Categories
NASIONAL

KKMM pertimbang untuk wujudkan sekolah pengaturcaraan komputer

PUTRAJAYA, 16 APARIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) merancang untuk mewujudkan sekolah pengaturcaraan komputer bagi pelajar lepasan sekolah menengah, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menerapkan ilmu teknologi dan pengkomputeran supaya generasi muda lebih bersedia pada masa depan dalam dunia teknologi digital untuk kekal berdaya saing.

Katanya kementeriannya sedang meneliti pelbagai model bagi tujuan membina dan membangunkan sekolah pengaturcaraan komputer yang sesuai bagi sekolah di Malaysia.

Satu ujian sekolah pengaturcaraan komputer diharap dapat dijalankan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan 50 ninja digital di bawah Program Ninja Digital yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini hari ini.

Gobind berkata beliau yang telah melawat Ecole 42, sebuah sekolah pengaturcaraan komputer di Paris, akan cuba membawa model berkenaan ke Malaysia.

Mengenai Program Ninja Digital itu, Gobind berkata tekonologi digital menawarkan kepada orang ramai peluang dan perubahan tanpa sempadan, justeru terdapat keperluan mendesak untuk mempersiapkan para belia untuk menghadapi dunia teknologi digital untuk kekal berdaya saing.

“Sebahagian daripadanya adalah dengan melengkapkan para belia Malaysia dengan kemahiran serta set pemikiran dan pendekatan yang dapat membantu mereka kekal relevan dalam tenaga kerja masa depan,” tambah beliau.

Program Ninja Digital adalah satu program bertujuan mempertingkatkan kemahiran digital yang menyasarkan pelajar Malaysia berusia antara 13 dan 17 tahun yang mempunyai bakat dalam pembikinan digital dan menunjukkan potensi besar untuk menjadi pakar teknologi digital pada masa depan.

Mengenai calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini, Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata parti sudah ada beberapa cadangan tetapi keputusan itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

PRK Sandakan perlu diadakan berikutan kematian penyandang yang juga Pengerusi DAP Sabah Mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hari Keselamatan Internet 2019 dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 13 FEB: CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan sambutan Hari Keselamatan Internet (SID) 2019 – Edisi Malaysia, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith itu diadakan di perkarangan pejabat KKMM.

Eddin berkata, sambutan SID kali ini bertemakan Kesejahteraan Siber dengan memfokuskan kepada kesihatan digital dan etiket digital.

“Mengikut kajian seramai 35 peratus pengguna remaja mengalami ketagihan internet dengan menggunakan masa enam ke tujuh jam sehari menggunakan internet.

“Ini satu perkara yang tidak sihat di mana ini mendorong kita menumpukan kepada kesihatan internet dan etiket internet itu sendiri,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran itu.

Eddin berkata, isu ketagihan dan penyalahgunaan internet memberi kesan kepada pelbagai masalah terhadap remaja seperti rabun penglihatan, masalah psikologi dan lain-lain.

Katanya, kegagalan mengawal isu ini akan memberi kesan kepada perkembangan modal insan di negara ini.

Pada sambutan kali ini, beberapa program diaturkan seperti kempen ‘MyDigitalH20’ (Health To Others) yang melambangkan keperluan internet dalam urusan kehidupan.

Selain kempen ‘MyDigitalH2O’, penyebaran mesej berkaitan kesihatan digital dan etiket digital turut dijalankan di rangkaian media sosial.

Categories
NASIONAL

KKKM pergiat sebar maklumat berkaitan SST

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 6 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) termasuk agensi serta jabatan di bawahnya mempergiat usaha menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) supaya difahami dan diterima baik masyarakat.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata, penggunaan pelbagai platform komunikasi sedia ada di jabatan dan agensi di bawah KKMM dilihat dapat membantu memastikan penyampaian komunikasi secara bersepadu yang efektif serta berkesan.

“Melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan dengan secara cepat dan tepat dapat menguar-uarkan maklumat mengenai SST supaya tiada kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat SST di Dewan Serbaguna B2, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kaedah konvensional dan program bersemuka dengan orang awam, capaian melalui sosial media juga digunakan bagi memberi penerangan serta membetulkan pandangan yang tidak tepat tentang pelaksanaan cukai terbabit.

Katanya, peranan KKMM melalui jabatan dan agensi turut diperlukan bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat untuk disampaikan kepada Kementerian Kewangan memandangkan senarai barangan SST masih belum dimuktamadkan sehingga akhir tahun.

“Adalah diharapkan taklimat pada hari ini yang dihadiri kira-kira 600 peserta daripada KKMM, jabatan dan agensi serta wakil-wakil daripada kementerian lain dapat memberi penjelasan dan kefahaman kepada mereka seterusnya dapat menyebar maklumat berkenaan SST kepada semua rakyat,” katanya.

Mohd Ali berkata, taklimat sama juga akan diadakan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi memberi peluang sama kepada pihak berkepentingan di kedua-dua negeri mendapatkan maklumat serta membuat persediaan sebaiknya sebelum berhadapan masyarakat.

– Bernama