Categories
AGENDA NASIONAL

Minyak sawit: Malaysia tinjau peluang tembusi pasaran Afrika

PUTRAJAYA, 8 NOV: Kementerian Industri Utama sedang meninjau peluang untuk minyak sawit Malaysia menembusi pasaran di benua Afrika yang dihuni 1.2 bilion penduduk malah usaha tersebut didorong pertumbuhan ekonomi rancak yang dicatatkan beberapa negara di rantau itu, kata Menterinya, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata, minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit berpotensi menjadi pilihan sesuai untuk kegunaan penduduk di Afrika memandangkan komoditi itu merupakan antara minyak masak yang ditawarkan pada harga berpatutan berbanding minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan minyak zaitun.

“Potensi minyak sawit Malaysia di negara tersebut (di benua Afrika) adalah luas, disokong oleh pertumbuhan ekonominya yang rancak, yang secara langsung mampu meningkatkan permintaan terhadap minyak masak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual, baru-baru ini.

Beliau berkata, semasa melawat Ethiopia bulan lepas, beliau telah dimaklumkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi negara tersebut adalah antara 9.0 dan 11 peratus, dengan jumlah penduduk sebanyak 100 juta.

“Jadi ia mempunyai potensi yang sangat besar bagi minyak sawit negara kita,” katanya.

Kok berkata, pihaknya akan terus menggiatkan usaha mencari pasaran baharu untuk minyak sawit walaupun Malaysia menghadapi cabaran kempen anti-minyak sawit.

Pada 2018, Ethiopia mengimport sejumlah 149,435 tan minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dari Malaysia bernilai RM457.17 juta.

Beliau berkata, kerajaan juga serius untuk menangani kempen anti-minyak sawit dan menghapuskan halangan perdagangan sekali gus meningkatkan akses pasaran dengan sejumlah RM27 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi tujuan tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jepun dan Korea Selatan turut menunjukkan minat untuk mengimport minyak sawit Malaysia yang dihasilkan secara secara mampan melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Kok berkata justeru, kerajaan terus berusaha untuk mencapai sasaran 100 peratus pensijilan MSPO di ladang sawit di seluruh Malaysia pada akhir 2020 menerusi inisiatif memberi penerangan kepada pemilik ladang mengenai kepentingan pensijilan MSPO secara lebih meluas.

“Setakat kita sudah ada 55 peratus jumlah kawasan penanaman sawit yang diiktiraf mengikut MSPO dan saya jangka sehingga akhir bulan ini, angka itu akan mencapai 60 peratus,” katanya.

MSPO merupakan skim pensijilan yang diperkenalkan kerajaan sejak 2015 bagi memastikan industri dan pekebun kecil sawit mematuhi keperluan yang digariskan untuk menghasilkan minyak sawit mampan sejajar kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar.

Beliau berkata, ketika giat meninjau peluang untuk memperluaskan pasaran minyak sawit, Malaysia tidak mengenepikan Eropah memandangkan pasaran itu amat penting bagi sektor minyak sawit negara.

“Eropah merupakan pasaran kedua terbesar minyak sawit negara, dan mereka selalu menetapkan piawaian, khususnya berkaitan alam sekitar, yang akan diikuti negara-negara lain. Piawaian itu biasanya akan dijadikan standard seluruh dunia,” katanya.

Mengenai trend harga minyak sawit mentah (MSM), Kok berkata, harga komoditi itu telah mencecah lebih RM2,500 satu tan dan menjangkakan harga MSM akan terus berada dalam aliran meningkat sehingga awal tahun hadapan dengan mencapai RM2,600 satu tan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekebun kecil sawit boleh mohon skim pinjaman mulai Ogos

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Pekebun kecil persendirian yang mahu melaksanakan penanaman semula kelapa sawit boleh memohon dua skim pinjaman mudah mulai 15 Ogos ini dalam usaha membantu meringankan beban kewangan mereka.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) itu membabitkan peruntukan dana sebanyak RM550 juta.

“Pihak kementerian menyediakan aspek seperti skop pinjaman, syarat permohonan dan pelaksanaan, proses kerja serta peruntukan bagi pelaksanaan skim ini.

“Pekebun kecil yang menepati syarat permohonan boleh memohon skim ini yang bertujuan meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Katanya, skim pinjaman TSPKS dijangka memberi manfaat kepada 7,000 dan 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar.

