Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Kamera badan bantu siasatan lebih telus

MELAKA, 21 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan penggunaan kamera badan dan kamera papan pemuka oleh pihak berkuasa di negara ini kerana cara itu dilihat lebih telus dan adil bagi bagi kedua-dua pihak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, penggunaan kamera tersebut oleh pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam yang disyorkan oleh badan tersebut adalah bagi menangani kes salah guna kuasa termasuk kesalahan rasuah di negara ini.

Latheefa berkata, penggunan kamera badan itu tiada kaitan dengan hak asasi kerana apabila bercakap tentang ketelusan ia melmbabitkan hak asasi semua orang.

“Tiada isu privasi atau hak asasi, anggota penguat kuasa perlu memastikan bahawa kamera badan berfungsi ketika bertugas dan tindakan diambil sekiranya ianya tidak berfungsi seperti tindakan tatatertib,” katanya.

Beliau demikian selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawaR) Zon Selatan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Latheefa berkata, ketelusan perlu ada dalam pengunaan kamera badan kerana sekiranya tidak berfungsi ia boleh menimbulkan kesangsian.

Katanya, kamera badan juga boleh menjadi perlindungan bukan hanya kepada orang awam tetapi juga kepada anggota penguatkuasa bertugas jika terdapat tomahan ataupun fitnah.

“Apa-apa yang berlaku kita akan dapat dengar dua orang bercakap, dua versi iaitu satu versi daripada anggota penguatkuasa dan satu lagi dari orang yang mendakwa menjadi mangsa kepada salah guna kuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini, kes penjualan kad pengenalan kepada warga asing dikendalikan oleh pihak polis kerana ia mebabitkan isu keselamatan negara.

“SPRM bersedia sekiranya pihak polis selesai membuat siasatan atau perlu bantuan tambahan, Kami akan membantu.

“Namum buat masa ini ianya dilihat sebagai isu keselamatan negara dan biarlah pihak polis membuat siasatan,”katanya

Beliau berkata, walaupun belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu tersebut, pihak SPRM tidak akan berdiam diri dan hanya menunggu sebaliknya akan mengikutu perkembangan semasa namum siasatan dijalankan oleh pihak polis buat masa ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kamera badan pastikan anggota laksana tugas telus

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Penggunaan kamera badan pada pegawai dan anggota polis dapat mengelak penyelewengan serta memastikan setiap tugasan dilaksana dengan telus.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan terhadap anggotanya.

“Polis amat alu-alukan dan berterima kasih kepada kerajaan serta berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin.

Ia (kamera badan ini) banyak membantu kerja penguatkuasaan serta boleh mengelak sebarang penyelewengan dalam tugasan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan kamera badan dapat dijadikan bukti terhadap fitnah yang dilemparkan kepada anggota polis.

“Kalau berlaku apa-apa hal, (kamera badan) itu boleh jadi bukti untuk elak fitnah dan polis berharap lebih banyak peralatan dapat dibekalkan.

“Peralatan, contohnya ‘Taser gun’ juga diperlukan untuk tangkap orang gila atau orang mengamuk dan ia dapat membantu melicinkan lagi penugasan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah.

Syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat, kata Dr Mahathir.

– BERNAMA