Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kementerian optimis eksport industri koko capai sasaran RM6 bilion

SERDANG, 22 JUL: Kementerian Industri Utama optimis industri koko mencapai sasaran RM6 bilion untuk pendapatan eksport negara menjelang 2020 seperti termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Sehingga 2018, eksport industri koko berjaya mencecah RM5.55 bilion.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Tan Yew Chong berkata, peningkatan jumlah sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus pada 2018 berbanding 2017 dilihat sebagai petanda positif ke arah merealisasikan matlamat tersebut.

Katanya, koko adalah komoditi berpotensi besar dibangunkan menerusi pelaksanaan model perniagaan yang tepat, aktiviti pengkomersialan yang baik dan memperbanyak aktiviti hiliran.

“Sektor koko secara khususnya telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2018 dan menyumbang sebanyak RM1.44 bilion atau 0.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia, ‘Innovation to Market’ (I2M), di Pusat Teknologi UPM-MTDC di sini, semalam.

Program empat hari itu adalah siri pertama daripada tujuh siri yang dirancang dalam tempoh enam bulan bagi menyampaikan pengetahuan dan kemahiran mengenai proses pemindahan teknologi serta pengkomersialan khusus kepada penyelidik Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Mengulas lanjut, Dr Tan berkata berdasarkan prestasi industri koko yang amat memberangsangkan, ia kini dilihat sebagai komoditi berpotensi besar untuk dibangunkan, terutamanya untuk pasaran eksport.

Bagaimanapun, katanya sektor itu masih memerlukan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan bagi mempersiapkannya untuk persaingan di peringkat global

“Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pasaran tempatan sahaja tetapi berusaha untuk ke pasaran global. Pelbagai pendekatan boleh digunakan termasuk menggunakan konsep pemasaran digital.

“Nilai eksport coklat pada lima tahun dahulu berjumlah RM500 juta dan ia telah meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun lalu. Oleh itu, selain penanaman komoditi sawit, kita mungkin boleh kembali kepada penanaman koko yang turut menyumbang kepada sumber pendapatan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Tan berkata, dianggarkan 20 hingga 30 teknologi atau produk akan dikomersialkan bagi menyokong sektor huluan dan hiliran industri koko.

“LKM setakat ini sudah menjalankan sebanyak 89 projek penyelidikan sejak Rancangan Malaysia Kelapan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM54.4 juta.

“Berikutan itu sebanyak 19 produk dan teknologi LKM telah dikomersialkan, malah agensi itu turut mengenal pasti 63 produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti produk kosmetik, penjagaan diri dan makanan berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata, produk koko Malaysia bukan hanya dipasarkan dalam negara tetapi kini mula menembusi pasaran antarabangsa seperti Maghribi.

“Dengan kerjasama daripada penyelidik dan usahawan, kami kini meninjau peluang pasaran luar negara yang baharu terutama di ASEAN dan negara Oceania.

“Kita sememangnya sudah memiliki produk dan kita yakin dari segi teknologinya sudah mencapai tahap yang dimahukan. Apa yang penting sekarang ini kita mahukan kerjasama dengan usahawan untuk mengkomersial dan memasarkan produk berkenaan,” katanya.

Seramai 26 peserta yang terdiri daripada pegawai penyelidik dan pegawai pemasaran LKM menyertai siri pertama program anjuran MTDC itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL RENCANA

Rakyat Malaysia digesa berikan sokongan kepada minyak sawit

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Minyak sawit merupakan satu komoditi yang ‘sangat rapat’ dengan rakyat Malaysia, oleh itu tugas untuk mempertahankan tanaman ini daripada diskriminasi tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi perlu dipikul oleh 30 juta rakyatnya.

Tahun 2019 adalah masa yang sesuai untuk menunjukkan sokongan melalui pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan bagi mempertahankan minyak sawit, yang telah memajukan negara ini termasuk meningkatkan taraf hidup jutaan peladang daripada lembah kemiskinan.

Inisiatif terbaharu membabitkan kempen “Love MY Palm Oil” yang akan dilancarkan oleh Kementerian Industri Utama pada 24 Mac ini di Ladang Sime Darby, Pulau Carey, Selangor.

Kempen bertempoh setahun ini bertujuan bagi menyemai rasa kebanggaan serta penghargaan untuk minyak sawit Malaysia, ia memberi tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, pemakanan dan penggunaan bukan makanan.

