Categories
SUKANKINI

Mini Cub Prix KBS: Saingan sengit rebut juara pertama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 DIS: Saingan musim pertama Kejuaraan Mini Cub Prix KBS semakin menuju kemuncak dan juara keseluruhan hanya akan diketahui pada pusingan terakhir di Bandar Penawar, Johor, minggu ini.

Siri perlumbaan program pembangunan sukan permotoran negara anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu, menyaksikan persaingan hebat beberapa pelumba untuk muncul pemenang di akhir musim.

Jika pada awal saingan musim ini kelihatan Mohd Aidil Mohamad Ayub begitu mendominasi perlumbaan dengan memenangi lima perlumbaan berturut-turut bermula dari pusingan pertama sehingga ketiga, namun insiden demi insiden dialami ketika perlumbaan menyaksikan kedudukan kini berubah.

Kegagalan menaiki podium pada Perlumbaan 2 pusingan ketiga dan Perlumbaan 1 di Jempol ditambah dengan kegagalan untuk menamatkan Perlumbaan 2 menyebabkan pelumba berusia 12 tahun dari Selangor itu terpaksa menyerahkan takhta pendahulu kepada Nabil Abdul Rahman.

Nabil yang muncul juara Perlumbaan 2 di Batu Kawan dan Perlumbaan 1 di Jempol serta naib juara kini menghuni tangga teratas dengan 153 mata, hanya enam mata mendahului Aidil (147 mata).

Sementara itu, Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas yang konsisten menamatkan saingan di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan turut memberikan cabaran apabila menghuni tangga ketiga (134 mata).

Dengan baki 50 mata maksimum pada dua perlumbaan terakhir, persaingan lebih terarah di antara Nabil dan Mohamad Aidil sambil Muhammad Farish berupaya memberikan kejutan manakala Putera Alif Irfan (101 mata) di kedudukan keempat dilihat masih berpeluang mencipta kejutan bagi merebut slot automatik dan biasiswa menyertai siri perlumbaan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim 2019.

Persaingan kategori terbuka lebih menarik dan sengit apabila hanya lima mata dibezakan antara tiga pelumba teratas dengan juara pusingan ketiga, Adib Hareez Hazwat di tangga teratas dengan 62 mata manakala kegagalan juara pusingan pertama dan kedua, Muhammad Hakim Danish Ramly menamatkan perlumbaan di Jempol menyaksikannya jatuh ke kedudukan kedua (58 mata) sambil Qabil Irfan Azlan yang memenangi perlumbaan lalu di kedudukan ketiga (57 mata).

Dalam kategori kadet pula, Muhammad Hakim Danish dilihat sukar dicabar apabila berjaya memenangi keempat-empat perlumbaan lalu dan mengumpul 100 mata maksimum manakala Muhammad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman berjaya menaiki podium dalam semua perlumbaan bagi kategori kidz, berada di tangga teratas dengan 81 mata.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PUSINGAN 4 KEJUARAAN MINI CUB PRIX KBS

JUNIOR
1. Nabil Abdul Rahman (JHR) 153 mata
2. Mohamad Aidil Mohamad Ayub (SGR) 147 mata
3. Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas (JHR) 134 mata
4. Putera Alif Irfan Abdullah (SGR) 101 mata
5. Muhammad Alif Izwan Samsul Fakry (KUL) 87 mata

OPEN
1. Adib Hareez Hazwat 62 mata
2. Muhammad Hakim Danish Ramly 58 mata
3. Qabil Irfan Azlan 57 mata
4. Muhammad Adib Arsyad Hisyam 46 mata
5. Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 42 mata

KADET
1. Muhammad Hakim Danish Ramly 100 mata
2. Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 72 mata
3. Muhammad Farish Hafiy Farid Sezli 52 mata
4. Haidar Nur Akmal Mohd Zaki 36 mata
5. Muhammad Adie Putra Sukarno 27 mata

KIDZ
1. Muhammad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman 81 mata
2. Muhammad Adib Arsyad Hisyam 65 mata
3. Qabil Irfan Azlan 60 mata
4. Muhammad Syahmi Aiman Mohd Shafie 52 mata
5. Muhammad Shah Putra Norshahrizan 36 mata

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Peserta LiSUS dipanah petir meninggal dunia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 OKT: Mangsa panahan petir Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS), Faizal Alli dari Sabah disahkan meninggal dunia, hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif, Hospital Canselor Tuanku Muhriz sejak petang Sabtu lalu menghembuskan nafas terakhir, sekitar jam 11.02 pagi tadi.

