikemukakan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penyertaan negara dalam kaji selidik sedunia yang diselaras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu dijangka dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.

Ditanya mengenai kriteria pesakit yang akan menyertai kajian berkenaan, beliau berkata terdapat lima kumpulan pesakit yang akan dilihat.

“Kita akan lihat dari segi, kategori pertama, pesakit tersebut positif tetapi tiada gejala, mungkin kita tak akan masukkan, hanya yang ada gejala (kumpulan kedua) kita akan masukkan.

“Ketiga, ada radang tapi tak memerlukan oksigen, keempat, ada radang dan memerlukan oksigen dan kelima yang datang di peringkat lewat dan perlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Mengenai sama ada Malaysia akan mengikut jejak Amerika Syarikat dalam mengedarkan ‘kit ujian di rumah’ untuk mengesan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata ia bergantung kepada jenis kit.

“Kalau jenis ujian, kita kata kita gunakan teknik antigen, perlukan calitan, jadi mungkin sukar untuk kita laksanakan… besar kemungkinan susah untuk kita ambil sampel, kalau kita ambil sampel tak tepat keputusan pula mungkin negatif sebab tak ada virus di situ.

“Kalau guna kit ujian antibodi mungkin boleh sebab ia menggunakan titisan darah, tetapi antibodi bukan untuk pengesanan virus, ia hanya akan maklumkan sama ada tubuh kita ada antibodi terhadap virus tersebut ,” katanya.

-BERNAMA