Sejajar dengan pelancaran kempen, satu klip video berdurasi tiga minit telah dihasilkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerangkan mengenai kepentingan tanaman itu kepada bangsa dan negara termasuk cabaran yang dihadapi olehnya.

Di bahagian awal klip itu, Dr Mahathir menjelaskan bagaimana minyak sawit telah diperkenalkan di Malaya, pada awalnya sebagai pokok hiasan tetapi ia kemudian didapati boleh menghasilkan banyak buah dan anugerah ini mampu mengeluarkan minyak sawit dalam kuantiti besar.

Pokok kelapa sawit telah bertapak selama 102 tahun di Malaysia.

“Sejarah penggunaan minyak sawit sudah lama dan saya sendiri menggunakan minyak sawit Malaysia sebagai minyak masak saya,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjelaskan, bagaimana minyak sawit dituduh kononnya mempunyai kesan buruk ke atas pengguna tetapi pihak industri minyak sawit telah mengemukakan minyak itu untuk diuji di beberapa makmal di Amerika Syarikat dan mereka mendapati tiada bukti mengenai kesan negatif.

“Sekarang, ia dituduh sebagai penyebab utama hutan ditebang bagi mengembangkan perladangan tetapi kami di Malaysia telah menjadi sangat berhati-hati tentang pemeliharaan hutan kami. Kami masih ada 50 peratus hutan dan pokok kelapa sawit sendiri merupakan tumbuhan yang menyerap karbon dioksida,” katanya.

Pada penghujung klip tiga minit, Perdana Menteri menekankan bagaimana pesaing akan cuba memanipulasikan pengguna untuk mempercayai bahawa minyak sawit adalah berbahaya.

“Saya akan berasa sangat gembira untuk menyokong kempen ini dan saya fikir warganegara Malaysia perlu menyokong kempen ini. Ia adalah baik kepada mereka dan baik untuk ekonomi,” katanya.

Tun Mahathir, yang sudah berusia 94 tahun, merupakan pemimpin yang tertua di dunia, beliau juga seorang doktor. Jika beliau menyokong minyak sawit, ini membuktikan sesuatu untuk rakyat Malaysia agar menyokong kempen tersebut.

Cara paling mudah bagi orang ramai menunjukkan sokongan adalah dengan menyebarkan fakta dan manfaat daripada produk minyak sawit kepada orang lain terutama warga asing.

Media sosial boleh menjadi platform yang tepat sebagai permulaan. Rakyat Malaysia juga boleh menunjukkan sokongan mereka dengan membeli produk berasaskan minyak sawit.

Bagi firma-firma besar, mereka mungkin boleh membantu memerangi kempen berbentuk animasi selama 90 minit yang berjudul “Rang-tan” oleh kumpulan Greenpeace Ireland.

Melalui penceritaan oleh pelakon terkenal, Emma Thompson (Mary Poppins), kempen ini mengisahkan tentang Orang Utan yang kehilangan tempat tinggal disebabkan habitat haiwan itu musnah melalui penebangan hutan dan ia terpaksa bersembunyi di bilik tidur seorang gadis kecil.

Walaupun kempen negatif ini dikhususkan untuk ladang-ladang Indonesia, ia adalah contoh terbaik bagi melawan diskriminasi ke atas minyak sawit.

Sebagai sebahagian daripada kempen sokongan ke atas minyak sawit, kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, di mana pemandu pelancong diminta untuk menyebarkan maklumat positif mengenai perladangan kelapa sawit dan produk berkaitan.

Pakej lawatan ke ladang kelapa sawit juga akan ditawarkan.

“Pemandu pelancong kita akan mempunyai tugas-tugas khas, di mana mereka akan menjadi jurucakap bagi industri minyak sawit, bagi mendidik pelancong, terutama warga asing.

Sime Darby Plantation Bhd di Pulau Carey hanya kurang daripada dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan ia merupakan antara ladang yang mengambil bahagian dalam kempen itu.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, syarikat itu mengalu-alukan kedatangan pelancong yang mahu melawat ladang Sime Darby untuk melihat bagaimana minyak sawit ditanam dan rantaian pemprosesannya sebelum dijual.

Ladang di Pulau Carey sangat sesuai untuk menerima lawatan khususnya dari Kesatuan Eropah (EU), EU sendiri telah mengambil setiap langkah untuk melakukan diskriminasi ke atas minyak sawit dan ini merupakan peluang terbaik bagi membuka mata rakyat mereka sendiri.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran di kalangan pelancong dan pada masa yang sama, mendidik mereka mengenai kebaikan tanaman dan mungkin mereka boleh menyebarkan maklumat yang betul kepada orang lain,” katanya kepada Bernama.