Manakala IPPKS pula dapat memberi manfaat kepada seramai 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan kawasan tanaman berjumlah 20,000 hektar.

Mengulas lanjutnya, Teresa berkata, pinjaman itu boleh dipohon mengikut keluasan kawasan penanaman dengan nilai pinjaman bagi TSPKS adalah RM10,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM65,000.

“Tempoh pinjaman itu adalah sehingga 12 tahun termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman bagi tempoh empat tahun pertama.

“Nilai pinjaman IPPKS pula tidak melebihi RM2,500 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar sahaja atau RM16,250 dengan tempoh pinjaman sehingga 24 bulan,” katanya.

Pada April lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan dana pinjaman mudah bernilai RM550 juta bagi penanaman semula sawit dengan kadar faedah rendah sebanyak 2.0 peratus setahun.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Teresa: Bangkit pertahan komoditi minyak sawit

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 JUN: Rakyat di negara ini digesa untuk bangkit bersama-sama dalam membantu kerajaan mempertahankan komoditi minyak sawit dengan memberi sokongan terhadap usaha menggerakkan kempen ‘Sayangi Sawitku’.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, hal itu memandangkan negara kini berdepan dengan sentimen kempen anti minyak sawit yang diperkenalkan negara barat sehingga mengancam kehidupan masyarakat.

“Ramai cemburu dengan minyak sawit Malaysia sebenarnya, jadi kita semua perlu lawan balik untuk memerangi kempen anti sawit di peringkat antarabangsa dan mempertahankan komoditi sawit negara.

“Amat sukar untuk kita (kerajaan) mempertahankan industri ini sekiranya rakyat sendiri tiada kesedaran sebaliknya terus dipengaruhi sentimen anti sawit negara barat yang mengatakan sawit Malaysia tiada khasiat dan mengakibatkan penyahutanan,” katanya.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata demikian pada program Jom Masak Sempena Kempen Sayangi Sawitku di Gelanggang Bola Keranjang Taman Tasik Kota Kemuning di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin merangkap Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning, V Ganabatirau.

Terdahulu, Kempen Sayangi Sawitku dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Mac lalu antara lain bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit Malaysia yang memberi tumpuan kepada kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, pemakanan dan aplikasi makanan serta bukan makanan.

Malah, ia juga sebagai tanda menghargai sumbangan komoditi itu yang menyumbang terhadap ekonomi negara.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Kerajaan sasar penggunaan domestik produk sawit naik 10 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Industri Utama mensasarkan penggunaan domestik bagi produk sawit serta produk hiliran berasaskan komoditi itu meningkat sebanyak 10 peratus melalui kempen Sayangi Sawitku.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, pada masa ini penggunaan produk sawit di dalam negara hanya mencatatkan 20 peratus manakala baki 80 peratus lagi adalah untuk dieksport.

“Jadi, kita menyeru semua pengeluar produk hiliran sawit supaya meletakkan logo kempen Sayangi Sawitku pada label produk mereka sebagai langkah mendidik pengguna mengenai produk bahawa yang diambil mereka itu adalah diperbuat daripada sawit,” katanya dalam sesi soal jawab semasa perjumpaan bersama syarikat di bawah skim penstabilan minyak masak (COSS) di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kok berkata, sejak melancarkan kempen awal Sayangi Sawitku di peringkat nasional, pelbagai aktiviti serta program dilaksanakan bersama rakyat termasuk golongan pelajar sekolah, kolej dan universiti.

“Kempen ini bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggan terhadap minyak sawit Malaysia serta penghargaan atas sumbangannya kepada ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, Kok berkata pelaksanaan mandatori Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) bagi kilang pemprosesan sawit yang terbabit dengan COSS adalah pada 30 Jun ini.

“Bagi kemudahan pemprosesan sawit yang tidak terbabit dengan COSS, mereka perlu mendapatkan pensijilan SCCS sebelum 31 Disember depan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut hadir pada perjumpaan itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM600 juta bagi subsidi minyak masak pada tahun ini.

“Peruntukan ini membabitkan 60,000 tan atau 3.69 peratus minyak masak yang disubsidikan selain membabitkan 280 pembungkus di bawah skim COSS di seluruh negara.

