Categories
NASIONAL

Cinta Pada Kaum Tidak Boleh Jadi Ideologi, Akidah

KUALA SELANGOR 26 MAC : Pendekatan persaudaraan yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat (Pakatan) akan membolehkannya terus kukuh berbanding dengan Umno-BN yang hanya mengamalkan semangat kebangsaan kaum.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata pendekataan persaudaraan itu adalah perbezaan yang paling ketara berbanding apa yang diamalkan oleh Umno-BN.

Katanya, satu kesilapan besar bagi Umno-BN adalah ia mengamalkan semangat perkauman antara parti-parti komponennya seperti Umno, MCA dan MIC.

“Walaupun parti itu sudah memerintah lebih 50 tahun, hasilnya masih banyak masalah yang membebankan rakyat dan tidak boleh mencapai ke tahap negara maju.

“Tidak menjadi masalah jika menyayangi kaum masing-masing tetapi kecintaan pada bangsa tidak boleh jadikan satu ideologi atau akidah hingga boleh mencetuskan hubungan tidak baik antara satu sama lain.

“Mereka hanya mengamalkan saling tidak mempercayai dan tindas menindas antara satu sama lain. Bukan hanya berbagai bangsa tetapi di kalangan satu bangsa juga,” katanya.

Beliau berucap pada rapat rakyat Karnival Terima Kasih Rakyat sempena empat tahun Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Kuala Selangor, semalam.

Tambahnya, negara boleh dibna dengan hebat sekiranya budaya semua komuniti diadun dengan baik.

“Ini pendekatan Pakatan Rakyat, konsep negara berkebajikan digabungkan dalam Buku Jingga, satukan pelbagai kaum dan taraf hidup serta berjaya melahirkan konsesi Pakatan Rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Remaja Upahan Umno Didakwa Cuba Sabotaj Karnival Terima Kasih Rakyat

KUALA SELANGOR 26 MAC : Tindakan ganas dan cuba menimbulkan kekecohan ketika sambutan Karnival “Terima Kasih Rakyat” semalam didakwa didalangi Umno-BN.

Bertempat di Stadium Kuala Selangor, kekecohon tersebut tercetus apabila kumpulan terbabit secara tiba-tiba membuat bising dan membaling batu ke arah para hadirin sambil membawa sepanduk yang tertulis ‘Anwar Yahudi’ dan ‘Anwar sokong Israel’ ketika ucapan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Kumpulan yang terdiri daripada enam orang itu juga bertindak menyerang kereta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang baru sahaja beredar untuk ke program lain selepas memberi ceramah di majlis itu.

Karnival itu diadakan sempena ulangtahun ke empat pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai bertindak mengejar kumpulan terbabit yang menaiki tiga buah motorsikal.

Bagaimanapun, salah seorang daripada ahli kumpulan itu berjaya ditahan orang ramai menyebabkan anggota Unit Amal PAS yang mengawal ceramah tersebut, terpaksa bertungkus berusaha menghalang remaja itu dari dipukul manakala lima remaja lain berjaya melarikan diri.

Keadaan itu bagaimanapun kembali tenang sepenuhnya selepas remaja itu ditahan oleh polis.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan kumpulan terbabit.

Katanya, seperti biasa Umno-BN akan menghantar samseng upahan untuk menganggu setiap majlis Pakatan Rakyat.

Categories
SELANGOR

Satu Lagi Program MES Untuk Suri Rumah, Warga Emas dan Kanak Kanak

KUALA SELANGOR 25 MAC : Sambutan yang menggalakkan daripada lebih 70,000 pengunjung ke Karnival ?Terima Kasih Rakyat? sempena empat tahun Pakatan Rakyat (PR) di Kuala Selangor semalam merupakan satu petanda baik bagi Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sambutan itu menunjukkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Selangor datang daripada berbilang kaum.

Khalid dalam ucapannya turut mengumumkan program baru yang dirancang Kerajaan Negeri dibawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk semua golongan.

Katanya, program yang akan diberikan kepada isi rumah, suri rumah, kanak-kanak, warga emas dan golongan belia akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Untuk merealisasikan program ini, kita harus bekerja bersama-sama seperti satu keluarga, jangan wujudkan perbezaan seperti yang diamalkan sebelum 2008.

“Banyak program mereka (pentabiran Selangor lama) tidak membawa rakyat bersama antaranya warga emas, biasiswa dan bantuan orang miskin.

?Tetapi MES tidak meninggalkan sesiapa kerana di negeri yang kaya ini kita salurkan kepada rakyat,? Khalid berkata.

Khalid berkata program MES kini sudah merentasi lebih empat juta penduduk negeri.

Karnival yang berlangsung selama satu hari di Stadium Kuala Selangor itu di adakan sempena ulang tahun ke-empat pentadbiran Pakatan di Selangor.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, ke semua barisan Exco Kerajaan Selangor, termasuk ADUN danĀ  MP Pakatan.

Tambahnya, pentadbiran Pakatan mampu menjana ekonomi ke tahap yang lebih tinggi daripada sebelum 2008.

“Banyak dakwaan sebelum ini yang mengatakan Kerajaan Negeri akan bangkrup jika melaksanakan program MES lebih lagi dengan bantuan air percuma tetapi dakwaan itu tidak benar dan kita bertambah maju,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam rekod pembangunan negeri, Selangor muncul sebagai negeri unggul dan menyumbangkan lebih 20 peratus keluaran negara kasar (KDNK).

“Lonjakkan ini adalah lebih baik daripada sebelum 2008, bukan satu cerita tetapi kenyataan dan angka-angka ini bertambah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.