Categories
NASIONAL

Zuraida: Tindakan Saiful melaga-lagakan PAKATAN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN : Tindakan Saiful Bukhari memuat naik status berkenaan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon sesuai dijadikan Perdana Menteri adalah sekadar bertujuan melaga-lagakan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Ketua wanita Keadilan Rakyat (KEADILAN), Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan Saiful Bukhari tidak boleh diterima sedangkan dia pernah menipu kononnya pernah diliwat Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Anwar dimasukkan ke penjara.

“Orang tipu mengenai liwat saya tak boleh terima cakap dia (Saiful), Dia cuma nak melaga-lagakan Azmin dengan Anwar.

“Biasalah sudah semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sudah pasti makin ramai hendak melaga-lagakan parti PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Majlis Ramah Mesra Hi-Tea Bersama Media sempena tahun baru 2018 : Usher in The New Year and #PressForProgress with IWB di Hotel Concorde, semalam.

Namun, mengulas status Saiful di Facebook berkenaan Azmin Ali adalah calon sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri dan menyifatkan Timbalan Presiden KEADILAN itu sebagai calon politik ‘pendiam tetapi licik’.

Zuraida berkata, untuk menyegarkan sistem politik negara, adalah perlu mengetengahkan calon Perdana Menteri yang muda.

“Saya tidak menafikan untuk menyegarkan politik negara, keperluan kita ketengahkan calon Perdana Menteri yang muda, millennial, mempunyai pandangan reformasi meluas serta pernah diuji dan teruji,” katanya.

Ketika ditanya adakah individu yang dimaksudkan adalah Azmin Ali, beliau berkata ia boleh dipertimbangkan.

“Kalau rasa tepat dengan ciri yang saya sebut tadi ia mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.