Categories
SELANGOR

Sivarasa : Selamatkan Negara Dari Barah Korupsi Umno-BN

SUBANG, 4 FEB : Ketirisan dan amalan korupsi yang diamalkan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu merupakan faktor utama mengapa rakyat Malaysia perlu melakukan perubahan dari sudut pemerintahan negara.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, keadaan ekonomi negara yang semakin merudum dan kecurian wang rakyat yang berlaku secara terang-terangan juga antara penyebab perlunya pentadbiran kerajaan sekarang ditukar.

Menurut Sivarasa, rakyat akan semakin menderita dan bakal menanggung kerugian kerana semakin terbeban dengan pentadbiran Umno-BN yang hanya mementingkan kroni semata-mata.

“Keadaan negara kita sekarang sudah sampai ke tahap di mana rakyat tiada pilihan, selain membuat perubahan di negara ini. Bagi saya, tiada masa untuk rakyat tanya mengapa kerajaan sekarang perlu diubah.

Untuk mengelakkan negara daripada terus rosak dan musnah kerana ketirisan Umno-BN, maka kita mesti ubah kerajaan sekarang dengan menggantikan kerajaan baharu iaitu Pakatan Rakyat (PR) di Putrajaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Subang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Tambah Sivarasa, tahun 2012 merupakan tahun penting bagi seluruh rakyat di negara ini kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka akan berlangsung sedikit masa lagi.

Ini kerana jelasnya, PRU-13 bukanlah sekadar pilihan raya biasa seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya ia akan menentukan masa hadapan negara dan nasib rakyat sendiri.

“Kali ini rakyat tiada pilihan lagi selain memilih pemimpin baru. Sekiranya rakyat terus-terusan memilih Umno-BN, negara kita akan tentu musnah di masa hadapan. Mesej ini perlu disampaikan kepada semua.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang hebat dan bertambah maju, tetapi bukan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang,” tegasnya.

 

Dr Kamarol Zaman: MAIS Tidak Bertanggung Jawab

SHAH ALAM, 1 FEB : Pewakaf 26 unit rumah teres dan sebuah banglo kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Kamarol Zaman Hajar kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab MAIS berhubung amanah yang diberikan kepada majlis tersebut.
Katanya, alasan yang diberikan oleh (MAIS) bahawa rumah 26 unit yang diwakafkan tidak selamat diduduki dan tidak menepati spesifikasi Pihak Berkuasa Tempatan disangkal sekeras-kerasnya oleh beliau.

Dr Kamarol ketika dihubungi TVSelangor menyifatkan bahawa alasan yang diberi MAIS sekadar melepas batok ditangga bagi menutup kekhilafan mereka.

“Saya menyangkal 100 peratus apa yang dikatakan MAIS itu. Sewaktu diwakafkan, rumah-rumah itu sempurna dengan api, air dan sisem perparitan yang elok untuk kemudahan penghuninya.

‘Kalau tidak memenuhi spefikasi masakan letrik, air dan saluran pembentungan disalurkan.

“Kalau mereka mendakwa saya tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan, tidak selamat, saya mencabar mereka untuk bersemuka dengan saya kerana saya mempunyai bukti bahawa ianya bukan seperti didakwa mereka,” ujar doktor yang berusia 54 tahun ini.

Sementara itu, alasan bahawa barangan seperti pintu, grill, kipas, tangki air dan lain-lain dibuka dan disimpan dengan selamat bagi mengelakkan kecurian, Dr Kamarol mengatakan bahawa kenyataan itu ‘kelakar’.

“Bukan saya sahaja, malah orang ramai ada juga bertemu saya memberitahu bahawa alasan yang diberi itu bodoh,” kata Dr. Kamarol.

Menurut doktor itu lagi, apa yang beliau cuba pertahankan bukan sekadar rumah-rumah yang diwakafkan tapi persoalan agama yang cuba diperkotak-katikkan badan yang sepatutnya menjalankan amanah sesama umat.

“Mereka ini mempermain-mainkan amanah yang diberi sewenang-wenangnya mengikut tekak mereka tanpa memperdulikan nilai-nilai yang seharusnya diangkat oleh mereka.

