Categories
NASIONAL

HFMD: 33,425 kes dilaporkan setakat kelmarin

SHAH ALAM, 20 JUL: Sebanyak 33,425 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga kelmarin dengan kebanyakan negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada minggu ke-29 tahun ini iaitu sehingga semalam sebanyak 722 kes dilaporkan dan Selasa lalu sebanyak 18 premis ditutup melibatkan enam taska dan 12 tadika.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas.

“Ini menjadikan jumlah premis ditutup sehingga kini adalah 419 premis iaitu 198 taska, 197 tadika dan 23 sekolah,” katanya dalam kenyataan.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71) yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Dr Noor Hisham berkata, kementeriannya akan terus memantau situasi HFMD dan orang ramai diminta sentiasa mematuhi nasihat diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan.

“Ibu bapa mahupun pengusaha taska dan tadika perlu membawa anak ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD dan memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

“Jangan bawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat awam kerana boleh merebakkan jangkitan, amalkan budaya mencuci tangan dengan bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh atau merawat lepuh,” katanya.

Mereka turut diingatkan membersihkan peralatan permainan yang digunakan serta lantai rumah dan tandas menggunakan larutan campuran kloroks.

Beliau juga mencadangkan kanak-kanak disaring di pintu masuk kelas bagi memastikan tiada tanda jangkitan HFMD.

– Bernama

Categories
SELANGOR

Cegah lebih baik dari ubati, Selangor serius tangani HFMD

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 OGOS : Selangor memandang serius kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin menular dalam kalangan kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pihaknya komited mengambil tindakan pencegahan sebaik sahaja menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

“Buat masa ini kita belum menerima taklimat daripada Jabatan Kesihatan Selangor berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun kita sedang berusaha mendapatkannya dan dari situ kita akan lihat bentuk tindakan terbaik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 23,454 kes HFMD dilaporkan berlaku di seluruh negara dari 3 Januari hingga 6 Ogos, meningkat 17.8 peratus atau 19,916 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

Menerusi kenyataan media, Hisham berkata untuk tempoh berkenaan, purata kes dilaporkan turut meningkat kepada 757 kes seminggu, berbanding 642 kes untuk tempoh sama 2015.

YB DaroyahMengulas lanjut statistik itu, Daroyah berkata pihaknya akan mengembeleng tenaga bersama Jabatan Kesihatan Negeri memastikan premis tumpuan kanak-kanak seperti taska dan tadika bebas dari virus berkenaan.

“Kita akan periksa kebersihan, pakaian, dan sajian makanan di taska dan tadika terlibat.

“Komitmen ini juga menuntut kita untuk memberi khidmat nasihat kepada guru tadika dan pengusaha taska dalam memastikan kelangsungan kesihatan kanak-kanak,” katanya.

HFMD berpunca daripada virus enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71) dan penularannya melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan tercemar.

Mereka dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki sekali gus menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri.

-nR-