“Kerajaan akan memberi subsidi kepada mereka sebanyak 60 sen bagi setiap paket minyak masak satu kilogram berharga RM2.50,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa Lapor Polis Artikel ‘Cina Mahu Duit Zakat’ – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 07082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini membuat laporan polis berhubung satu tulisan di sebuah blog yang menurutnya berniat jahat memfitnah dirinya menuntut kutipan zakat untuk kaum cina.

2. Lembaga Zakat Selangor tidak mengambil kira faktor rumah yang besar dan cantik sebagai syarat menerima zakat selagi ia hanya harta peninggalan yang diwarisi pemohon.

3. Kesemua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengistiharkan aset mereka semalam.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Beri RM20,000 Kepada Keluarga Supt Ibrahim Lebar

rodziah yellow pc tabung wira selangor subang 01

SUBANG JAYA, 14 MAC : Sumbangan besar perajurit negara, Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman, yang gugur ketika mempertahankan keselamatan negara di Lahad Datu, Sabah mendapat perhatian Kerajaan Selangor.

Kerajaan Negeri menyumbangkan RM 20,000 kepada keluarga Allahyarham pada satu lawatan kepada kediaman isterinya Rusiah Dahlan di USJ9, Subang Jaya, hari ini.

Sumbangan itu diserahkan oleh Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Turut serta bersama rombongan wakil Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Bantuan tersebut adalah peruntukan daripada Tabung Wira Rakyat Selangor yang berjumlah RM 10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan yang gugur semasa mempertahankan negara.

Rodziah ketika ditemui berkata, lawatan hari ini bertujuan menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin membantu Rusiah yang mempunyai tiga orang anak yang masih dalam peringkat pengajian tinggi.

“Saya bersyukur sesi lawatan ini dan dapati keluarga arwah begitu tenang, tabah dan juga menerimanya dengan keadaan begitu baik dan saya doakan keluarga terutamanya isteri Puan Rusiah menjalani kehidupan yang sempurna dengan baik,” katanya.

Rodziah turut menyeru semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham secara berterusan di masa akan datang.

“Saya harap semua pihak yang sekarang ini sama-sama turun berikan bantuan dan saya harap jangan dilupakn jasa-jasa mereka dan jangan hanya isu ini hangat sahaja kita semua ambil perhatian kepada mereka,” ujarnya.

Allahyarham Ibrahim meninggalkan tiga orang anak, Amirul Shafiq, 22, Amira Shahira, 20, dan Amira Shahira, 17 dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Subang Jaya pada 4 Mac lalu.

Selain Ibrahim, turut terkorban ialah, Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48, (Batalion 14 PGA) Koperal Salam Togiran, 42, (Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau) dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, (Pasukan Gerakan Am PGA).

Turut terkorban Asisten Supritendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Semporna), Sarjan Baharin Hamid, 49, (Kontinjen Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah).

Categories
SELANGOR

MB : Dasar Ketelusan Dan Kebertanggungjawaban Tarikan Utama Pelaburan RM 48 Bilion Ke Selangor

MB malam penghargaan pelaburan ssic 01

SHAH ALAM 17 FEB : Dasar Ketelusan dan Kebertanggungjawaban yang diamalkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah pemangkin kepada tarikan dan pertumbuhan pelaburan negeri itu.

Pencapaian RM 48 bilion dalam lima tahun lepas menunjukkan dasar-dasar tersebut yang menjadi tunjang prinsip pentadbiran PR, berjaya menarik pelaburan sehingga Selangor menerajui semua negeri dalam jumlah pelaburan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dasar ketelusan menunjukkan Kerajaan Negeri terbuka dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan yang sihat.

Beliau berkata sejak 2008 Selangor konsisten menduduki tempat pertama atau kedua negeri yang mendapat pelaburan tertinggi. MB malam penghargaan pelaburan ssic 04

Negeri kedua yang mencapai jumlah pelaburan tertinggi di negara ini adalah Sarawak yang memperolehi jumlah pelaburan sebanyak RM 40.72 bilion.

“Itulah sebabnya kita mengumumkan bahawa Negeri Selangor sebagai negeri pertama yang mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi sejak 2008,” ujar Abdul Khalid.

“Kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua para pelabur dengan sokongan dan kejayaan anda semua,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penghargaan Pelabur 2012 anjuran Selangor State Investment Center (SSIC) yang diadakan di I-Walk I-City di sini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Exco Selangor, Teresa Kok dan Dr Xavier Jayakumar serta Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Kim.