“Hari-hari saya menangis mengenangkan usaha dari titik peluh saya ini, yang suatu masa dulu menjadi nadi saya, harapan saya berbakti pada mereka yang memerlukan dipersiakan begitu sahaja.

“Lebih sayu ia diperlekehkan oleh mereka yang merupakan saudara sesama Islam saya,” jelas beliau.

MAIS: 26 Unit Rumah Tidak Selamat Di Duduki

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua 26 premis wakaf di Desa Fahmi, Klang yang diwakafkan oleh pewakaf Dr Kamarul Zaman Hajar dikosongkan disebabkan rumah tersebut tidak selamat untuk diduduki.
Setiausaha MAIS, Mohd Haniff Hassan berkata 26 unit rumah teres dan sebuah banglo yang diwakafkan sejak 2006 tersebut tidak menepati spekifikasi pihak berkuasa tempatan.

Katanya sebelum ini banglo tersebut telah diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor walau pun tujuan asal pewakaf untuk manfaat wakaf am.

Menurut Haniff, MAIS telah menyewa rumah-rumah teres sedia ada dengan wang sewaan disalurkan ke Akaun Manfaat Wakaf untuk maslahat umum.

Berhubung pengosongan tersebut beliau berkata pada awal 2011 premis-premis tersebut didapati tidak selamat diduduki.Manakala kerja-kerja penyenggelaraan dilakukan secara berfasa.

“Barangan seperti pintu, grill, kipas, tangki air dan lain-lain dibuka dan disimpan dengan selamat bagi mengelak kecurian.” kata beliau.

Pewakaf Kecewa Dengan MAIS

KLANG, 27 JAN : Hampir enam tahun menanti agar kawasan yang diwakaf digunakan seperti yang dirancang dan dibincang bersama Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), seorang usahawan Dr Kamarolzaman Hajar, 53, tampil melahirkan rasa kekecewaanya terhadap organisasi agama itu yang diamanahkan mengurus kawasan wakaf tersebut.

Tanah yang dilengkapi 27 unit buah rumah dengan tiga buah bilik dilengkapi sistem perparitan dan kemudahan elektrik serta air bersih itu terbiar sepi sejak diserahkan pada MAIS pada Jun 2006 sejak zaman pemerintahan Umno-BN di Selangor.

“Tujuan saya mewakafkan kawasan ini kepada MAIS adalah kerana saya mahu ia menjadi tempat tinggal anak-anak yatim, golongan mualaf dan fakir miskin yang tiada tempat perlindungan.

“Melihatkan keadaan sekarang ini, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan sedih saya kerana apa yang saya hajatkan masih belum kesampaian,” luah Kamarolzaman sebak.

Menurut doktor perubatan yang mempunyai sebuah klinik kesihatan di Seksyen 7 Shah Alam, beliau membina unit-unit rumah ini pada tahun 2000 dan disewakan kepada penyewa dengan kadar RM 420 sebulan.

Bagaimanapun demi merealisasikan hasrat mebantu golongan yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan perlindungan seperti anak yatim dan fakir miskin, beliau mengorbankan keuntungan berkali ganda yang mampu diperolehi hasil kutipan sewa.

“Niat saya ikhlas untuk membantu mereka yang memerlukan terutama anak-anak yatim yang kebanyakan mereka sudah tidak punya sesiapa sebagai tempat bergantung.

“Namun setelah kian lama menunggu, dan MAIS masih gagal mengurus harta yang diwakafkan ini dengan amanah dan baik, saya benar-benar menyesal.

“Bukan mewakafkan tanah ini, tapi kerana mengamanahkan ia kepada mereka yang kononnya tegakkan agama padahal dengan terang-terangan mencabul nilai-nilai Islam itu sendiri,” jelas Kamarolzaman dengan nada sedikit marah.

Beliau turut memberitahu bahawa sudah berulang kali perbincangan dilakukan bersama pihak MAIS, malah beliau sendiri sudah berjumpa dengan bekas Exco Hal Ehwal Islam sebelum ini iaitu Datuk Dr Hasan Ali namun janji yang diberi sekadar omongan kosong.

“Sudah puas saya turun naik berjumpa pegawai-pegawai MAIS malah Hasan Ali sendiri pada April 2008, namun janji untuk menguruskan tanah ini dengan baik hanya tinggal janji.

