Categories
SELANGOR

Pemandu lori maut kemalangan di Sungai Choh

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Seorang lelaki maut selepas tercampak dari kereta yang dipandunya akibat merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Sungai Choh, dekat Rawang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi, mangsa S Rajkumar, 25, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dipercayai melanggar tayar belakang sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Ridzuan Khalid berkata akibat rempuhan itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tercampak keluar dari keretanya yang terbalik sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang pelajar berusia 23 tahun.

“Sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak dan telah melanggar mangsa yang berada di laluannya.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridzuan berkata, pemandu lori dan wanita masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pelajar berkenaan hanya cedera ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah korban naik angkara pemandu mabuk, polis gesa hukuman berat

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini, berbanding jumlah sama pada Januari hingga Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata trend itu membimbangkan susulan angka korban meningkat ketara, lapor Harian Metro.

“Semua rakyat pasti masih ingat insiden Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan terbaharu penunggang motosikal maut selepas dilanggar pemandu mabuk.

“Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa yang dibenarkan,” katanya pada program temu bual di sebuah stesen televisyen malam tadi.

Azisman berkata pihaknya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia iaitu 50mg/100ml.

“Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.