MB pelaburan ssic tarian budaya 02Di majlis itu, Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Shah Alam menerima penghargaaan kerana terpilih sebagai ?Kawasan Yang Paling Digemari Para Pelabur Bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan.?

Sementara itu, Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Hulu Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Petaling Jaya dan Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Klang menerima anugerah bagi kategori Daerah.

Untuk Kategori Pelabur Dalam Negara Dengan Pelaburan Tertinggi, Anugerah diberikan kepada syarikat Asia Pasific Truck And Bus Sdn Bhd dan SKS Building Coach Sdn Bhd.

Manakala Kategori Pelabur Luar Negara Yang Pelaburan Tertinggi, Anugerah diberikan kepada syarikat Baker Mansion dan DSG (M) Sdn Bhd.

Categories
NASIONAL

Lebih Ramai Wanita Sebagai Menteri, Timbalan Menteri Apabila PR Mentadbir Negara

wanita PKR makan malam 01

KUALA LUMPUR, 30 JAN: MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berharap agar penglibatan wanita di peringkat kementerian dapat dipertingkatkan selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.

Gesaan ini dilontarkan ekoran perhatian kecil yang diberikan kini oleh pentadbiran Umno-BN sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa memangku jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti.

Menurutnya, perlaksanaan tidak menyeluruh yang diamalkan kerajaan kini mengakibatkan beberapa perkara dibuat tanpa memikirkan mengenai sumbangan dana  makan malam 01wanita.

“Apabila menang di Putrajaya salah satu cadangan saya setiap kementerian perlu ada wanita sama ada jawatan menteri atau timbalan menteri.

“Ini kerana untuk memastikan agenda wanita yang kita rancangkan bersama dapat dilaksanakan,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Kutipan Dana Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) anjuran PKR Lembah Pantai semalam.

Agenda Wanita Malaysia yang diperkenalkan Wanita Pakatan Rakyat pada April tahun lalu mengariskan beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan apabila PR berjaya mentadbir negara.

Antaranya adalah caruman berjumlah RM 50 sebulan atau RM 600 setahun untuk golongan suri rumah yang berpendapatan isi rumahnya kurang daripada RM 1,500 sebagai simpanan masa depan.

makan malam dana PRU lembah pantai nurul izzah 01Selain itu, satu Suruhanjaya Anti-Keganasan Rumah Tangga bakal ditubuhkan bagi melindungi golongan wanita yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Sementara itu, MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menegaskan, penglibatan wanita penting dalam arena politik negara dalam usaha membawa perubahan kepada Malaysia.

“Kenapa wanita perlu bersama (dalam membawa perubahan)?

“Kita mahu membina Malaysia yang lebih selamat, baik dan untuk rakyat. Bukannya kroni,” ujar Nurul Izzah.

Tambah Nurul Izzah, komitmen yang dibawa oleh PR bukan sahaja ingin memacu negara ke arah lebih baik malah terus mempertahankan hak wanita.

Majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sumbangan dana  makan malam 02Wan Ismail, MP Seputeh, Teresa Kok dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Hadirin turut dihiburkan dengan penampilan khas penyayi terkenal negara Aishah.

Categories
NASIONAL

Polis Didakwa Dwi Standard Larang Bawa Anak Ke HKR 112

selangor women HKR112 01
SHAH ALAM, 14 JAN: Polis tidak wajar mengenakan syarat larangan membawa kanak-kanak ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR 112) di Stadium Merdeka Sabtu lalu kerana ini juga berlaku di perhimpunan Umno di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei lalu.

Pemimpin Pakatan Rakyat berkata dalam perhimpunan Umno yang diadakan sempena ulang tahun ke-66 parti itu, juga terdapat ibu bapa yang membawa anak mereka ke acara tersebut.

“Polis kena konsisten, kalau nak kenakan syarat, syarat sama juga patut dikenakan pada perhimpunan anjuran BN,? kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha ketika dihubungi TV Selangor.

“Dalam perhimpunan atau acara anjuran Umno kadang-kadang berbas-bas budak sekolah mereka angkut.

“Jadilah profesional, pengkritik itu sendiri pun sebenarnya bukanlah ambil berat soal keselamatan, tetapi sengaja mencari salah kerana ketandusan isu,” Haniza berkata.