“Sekarang saya tidak mempercayai apapun yang dikatakan mereka kerana saya sudah serik diberi pelbagai alasan,” ujarnya lagi yang baru berjumpa pegawai MAIS minggu lepas bagi membincangkan perkara ini namun masih menerima alasan lapuk yang sama.

Selain itu, lebih mengecewakan beliau adalah kedengaran ura-ura bahawa tanah yang sudah ditukar nama kepada MAIS ini dikhabarkan bakal didirikan kawasan pangsapuri kos sederhana 4 tingkat sebanyak 60 unit.

“Ini adalah khabar angin daripada sumber-sumber yang boleh di percayai. Malah ia juga tertulis dalam laporan yang dikeluarkan MAIS baru-baru ini.

“Persoalannya mengapa tanah yang diwakafkan ini perlu dibangunkan semula untuk tujuan komersial sedangkan sewaktu diwakafkan kesemua unit rumah ini lengkap untuk diduduki?,” soal beliau hairan dengan tindakan MAIS yang seolah-olah cuba mencari keuntungan daripada harta yang diwakafkan.

Sungguhpun tanah yang diwakafkan itu masih tidak berfungsi sebagai pusat perlindungan yang diinginkan, Kamarolzaman kini berusaha sendiri memberi perlindungan kepada 25 orang anak-anak yatim yang ditempatkan di banglo miliknya bersebelahan kawasan wakaf itu.

“Inilah niat saya dan saya akan cuba tunaikan selagi saya termampu. Kalau benar mereka mahu bangunkan kawasan perumahan untuk tujuan yang selain saya niatkan sewaktu menyerahkan kawasan ini, saya akan tetap pertahankan tanah ini sehingga titisan darah terakhir.

“Kalau ditanya harapan, saya tidak berharap apa-apa lagi daripada MAIS. Cuma saya mohon agar saya diberi hak bagi mengurus tanah wakaf ini kerana MAIS sendiri telah gagal mengurusnya. Jadi biarlah saya sendiri menguruskan tanah wakaf ini,” tegas Kamarolzaman mengakhiri kata-katanya.

Categories
NASIONAL

Isu Lynas: Debat Fuziah – Adnan Yaakob Pada Februari

SHAH ALAM, 18 JAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersedia untuk berdebat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu kilang Lynas yang mendapat perhatian umum khususnya masyarakat di Kuantan, Pahang.

Ketika dihubungi TVSelangor hari ini, Fuziah berkata, beliau sememangnya bersetuju dan menyambut baik saranan Adnan untuk bersemuka dalam satu sesi perbincangan atau debat secara ilmiah berhubung perkara itu.

Menurutnya, pasti ia adalah medan terbaik bagi orang ramai membuat pernilaian terhadap persoalan Lynas tersebut.

Katanya, pihaknya kini menunggu kata putus dari Kerajaan Negeri Pahang berhubung perkara itu.

“Saya menyatakan persetujuan untuk berdebat apabila diajukan Sinar Harian dan menyambut baik persetujuan Adnan dalam perkara ini. Sinar Harian yang mempunyai pengalaman dalam mengadakan sesi perbahasan seperti Wacana Sinar Harian juga bersetuju untuk bertindak sebagai penganjur.

“Program ini dijangka diadakan di Kuantan pada minggu pertama atau kedua Februari ini,” katanya.

Difahamkan sesi perdebatan itu akan menyentuh mengenai soal sama ada wajar atau tidak Lynas diberikan kelulusan untuk memulakan operasinya di Kuantan.

Fuziah berkata, program tersebut akan mempertemukan dua pihak iaitu pihak yang bersetuju serta menentang dan pihaknya akan mengemukakan hujah selain fakta termasuk bukti kukuh yang disokong pakar luar.

“Perdebatan itu juga akan memberi kesempatan kepada rakyat Kuantan untuk memahami isu Lynas dengan lebih lanjut.

“Apa yang kita perkatakan selama ini adalah untuk kebaikan rakyat Kuantan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang tidak melanjutkan tempoh meneliti dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai tidak relevan.

Tegasnya, dokumen lebih 100 muka surat yang penuh aspek teknikal itu perlu dikaji secara teliti dan tidak boleh semudahnya diputuskan dalam tempoh singkat.