Categories
AGENDA EKONOMI

Malaysia Airlines tawar diskaun 40 peratus kelas perniagaan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Malaysia Airlines menawarkan diskaun sehingga 40 peratus bagi tambang Kelas Perniagaan untuk destinasi domestik dan antarabangsa.

Promosi istimewa ini berakhir pada 2 Mac, membabitkan perjalanan serta merta sehingga 31 Jan 2021, katanya dalam satu kenyataan.

Kelas perniagaan Malaysia Airlines menawarkan kaunter daftar masuk yang eksklusif, keutamaan dalam bagasi termasuk akses kepada Golden Lounge, antara lain.

Untuk destinasi domestik, syarikat penerbangan itu menawarkan tambang sehala semua dalam satu bermula daripada RM299, penerbangan ke Singapura daripada RM499, Phuket hanya RM549, Bangkok sebanyak RM599 dan Surabaya berjumlah RM659.

Sementara itu, promosi ini juga termasuk penerbangan ke destinasi antarabangsa seperti Beijing, dengan tambang bermula daripada RM2,799, Delhi daripada RM3,199, Seoul hanya RM3,399, Auckland daripada RM10,299 dan London sebanyak RM12,999.

Pelanggan juga boleh mengambil kesempatan daripada diskaun tambahan lima peratus apabila mereka membeli tiket dengan menggunakan kad Maybank melalui penggunaan kod promo BIZ4MAYBANK.

Mereka juga boleh memilih ‘Fly Now’ Malaysia Airlines, pelan bayar kemudian dengan kad kredit Maybank dan Public Bank, yang membolehkan pelanggan untuk membayar tambang secara ansuran dengan kaedah sifar dalam tempoh enam atau 12 bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malindo Air rancakkan semula permintaan kelas perniagaan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Malindo Air memperkenalkan kategori tambang kelas perniagaan baharu menerusi pilihan Kelas Perniagaan Flexi dan Kelas Perniagaan Promo.

Menurut syarikat itu, Kelas Perniagaan Flexi mengekalkan ciri tambang penuh manakala Kelas Perniagaan Promo sesuai untuk mereka yang mahu terbang dalam kelas perniagaan pada harga lebih rendah.

“Kedua-dua kategori tambang kelas perniagaan itu menawarkan elaun bagasi berdaftar selain sehingga dua bagasi kabin dengan maksimum berat 10 kilogram (kg).

“Hidangan lengkap atau snek dalam pesawat, pilihan tempat duduk, mata Malindo Miles, tempat duduk kulit yang luas berserta skrin hiburan peribadi dalam pesawat untuk perjalanan yang menyenangkan juga ditawarkan,” katanya.

Malindo Air berkata, Kelas Perniagaan Flexi juga ditampilkan dengan ciri elaun bagasi 40 kg, tiga kali ganda mata Malindo Miles bagi setiap ringgit yang dibelanjakan serta keistimewaan akses bilik istirehat di lapangan terbang dengan kemudahan yang tersedia.

Kelas Perniagaan Promo juga menawarkan elaun bagasi 30 kg dan 1.5 kali ganda mata Malindo Miles, menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata, berasaskan penyesuaian itu, pihaknya menjadikan kelas perniagaan lebih dapat diakses oleh mereka yang mementingkan kos.

“Dalam usaha menjadikan produk kami sentiasa relevan, Malindo Air berusaha melaksanakan pelbagai penambahbaikan produk demi memenuhi permintaan penumpang dan rakan kongsi peniagaan perjalanan.

“Kami mahu terus menumpukan pelanggan dan memberi pengalaman penerbangan lebih baik setiap kali mereka terbang bersama Malindo Air,” katanya.

Penambahbaikan juga dilaksanakan terhadap elaun bagasi berdaftar Ekonomi Flexi/Shuttle (bagi penerbangan menggunakan pesawat ATR) dan Ekonomi Value (bagi penerbangan dengan pesawat jet).

Elaun bagasi Ekonomi Flexi/Shuttle ditambah kepada 30 kg berbanding 10 kg sebelum ini, manakala bagi Ekonomi Value pula ia ditambah sebanyak lima kg kepada 20 kg, dengan semua perubahan ini hanya terpakai ke atas pesawat yang dikendalikan Malindo Air sahaja.

Malindo Air merupakan syarikat penerbangan Malaysia dengan hab utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Subang Skypark di Selangor.

Kumpulan pesawatnya juga meningkat kepada 13 pesawat jenis ATR72-600 dan 29 pesawat Boeing 737 setakat Julai 2019. – BERNAMA