Beliau memberi respons terhadap sikap polis yang mahu mengambil tindakan terhadap peserta HKR 112 yang membawa kanak-kanak mereka ke himpunan gergasi itu Sabtu lalu.

Dalam satu laporan Berita Harian Online pada 11 Mei, 2,800 bas digunakan dari seluruh negara untuk membawa perserta ke perhimpunan Umno di stadium nasional Bukit Jalil.

Selain itu, terdapat juga golongan tua dan orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai perhimpunan Umno itu.

Haniza juga berkata jaminan keselamatan yang diberikan polis kepada penganjur HKR 112 beberapa hari sebelum ia berlangsung juga menjadi pendorong kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka.

Manakala Exco Selangor, Teresa Kok berkata, membawa kanak-kanak ke himpunan dijadikan isu apabila PR berjaya menghimpunkan kira-kira 80,000 penyokong pada HKR 112 sehingga timbul perasaan iri hati oleh pemimpin Umno-BN.

“Nak halang memang tak munasabah kerana ia sama dengan kita bawa anak tengok konsert atau ‘countdown’ malam tahun baru atau ambang merdeka.

“Tambah lagi hari itu adalah hari Sabtu, sekolah dan pusat asuhan tutup, di mana mereka patut tinggalkan anak mereka?” Kata Teresa.

MP Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata tujuan Akta Perhimpunan Aman 2011 adalah untuk memastikan perhimpunan dapat dijalankan dengan aman.

Justeru itu pihak berkuasa harus memastikan keselamatan semua perserta termasuk kanak-kanak.

Sekiranya pihak berkuasa mengenakan syarat larangan terhadap kanak-kanak, maka akta tersebut haruslah dipinda dan dikenakan ke atas semua pihak.

“Adakah undang-undang untuk kita lain, untuk BN lain?” Soal Dr Siti Mariah.

Categories
SELANGOR

Selangor Sasar 2,500 Keluarga Dapat Bantuan Tadika Tahun Depan

PETALING JAYA 2 DIS : Kerajaan Negeri mensasarkan penyertaan 2,500 keluarga dalam Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) pada tahun depan di seluruh negeri dengan peruntukan dana RM 3 juta.

Setakat ini, skim tersebut mendapat sambutan yang menggalakan dengan penyertaan 1,500 keluarga dalam lima bulan sejak ia dilancarkan Julai lalu kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

“Tunas adalah langkah bagi membantu ibu bapa (berpendapatan rendah) dengan setiap keluarga mendapat bantuan RM 50 sebulan menerusi pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor,” Dr Halimah berkata.

Skim tersebut telah membantu ibubapa seperti Rashidi Hashim, 34, seorang operator pengeluaran dari Taman Medan.

Dengan bantuann itu beliau sekarang mampu menghantar anaknya Muhammad Izwan Muiz, enam tahun ke Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) AlRaudhah di Taman Datuk Haron di sini.

“Saya gembira dengan langkah ini yang membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dan rakyat mendapat kebaikan dari program dijalankan serta pembelaan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau ditemui di Mini Karnival Jelajah Jejak Tunas Selangor 2012/2013 di Dataran Anak Muda PJS1/25, Taman Medan di sini hari ini yang dirasmikan Dr Halimah.

Skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ini terbuka kepada setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan.

“Dalam keadaan sekarang memang diakui Kementerian Pelajaran bahawa ramai kalangan ibu bapa di negara ini yang tidak menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak,? Dr Halimah berkata.

?Kajian dari seluruh dunia mendapati pendidikan bagi anak-anak di bawah enam tahun adalah kritikal,? Dr Halimah di dalam ucapannya.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim dan Timbalan Speaker  Dewan Negeri Selangor (DNS) merangkap Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Categories
SELANGOR

Sidang DNS Kerap Boleh Rapatkan Jurang Kerajaan-Rakyat

SHAH ALAM 4 SEPT : Cadangan untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) setiap sebulan mendapat reaksi berbeza daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ada exco yang mengatakan skop DNS tidak cukup besar untuk menjustifikasikan sidang pada setiap bulan manakala exco lain berpendapat ia dapat mempercepatkan maklumbalas antara rakyat dan kerajaan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakop Sapari berkata sidang yang lebih kerap akan menolong kerajaan memberi respons yang cepat kepada masalah yang dibangkitkan rakyat.

