Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri, Jakoa kerjasama bantu Orang Asli mohon bantuan banjir

KUALA LANGAT, 22 DIS: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam membantu masyarakat Orang Asli memohon bantuan banjir.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata jabatan itu mempunyai maklumat terperinci dan lengkap berhubung penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Pada masa sama, kita mohon ketua kampung, pengerusi atau tok batin juga memainkan peranan untuk membantu penduduk bagi memudahkan urusan permohonan,” kata Hee Loy Sian.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan keperluan harian di tiga perkampungan di Sepang dan Kuala Langat yang terjejas akibat banjir iaitu Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Tampoi Seberang dan Kampung Orang Asli Bukit Serdang.

Dalam pada itu, Loy Sian memaklumkan pihaknya akan mencadangkan supaya permohonan bantuan tersebut dipermudahkan agar tidak membebankan mangsa banjir.

“Kita akan fikirkan kaedah paling ringan untuk mereka kerana sekarang sudah terbeban. Mereka tidak larat untuk pergi ke balai polis buat laporan dan hendak bersihkan rumah lagi,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain pemulihan infrastruktur, dana itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Selain itu, sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tok Batin main peranan mudahkan proses vaksinasi Orang Asli

ISKANDAR PUTERI, 25 SEPT: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak berdepan dengan masalah antivaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Sapiah Mohd Nor berkata hal ini kerana pendedahan dan penerangan mengenai vaksin COVID-19 serta Tok Batin yang memainkan peranan telah memudahkan proses vaksinasi masyarakat Orang Asli.

“Ada sebilangan sahaja yang tidak mahu divaksin kerana takut dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Tetapi setelah kita memberi pendedahan dan penerangan mereka sambut baik. Mereka juga memerlukan idola, jika Tok Batin memainkan peranan dan menjadi contoh yang baik, ia tidak akan menjadi masalah dan mereka semua akan ikut,” katanya kepada pemberita selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Simpang Arang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya jabatan itu berdepan masalah antivaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Sapiah berkata setakat semalam sebanyak 43 peratus daripada 144,180 Orang Asli yang berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara, telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

“Program pemberian vaksin sentiasa berjalan dan saya menjangkakan kita boleh capai anggaran ke arah 60 peratus lengkap vaksin hari ini,” katanya.

Beliau berkata Johor merupakan antara negeri dengan kadar vaksinasi terendah dan menjelaskan setakat semalam sebanyak 39 peratus iaitu 4,638 daripada 11,884 Orang Asli telah lengkap menerima vaksin.

“Setakat ini juga, seramai 871 Orang Asli telah dijangkiti COVID-19 di Johor dengan jumlah paling ramai di daerah Johor Bahru iaitu 604 pesakit, manakala rekod kematian adalah 10 orang hingga kini, ” katanya.

Bagi program bantuan bakul makanan pula, beliau berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah memperuntukkan sebanyak RM1.53 juta untuk tujuan itu dengan RM49,528 peruntukan bakal memanfaatkan 1,165 penduduk Kampung Orang Asli Masai dan Kampung Orang Asli Simpang Arang di Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Mohon kebenaran sebelum masuk kampung Orang Asli

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Semua individu, kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terlebih dahulu sebelum melaksanakan program khidmat masyarakat atau menghantar bantuan ke perkampungan Orang Asli.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu adalah selaras dengan Seksyen 14 dan Seksyen 15, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

Jelasnya, ia susulan terdapat beberapa individu dan NGO yang masuk ke perkampungan Orang Asli untuk melaksanakan program berbuka puasa dan menghantar bantuan tanpa kebenaran, malah ada yang datang dari kawasan zon merah Covid-19.

Abdul Rahman berkata selain melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), perkara itu juga dikhuatiri membawa risiko penularan pandemik Covid-19 ke perkampungan Orang Asli.

“Justeru, Jakoa memohon agar semua individu, kumpulan dan NGO dapat akur dengan arahan ini lebih-lebih lagi ketika negara sedang mencatatkan rekod penularan pandemik Covid-19 yang tinggi,” katanya.