Mohd Bakke juga berkata, bahawa syarikat itu telah menganjurkan banyak acara di Pulau Carey membabitkan banyak kumpulan dari dalam dan luar negara.

Sime Darby Plantations mempunyai jumlah kawasan tanaman seluas 602,454 hektar, meliputi Malaysia, Indonesia, Kepulauan Solomon, Papua New Guinea dan Liberia.

Peladang lain yang terlibat dalam kempen ini ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd di Perak serta Genting Plantations Bhd dari kawasan Borneo.

Kerajaan juga telah meminta syarikat pembungkusan sawit untuk memasukkan dua logo pada bungkusan mereka sebagai sebahagian daripada kempen untuk melawan kempenboikot produk minyak Eropah.

Mereka akan menggunakan logo “Sayangi Sawitku” atau “Love MY Palm Oil” dan logo “Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO)” .

Tidak seperti produk makanan, rumah dan penjagaan peribadi, di mana minyak sawit menjadi alternatif terbaik, minyak sawit terpaksa bersaing dengan minyak kacang soya, minyak bunga matahari, minyak sesawi dalam pemilihan kandungan terbaik bagi bahan api bio.

Tetapi kelapa sawit mempunyai satu kelebihan ke atas minyak-minyak lain iaitu harga.

Paling penting, ia memberikan pulangan tertinggi seekar atau hampir lima kali lebih banyak seekar berbanding sesawi, enam kali lebih banyak berbanding bunga matahari dan lapan kali lebih banyak daripada kacang soya.

Usaha memboikot minyak sawit hanya akan membawa kepada penggantian oleh lain-lain tanaman yang memerlukan tanah yang lebih luas dan ini akan membawa kepada pembasmian hutan secara besar-besaran.

Kos pengeluaran minyak sawit juga adalah lebih murah berbanding mana-mana minyak daripada tanaman lain atau lemak haiwan.

“Pihak industri mereka hanya memikirkan faedah diri sendiri dan mengenepikan kebaikan untuk pengguna, pilih pertempuran anda. Pertempuran mengenai hasil tanaman emas Malaysia adalah sangat berbaloi dan kita akan menang” kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr Kalyana Sundram.

SUMBER: BERNAMA

https://www.youtube.com/watch?v=opeZBSeyTns

Categories
NASIONAL

Kerajaan sasar penggunaan domestik produk sawit naik 10 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Industri Utama mensasarkan penggunaan domestik bagi produk sawit serta produk hiliran berasaskan komoditi itu meningkat sebanyak 10 peratus melalui kempen Sayangi Sawitku.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, pada masa ini penggunaan produk sawit di dalam negara hanya mencatatkan 20 peratus manakala baki 80 peratus lagi adalah untuk dieksport.

“Jadi, kita menyeru semua pengeluar produk hiliran sawit supaya meletakkan logo kempen Sayangi Sawitku pada label produk mereka sebagai langkah mendidik pengguna mengenai produk bahawa yang diambil mereka itu adalah diperbuat daripada sawit,” katanya dalam sesi soal jawab semasa perjumpaan bersama syarikat di bawah skim penstabilan minyak masak (COSS) di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kok berkata, sejak melancarkan kempen awal Sayangi Sawitku di peringkat nasional, pelbagai aktiviti serta program dilaksanakan bersama rakyat termasuk golongan pelajar sekolah, kolej dan universiti.

“Kempen ini bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggan terhadap minyak sawit Malaysia serta penghargaan atas sumbangannya kepada ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, Kok berkata pelaksanaan mandatori Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) bagi kilang pemprosesan sawit yang terbabit dengan COSS adalah pada 30 Jun ini.

“Bagi kemudahan pemprosesan sawit yang tidak terbabit dengan COSS, mereka perlu mendapatkan pensijilan SCCS sebelum 31 Disember depan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut hadir pada perjumpaan itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM600 juta bagi subsidi minyak masak pada tahun ini.

“Peruntukan ini membabitkan 60,000 tan atau 3.69 peratus minyak masak yang disubsidikan selain membabitkan 280 pembungkus di bawah skim COSS di seluruh negara.

“Kerajaan akan memberi subsidi kepada mereka sebanyak 60 sen bagi setiap paket minyak masak satu kilogram berharga RM2.50,” katanya.

SUMBER: BERNAMA