“Dukacita dimaklumkan salah seorang mangsa terbabit iaitu Faizal disahkan meninggal dunia.

“KBS akan mengambil tindakan selanjutnya bersama keluarga bagi urusan penghantaran pulang jenazah untuk dikebumikan di Tawau, Sabah.

“Salam takziah diucapkan dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Faizal, 41, bersama dua lagi peserta futsal LiSUS dipanah petir ketika kejohanan berlangsung di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.

Dua lagi mangsa, Nurrizati Kamsani dari Terengganu dan Abd Wahid Habib Abdullah dari Sabah turut cedera serta dibenarkan pulang selepas dirawat, pada 13 Oktober lalu.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

KBS sahkan berita tular tiga pemain futsal dipanah petir

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengesahkan laporan berita yang tular mengenai tiga peserta futsal Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) dipanah petir petang tadi.

“Seperti yang tular di beberapa laman sosial, KBS dengan ini mengesahkan tiga peserta futsal LiSUS peringkat kebangsaan dipanah petir sekitar 4.30 petang di Padang MSN (Majlis Sukan Negara), Bukit Jalil,” kata Unit Komunikasi Korporat KBS dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan kini sedang menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

KBS menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan ketiga-tiga mangsa adalah keutamaan mereka dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dengan segera.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui entri di laman Twitter miliknya berkata beliau mengambil maklum tentang insiden tersebut.

“Saya mengambil maklum tentang kejadian peserta LiSUS yang dipanah petir pada 4.30 petang tadi di Padang MSN Bukit Jalil. Ketiga-tiga pemain dihantar ke HUKM untuk rawatan lanjut.

“Keselamatan & kebajikan mereka adalah fokus utama KBS. Doakan semuanya berjalan lancar,” kata Syed Saddiq melalui entri tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ribuan pengunjung hangatkan Hari Sukan Negara Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2018 peringkat Selangor menyaksikan ribuan peserta berhimpun bagi melakukan pelbagai aktiviti riadah dan sukan, di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, pagi ini.

Acara yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu disertai setiap lapisan masyarakat terdiri daripada Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam serta Swasta juga kanak-kanak.

Majlis pelancaran disempurnakan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari sambil diiringi Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Terdahulu, beliau bersama ribuan masyarakat melakukan Senam Cergas sebelum melepaskan peserta Hill Run@HSN Selangor, yang menjadi acara ikonik bagi sambutan berkenaan.

Majlis itu turut gegak gempita dengan kehadiran tiga jaguh sepak takraw negara yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, iaitu
Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias dalam sesi ‘Meet & Greet’.

Malah, pihak penganjur turut menampilkan kelainan pada sambutan kali ini yang berlangsung serentak di seluruh negara melalui aktiviti berteraskan Prinsip Mudah, Murah dan Menarik (3M).

Antara aktiviti menarik disajikan kepada orang ramai sepanjang tiga hari program terbabit berlangsung adalah ‘Aerobicthon Competition’, pertandingan lompat tali, demonstrasi (silat, silamban dan wushu), ‘Amazing Race’ dan mewarna untuk kanak-kanak.

Acara sampingan lain termasuk ‘Tree Climbing’, ‘Rain Forest’, ‘Shoe & Tell’, XPDC Puncak Sapu Tangan, ‘Fly Fishing’, pameran dan jualan serta ‘Sport Massage’.

Selain itu, kemudahan di bawah Jabatan Belia dan Sukan juga dibuka secara percuma kepada orang awam.

Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu kedua setiap Oktober bermula 2015 bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia sentiasa bersukan dan menjadikan budaya hidup.

Pelaksanaan HSN peringkat Selangor adalah selaras dengan sambutan yang dijalankan serentak di seluruh negara, hari ini.

Categories
SUKANKINI

KL2017: Pertemuan positif demi nama baik negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pertemuan antara Kerajaan Negeri dan wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan persiapan kelengkapan serta vanue Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 berlangsung positif, semalam.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, antara perkara yang turut dibincangkan termasuk kemudahan pusat latihan dan Stadium Shah Alam.