Jakoa turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin kerana berganding bahu dengan jabatan itu untuk membantu masyarakat Orang Asli dalam menyampaikan bantuan kebajikan, namun menekankan aspek keselamatan menjadi perkara utama perlu dititikberatkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakoa: Perlu kebenaran masuk kampung Orang Asli ketika pandemik

GOMBAK, 25 JAN: Mana-mana pihak yang mahu masuk ke 74 perkampungan Orang Asli di negeri ini perlu mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Pengarah Jakoa Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata tindakan itu perlu bagi mengekang dan memutuskan rantai Covid-19 selain menjamin keselamatan golongan minoriti tersebut.

“Jika kehadiran tidak memudaratkan penduduk Orang Asli, kebenaran akan diberikan dengan jumlah yang dihadkan.

“Begitu juga dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang datang menghulurkan bantuan. Semua yang mahu datang perlu dapatkan kebenaran dari Jakoa atau Majlis Keselamatan daerah,” kata Zainul Adnan Zainal Abidin.

Semalam, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan bantuan kepada 36 keluarga Kampung Orang Asli Ulu Batu, Ulu Yam.

Setiap keluarga diberi makanan kering seperti beras, minyak, ayam, sayuran serta ikan bagi membantu mereka berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENDA NASIONAL

JAKOA perkasa sektor pelancongan eko perkampungan Orang Asli

MELAKA, 5 OKT: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang giat memperkasakan sektor pelancongan eko dan agro di perkampungan masyarakat itu yang berpotensi di seluruh negara dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JAKOA, Bakar Unus berkata, sektor itu adalah sumber ekonomi baharu yang semakin popular selain menjadi tarikan pelancong sejak kebelakangan ini, sekali gus dilihat mampu memberi peluang kepada penduduk menjana pendapatan serta peluang pekerjaan.

Beliau berkata, antara contoh perkampungan masyarakat Orang Asli yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara dalam sektor terbabit ialah Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Perak yang mencatatkan rekod kira-kira 10,000 pengunjung pada tahun lalu.

“Jika dahulu kebanyakan mereka tidak kisah mengenainya, tetapi sejak 2016 kegiatan pelancongan ini semakin mendapat perhatian terutamanya pada cuti hujung minggu, ramai yang memilih berkunjung ke tempat berkenaan sebagai destinasi percutian alam semula jadi.

“Pelbagai kemudahan seperti chalet, selain aktiviti menarik antaranya ‘jungle trekking’, memancing, mendaki bukit selain melihat aktiviti pertanian, penghasilan produk dan kraftangan penduduk dengan tawaran harga pakej yang berpatutan kepada pengunjung,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Karnival Usahawan Orang Asli 2019 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini.

Bakar berkata kawasan perkampungan Orang Asli lain yang turut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Pulau Carey dan Tanjung Sepat di Selangor, Bukit Kepong, Seremban di Negeri Sembilan serta Lubok Bandung, Jasin di Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan pertambahan bilangan pelancong saban tahun, pihak JAKOA akan memainkan peranan dalam membimbing masyarakat Orang Asli yang terbabit untuk meneroka bidang tersebut selain memastikan ia lebih teratur dan bersistematik.

“Pihak kita juga akan membantu mereka seperti menyediakan latihan dan bimbingan untuk membangunkan ekopelancongan dan agropelancongan untuk masyarakat Orang Asli, melalui program tertentu yang dirangka bagi memperkasa bidang keusahawanan mereka supaya lebih berdaya saing,” katanya.

Seorang daripada peserta Karnival Usahawan Orang Asli 2019, Ramun Saari menyambut baik usaha JAKOA yang dilihat dapat membantu masyarakat Orang Asli menambah pendapatan penduduk, khususnya peniaga kecil sekali gus dapat mempromosi dan merancakkan kegiatan pelancongan di kawasan mereka.

Ramun, yang mengusahakan Rumah Rakit Yekmon di Sungai Pelek, Bagan Lalang Selangor berkata pelancongan berkonsepkan agro dan eko berpotensi tinggi dikembangkan, memandangkan banyak kawasan perkampungan dikelilingi keindahan alam semula jadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk aktiviti riadah.