?Ia juga akan memberi pegawai kerajaan masa untuk menyediakan jawapan bagi perkara yang dibangkitkan.

?Jika masalah tidak selesai, ia boleh dibangkitkan sekali lagi tanpa menunggu tiga atau empat bulan,? kata Yaakop ketika ditemui Selangorkini.

Kekerapan sidang DNS bermakna ADUN selaku wakil kepada rakyat dapat menyuarakan masalah atau perkara yang berbangkit di kawasan mereka supaya tindakan cepat dapat diambil.

?Ia akan menguatkan lagi ?check and balance? (pegawasan dan pengimbangan) di antara institusi kerajaan negeri.

Cadangan sidang DNS setiap bulan itu daripada ADUN Pakatan yang mahu mempercepatkan proses maklumbalas di antara Kerajaan Negeri dan rakyat.

Menurut laporan SelangorTimes keluaran minggu lepas, ADUN tersebut juga mahukan peruntukan yang lebih bagi menambah kakitangan dan dana DNS.

Cadangan tersebut lahir dari satu lawatan belajar ke Dewan Parliament Western Australia, baru-baru ini. Di Australia, Dewan Undangan Negeri di wilayah negara tersebut bersidang tiga kali seminggu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail berkata beliau sedia untuk menghadiri sidang DUN pada setiap bulan.

“Jika ianya praktikal untuk diadakan dan memberi manfaat kepada rakyat, saya bersedia,” tegasnya.

 Manakala Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok menyatakan pendapat berbeza dengan cadangan tersebut.

“Saya tidak setuju sama sekali kerana saya percaya skop dan bidang kuasa DUN tidak besar serta tidak memerlukannya untuk dibincangkan setiap bulan.

“Berbeza dengan Australia misalnya yang mana mereka di peringkat negeri mempunyai kuasa lebih berbanding senario di Malaysia, jadi saya rasa tidak perlu,” ujar Teresa.

Adat Melayu, Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi turut menyatakan persetujuan dengan Teresa bahawa buat masa ini, tiada keperluan untuk mengadakan Sidang DUN pada setiap bulan.

“Perkara ini masih dalam pertimbangan tetapi saya fikir buat masa ini masa yang diperuntukan untuk sidang DUN itu memadai.

“Jika mahu ditambah pun, setahun empat kali mungkin boleh diadakan berbanding amalan biasa selama ini iaitu tiga kali setahun,” komen Yunus.

Categories
SELANGOR

Selangor Dapat Pelaburan RM 4.5 Bilion Pada Petengahan Tahun Pertama

SHAH ALAM 10 JULAI : Negeri Selangor mengekalkan tangga kedua dalam prestasi pelaburan di negara ini dengan mencatatkan nilai pelaburan sebanyak lebih RM4.5 bilion daripada 90 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh enam bulan ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata prestasi pelaburan negeri Selangor amat memberangsangkan berbanding negeri lain.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2010 nilai pelaburan mencatatkan sebanyak lebih RM10.6 bilion daripada 325 projek ; 2011 sebanyak lebih RM8.7 bilion daripada 263 projek.

“Selangor kekal di tangga kedua selepas negeri Sabah, bagaimanapun nilai pelaburan itu tidak jauh iaitu perbezaan hanya RM2 juta sahaja,” katanya yang menjawab soalan Ng Suee Lim (Sekinchan – DAP).

Sumber itu diperolehi mengikut perangkaan daripada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Teresa menambah sebanyak tujuh projek dengan nilai pelaburan lebih RM72 juta berjaya diperolehi Negara-negara Arab sejak dua tahun lalu.

“Untuk makluman, dari Januari hingga April tahun ini, sebanyak satu projek dari Saudi Arab yang terletak di Puncak Alam.

“Manakala bagi tempoh yang sama tahun 2011, tiga projek dari negara Iran iaitu di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Seri Kembangan.

“Selain itu, bagi tempoh yang sama tahun 2010, sebanyak tiga projek antaranya projek di Hulu selangor dari Iran dan dua projek dari Emiriah Arab Bersatu iaitu di Sungai Buloh dan Seksyen 22, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat dari negara Iran, Oman dan Qatar Sabtu ini.

“Dengan MOU itu kita berharap banyak pelaburan dari negara-negara itu pada masa akan datang,” katanya.