“Ada persetujuan bersama dan boleh saya katakan Selangor menerima beberapa pandangan mereka.

“Seperti yang pernah saya nyatakan dalam Dewan (Negeri Selangor), Stadium Shah Alam dan Stadium Petaling Jaya sudah dinaik taraf lebih RM4 juta khususnya lampu serta kelengkapan lain,” katanya.

Kerajaan Selangor diwakili Amirudin; Setiausaha Kerajaan Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus; Datuk Bandar Shah Alam,Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

IMG_20170718_145503Sementara KBS diwakli Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Sea 2017, Datuk Zolkples Embong.

Amirudin berkata, KBS turut memberi jaminan untuk membantu sedikit kos pada jumlah tertentu bagi memastikan kemudahan sukan dan latihan berada dalam keadaan sempurna.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melengkapkan kemudahan sukan dalam masa terdekat demi menjaga nama baik negara serta bersedia memberi bantuan sokongan lain jika diperlukan.

Menyentuh soal baik pulih bumbung Stadium Shah Alam yang rosak, Amirudin berkata, ia dalam proses baik pulih.

Categories
SELANGOR

Selangor sambut huluran tangan KBS baik pulih stadium

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Negeri menyambut baik huluran tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu menyelenggara kerosakan di Stadium Shah Alam.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah menjalin kerjasama pentadbiran dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat rakyat.

Katanya, ia termasuk kerjasama Kerajaan Negeri dengan mana-mana persatuan, jika kena dengan caranya.

“Soalnya, semua pihak perlu hormati tugas dan peranan masing-masing kerana akhirnya kita menjawab kepada tanggungjawab, amanah serta pengundi.

“Memang kita sentiasa terbuka soal rundingan. Siapa yang faham, fahamlah,” katanya menerusi status terkini di laman Facebook rasminya.

Pada 14 Julai lalu, Amirudin menyarankan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan dana RM3 juta.

YB AMIR“Perkara diutarakan itu hanya boleh dipertimbangkan jika FAS menggunakan saluran betul seterusnya berbincang lebih lanjut berkenaannya.

“Permohonan seperti ini belum boleh kita pertimbangkan, kalau nak memohon, kena buat betul-betul lah, bukan permohonan menerusi media,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mempelawa KBS selaku penganjur utama Sukan Sea untuk bersama membantu usaha membaik pulih Stadium Shah Alam, jika mempunyai peruntukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kemudian memberi respon menerusi Twitter:

“YB, KSU (Ketua Setiausaha) KBS sudah melawat SSA. Esok saya harap kedua pihak boleh berbincang skop dan lain-lain untuk segerakan kerja penambahbaikan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Ketua Audit Negara perlu dedah laporan penuh sambutan Hari Belia

SHAH ALAM, 12 NOV: Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Ambrin Buang mendedahkan laporan audit penuh sambutan tahunan Hari Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan.

Nik Nazmi berkata, hal itu perlu kerana rakyat Malaysia khususnya golongan muda berhak mengetahui jika ada masalah atau kekurangan berkenaan cara wang pembayar cukai dibelanjakan.

“Kerajaan perlu memberikan justifikasi bagaimana acara ini yang kos cukup tinggi sangat memberikan manfaat dan dapat memperkuasa generasi muda di Malaysia,” tegasnya yang dipetik dari Keadilan Daily.

Himpunan-Jutaan-Belia-2012-590x330Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut membuat gesaan sama berikutan peningkatan kos bagi sambutan program tahunan terbabit.

Kos bagi mengadakan sambutan itu didakwa meningkat daripada RM16 juta pada tahun 2011 kepada RM18.07 juta pada 2013.

Nik Nazmi turut mempersoalkan mengapa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak diihat mengeluarkan belanja besar dalam acara itu tetapi bersikap kurang peduli dalam perkara lebih penting seperti inisiatif pro generasi muda yang tidak memerlukan belanja besar.

nik nazmiBeliau berkata yang juga Exco Pendidikan,Pembangunan Modal Insan,Sains Teknologi dan Inovasi Selangor itu berkata, adalah lebih baik perbelanjaan keterlaluan berkenaan digunakan untuk keutamaan lain yang lebih penting seperti membiayai biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan dan kemudahan rumah mampu milik untuk generasi muda.

“Saya berharap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, melihat perkara ini secara serius,” katanya.

-NFN-