Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau kawasan tanah runtuh kampung Orang Asli, hantar pasukan bantuan

HULU LANGAT, 29 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba di lokasi menunggang motosikal diberikan taklimat oleh bomba berhubung situasi terkini keadaan di kawasan tersebut.

Beliau turut menghantar sukarelawan pendaki dan anggota bomba terlibat untuk mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan akibat banjir .

Amirudin ketika berucap memaklumkan bantuan tersebut adalah sesi kedua untuk mangsa banjir di perkampungan tersebut.

“Kerajaan Negeri dan unit bencana mengucapkan terima kasih atas komitmen diberikan. Kita faham untuk sampai ke tempat itu mempunyai lebih 20 ke 30 ‘check point’ tanah runtuh.

“Saya harap sukarelawan terlibat terus berhati-hati kerana risiko masih ada berikutan struktur tanah masih lembut. Ini bukan misi kemanusiaan sahaja tetapi faktor keselamatan perlu dijaga untuk elak kemalangan,” katanya.

Amirudin melawat dan membersihkan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Batu 16/17 dan Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi tadi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan sumbangan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Mohon kebenaran sebelum masuk kampung Orang Asli

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Semua individu, kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terlebih dahulu sebelum melaksanakan program khidmat masyarakat atau menghantar bantuan ke perkampungan Orang Asli.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu adalah selaras dengan Seksyen 14 dan Seksyen 15, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

Jelasnya, ia susulan terdapat beberapa individu dan NGO yang masuk ke perkampungan Orang Asli untuk melaksanakan program berbuka puasa dan menghantar bantuan tanpa kebenaran, malah ada yang datang dari kawasan zon merah Covid-19.

Abdul Rahman berkata selain melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), perkara itu juga dikhuatiri membawa risiko penularan pandemik Covid-19 ke perkampungan Orang Asli.

“Justeru, Jakoa memohon agar semua individu, kumpulan dan NGO dapat akur dengan arahan ini lebih-lebih lagi ketika negara sedang mencatatkan rekod penularan pandemik Covid-19 yang tinggi,” katanya.

Jakoa turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin kerana berganding bahu dengan jabatan itu untuk membantu masyarakat Orang Asli dalam menyampaikan bantuan kebajikan, namun menekankan aspek keselamatan menjadi perkara utama perlu dititikberatkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakoa: Perlu kebenaran masuk kampung Orang Asli ketika pandemik

GOMBAK, 25 JAN: Mana-mana pihak yang mahu masuk ke 74 perkampungan Orang Asli di negeri ini perlu mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Pengarah Jakoa Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata tindakan itu perlu bagi mengekang dan memutuskan rantai Covid-19 selain menjamin keselamatan golongan minoriti tersebut.

“Jika kehadiran tidak memudaratkan penduduk Orang Asli, kebenaran akan diberikan dengan jumlah yang dihadkan.

“Begitu juga dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang datang menghulurkan bantuan. Semua yang mahu datang perlu dapatkan kebenaran dari Jakoa atau Majlis Keselamatan daerah,” kata Zainul Adnan Zainal Abidin.

Semalam, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan bantuan kepada 36 keluarga Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam.

Setiap keluarga diberi makanan kering seperti beras, minyak, ayam, sayuran serta ikan bagi membantu mereka berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).