“Aktiviti yang berfokuskan riadah seperti meneroka hutan, bukit, sungai, air terjun dan sebagainya sememangnya amat popular di kalangan pelancong, oleh itu kita berharap sektor ini dapat terus diperkasakan,” katanya yang merupakan suku Mah Meri.

Karnival Usahawan Orang Asli 2019 yang diadakan selama tiga hari sehingga esok, adalah landasan terbaik bagi 29 usahawan Orang Asli dari seluruh negara memperkenalkan keunikan produk keusahawan, kebudayaan dan tradisi mereka.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

JAKOA sedia logistik kepada agensi kerajaan

KUALA KRAI, 9 Jun : Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menyediakan kemudahan logistik terutama kemudahan pengangkutan kepada agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan berhubung jangkitan penyakit radang paru-paru membabitkan masyarakat Orang Asli suku kaum Batik di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Pengarahnya Prof Dr Juli Edo berkata pihaknya akan bekerja rapat dengan pelbagai agensi terutama terhadap dakwaan berlakunya pencemaran air disebabkan aktiviti perlombongan yang menjadi sumber air kepada penduduk.

“JAKOA kini sedang merancang untuk membekalkan air mentah kepada penduduk sebagai bantuan awal kepada mereka berikutan munculnya dakwaan sumber air mereka telah tercemar.

“Harapan kami di JAKOA supaya penyakit berkenaan bukanlah penyakit berjangkit yang merebak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi 10 pesakit Orang Asli di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa.

Juli berkata terdapat 196 penduduk Orang Asli suku kaum Batik membabitkan 52 keluarga yang menghuni perkampungan di Kuala Koh. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penstrukturan semula JAKOA terus diteliti

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Kerajaan sedang meneliti cadangan penstrukturan semula Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha memastikan masyarakat berkenaan terus terbela secara lebih efektif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy berkata, jabatan berkenaan membentangkan permohonan penstrukturan semula pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mac lalu.

“Kertas cadangan penstrukturan semula oleh JAKOA pada mesyuarat berkenaan sedang dikemas kini dan akan dikemukakan untuk pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah dirunding di peringkat Jabatan Perdana Menteri(JPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya, hari ini, sebelum usul berkenaan dilulus sebulat suara Anggota Dewan Negara.

Dalam perkembangan sama, katanya pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (semakan 1974) (Akta 134) juga dalam penelitian kerajaan antara lain bagi menjadikannya lebih relevan dengan keperluan semasa dan dapat menangani masalah berkaitan masyarakat berkenaan

Katanya cadangan pindaan akta berkenaan telah didaftarkan pihak JAKOA ke dalam senarai akta untuk pindaan oleh kerajaan yang dipantau Hal Ehwal Undang-undang JPM.

“Perkara-perkara yang akan ditambah baik termasuk tafsiran Orang Asli, pentadbiran Orang Asli, pendidikan, tanah dan sebagainya sejajar keperluan semasa,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB mahu mantapkan pembangunan orang asal

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Kerajaan Negeri akan memantapkan lagi pembangunan orang asal, di Selangor bagi memastikan kaum berkenaan terus terbela.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sesuai dengan perkembangan baru pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan menjalin kolaborasi untuk menambah baik hal itu.

“Pastinya kita akan berbincang apa yang boleh dilakukan untuk memberi nilai tambah kepada keperluan orang asal, di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tidak meminggirkan kaum ini kerana mereka sebahagian daripada pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Rumah di bawah Program Baikpulih Rumah, Kampung Orang Asal Bukit Bangkong, di sini.

Pada majlis itu, Amirudin menyerahkan tiga unit rumah kepada tiga penerima bernilai RM50,000 di bawah peruntukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Terdahulu, tiga unit rumah itu dibaik pulih selepas mengalami pelbagai kerosakan dan terbakar.

Sementara itu, penerima Johari Ahmad, 38 berkata penantian selama lapan tahun berakhir apabila rumah yang dinantikan siap sepenuhnya.

“Saya bersyukur dan gembira kerana dapat rumah baru. Sudah sekian lama keluarga dan ibu saya menunggu rumah ini.

“Saya memang berasal dari kampung ini dan rumah sebelum ini juga dalam keadaan sangat daif.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada JAKOA dan Kerajaan Negeri,” katanya.