Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelly Tan perbaiki satu kedudukan pada hari ketiga

TOKYO, 6 OGOS: Pemain golf wanita utama negara Kelly Tan memperbaiki satu kedudukan daripada tempat ke-49 ke kedudukan ke-48 hari ini, dalam permainan strok individu di Olimpik Tokyo hari ini.

Hari ketiga acara itu di Kasumigaseki Country Club di Saitama menyaksikan, pemain golf berusia 27 tahun itu melakukan satu atas par 72, untuk menjadikan lima atas par 218 keseluruhannya, dan berkongsi kedudukan ke-48 itu bersama Azahara Munoz dari Sepanyol dan Kim Metrauz dari Switzerland.

Pemenang Terbuka Malaysia tiga kali itu bermula dengan baik, dengan mencatatkan birdie pada lubang pertama sebelum melakukan empat bogey pada lubang ke tiga, lapan, 10 dan 11.

Kelly yang bertanding dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) kemudiannya berjaya melakukan dua lagi birdie pada lubang ke-12 dan 14.

Sementara itu Nelly Korda dari Amerika Syarikat kekal sebagai pendahulu, walaupun hanya melakukan dua bawah par 69 hari ini, selepas melakukan sembilan bawah par 62 semalam, bagi menjadikan keseluruhan 15 bawah par 198.

Aditi Ashol dari India di tempat kedua dengan 12 bawah par 201, manakala empat pemain yang mencatatkan 10 bawah par 203 berkongsi tempat ketiga iaitu Lydia Ko dari New Zealand, Hannah Green (Australia), Emily Kristine Pedersen (Denmark) dan pemain tuan rumah Mone Inami.

Permainan hari keempat akan berlangsung esok (7 Ogos).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelly Tan mahu pamer aksi terbaik pada penampilan kedua Olimpik

TOKYO, 3 OGOS: Pemain golf wanita negara berazam untuk mempamerkan aksi terbaik serta menikmati acara golf di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada Rabu di Kasumigaseki Country Club di Saitama, kira-kira 65 kilometer dari sini.

Kelly yang menamatkan saingan dalam Olimpik pertamanya pada edisi Rio 2016 di tempat ke-51, menyedari kualiti pertandingan bakal dihadapinya dan lebih bersikap tenang ketika ditanya mengenai peluang meraih pingat.

“Ia adalah satu penghormatan apabila dapat mewakili negara dan saya teruja untuk melakukannya di Olimpik Tokyo kali ini.

“Sudah semestinya, matlamat utama adalah untuk mendapatkan pingat buat Malaysia tapi ada empat pusingan pertandingan dan membabitkan banyak lubang. Saya mahu menikmati pertandingan kali ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, perjalanan tidak mudah buat pemain berusia 27 tahun negara itu kerana khuatir mengenai keadaan cuaca terik yang turut menjadi kebimbangan pemain golf lain.

Selain itu, juara tiga kali Terbuka Wanita Malaysia itu turut terkesan dengan perjalanan pergi-balik dari perkampungan sukan ke venue yang memakan masa selama tiga jam, tambahan pula beliau masih mengalami ‘jetlag’ selepas perjalanan jauh.

“Leher saya berasa kurang selesa kerana keadaan katil keras dan jelas saya mengalami ‘jetlag’ selepas perjalanan dari Amerika Syarikat baru-baru ini. Tapi jangan bimbang, kerana saya sudah bersedia untuk esok,” katanya.

Kelly akan berentap dengan 60 peserta apabila acara golf wanita berlangsung pada 4 hingga 7 Ogos.

Antara nama-nama hebat yang turut beraksi termasuk juara bertahan Inbee Park dari Korea Selatan, pemain nombor satu dunia Nelly Korda dari Amerika Syarikat dan pemenang 10 kali Jelajah LPGA Brooke Henderson dari Kanada.

Pemain golf lelaki negara Gavin Green menamatkan saingan di tempat ke-57 selepas melengkapkan empat pusingan dengan melakukan empat di atas 288.

-BERNAMA