Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP serbu gudang minyak pelincir jenama tiruan

PUTRAJAYA, 16 SEPT: Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas lebih 10,000 liter minyak pelincir jenama tiruan bernilai kira-kira RM111,300 dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor semalam.

Pengarahnya Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan berumur 34 dan 53 tahun yang berada di tempat kejadian.

Katanya gudang itu dipercayai dijadikan tempat membuat minyak pelincir bagi kenderaan berat menggunakan jenama Shell.

“Pemilik premis disyaki telah membuat atau memiliki suatu artikel salinan cap dagangan berdaftar atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap dagangan berdaftar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan antara lain label dan penutup tong cap dagang Shell yang dipercayai dibuat oleh sindiket dan siasatan awal mendapati minyak pelincir tiruan itu dipasarkan di sekitar Lembah Klang pada harga antara RM185 dan RM240.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes juga juga disiasat menurut Seksyen 5(a) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP pastikan pelitup muka kanak-kanak pada harga berpatutan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan pelitup muka kanak-kanak dijual pada harga berpatutan.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pemain industri untuk memastikan harga pelitup muka kanak-kanak tidak membebankan ibu bapa.

“Kita ambil maklum tentang masalah bebanan ibu bapa …kita akan berbincang dengan pemain industri untuk tidak membenarkan harga pelitup muka kanak-kanak dijual lebih tinggi daripada harga maksimum pelitup muka biasa (dewasa),” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kerajaan menetapkan harga siling pelitup muka kanak-kanak yang didakwanya lebih mahal daripada pelitup muka dewasa sehingga membebankan ibu bapa terutama daripada golongan B40.

Terdahulu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Nanta berkata KPDNHEP akan menurunkan harga siling pelitup muka lebih rendah daripada RM1.20 susulan maklum balas umum mengenai penetapan harga pelitup muka itu.

Pada 23 Julai lepas, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan murah tanpa had bermula tahun depan – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 3 OGOS: Golongan peniga dibenarkan menganjurkan aktiviti jualan murah tanpa had bilangan kuota mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing, berkuat kuasa 2 Januari depan, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata ia berikutan pewartaan pindaan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2019.

Sebelum ini, katanya, peraturan tersebut menetapkan had kuota penganjuran jualan murah adalah sebanyak empat kali setahun iaitu tiga daripadanya adalah berdasarkan tempoh dan tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan manakala satu lagi tarikh jualan murah dipilih oleh peniaga.

“Pindaan peraturan ini bertujuan menjadikan penguatkuasaan berkaitan jualan murah menjadi lebih relevan mengikut perkembangan perdagangan semasa,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata penambahbaikan juga telah dibuat ke atas sistem notis jualan murah agar peniaga tidak lagi perlu menunggu kelulusan daripada KPDNHEP dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan nombor notis jualan murah.

“Nombor notis jualan murah tersebut akan diberi secara automatik sebaik sahaja permohonan notis ini telah dilengkapkan oleh peniaga di dalam sistem permohonan notis jualan murah secara dalam talian,” katanya.

Iskandar berkata KPDNHEP juga bersetuju memendekkan tempoh untuk mengemukakan permohonan jualan murah daripada 14 hari kepada satu hari sahaja sebelum peniaga mengadakan jualan murah bagi menyokong kreativiti dan strategi pasaran peniaga.

“Melalui pindaan ini, peniaga tiada lagi alasan untuk tidak memohon notis jualan murah kerana mereka boleh memohon dalam tempoh satu hari sebelum tarikh untuk mengadakan jualan murah,” katanya.

Iskandar dalam pada itu berkata KPDNHEP bukan sahaja mengambil kira pandangan pihak industri dalam membuat sesuatu dasar tetapi juga mempertimbang keperluan untuk melindungi hak pengguna.

Menurutnya, peruntukan sedia ada dalam peraturan dikekalkan bagi melindungi pengguna, di samping mewujudkan kesalahan sekiranya peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam penawaran dan iklan jualan murah.

“Ia bagi menjamin aktiviti perniagaan jualan murah yang diadakan adalah beretika kerana terdapatnya aduan yang diterima bahawa iklan jualan murah yang dipaparkan tidak mencerminkan harga sebenar barangan yang diberi potongan harga jualan murah,” katanya.

Iskandar berkata KPDNHEP juga telah membangunkan aplikasi telefon pintar iaitu MySales Tracker bagi memberi kemudahan kepada pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah yang berlangsung di sekitar kawasan mereka.

Melalui aplikasi itu, pengguna boleh membuat carian pantas berkaitan jualan murah berdasarkan jenama atau premis, dan boleh juga membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah secara palsu atau mengelirukan.

Beliau berkata penambahbaikan peraturan jualan murah itu yang dilihat lebih mesra peniaga tanpa mengabaikan aspek perlindungan pengguna akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga jualan murah yang akan secara langsung membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM: Tiada kompaun lewat perbaharui syarikat tahun ini

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan melanjutkan tempoh pengecualian kompaun ke atas kelewatan pembaharuan pendaftaran perniagaan, sehingga 31 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, langkah itu akan memberi manfaat kepada 740,000 pemilik perniagaan yang pendaftaran perniagaan mereka luput, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seksyen 12(1)(b) Akta Pendaftaran Perniagaan (APP) 1956 menetapkan bahawa menjadi satu kesalahan apabila seseorang meneruskan sesuatu perniagaan selepas tempoh pendaftaran luput.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke [email protected]

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

KPDNHEP serbu stor pindah LPG, rampas 307 tong

SHAH ALAM, 18 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah stor disyaki menjalankan aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, petang kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata serbuan menemui 103 tong LPG industri seberat 50 kilogram (kg), 14 tong LPG domestik 14 kg dan 190 tong kosong.

“Peralatan memindahkan gas seperti hos, penimbang dan pengepam turut dirampas selain lori lima tan berisi LPG disita. Anggaran keseluruhan bernilai RM72,662,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, empat lelaki berusia antara 24 hingga 35 tahun termasuk seorang lelaki tempatan yang mengaku pemilik premis turut ditahan untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah selain kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP keluar 635 notis kepada pengusaha dandanan, gunting rambut

PUTRAJAYA, 17 JUN: Sebanyak 635 notis tunjuk sebab dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada penyedia perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut dan salun kecantikan seluruh negara kerana didapati menaikkan kadar caj perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata mereka yang gagal mengemukakan maklumat notis mengikut tempoh yang ditetapkan atau didapati mencatut, akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Dalam satu temu bual khas dengan Bernama di sini semalam, beliau berkata sejak PKPP dilaksanakan 10 Jun lepas, pihaknya melaksanakan penguatkuasaan di bawah Ops Catut 7.0 dengan menyasarkan penyedia perkhidmatan berkenaan dan pemeriksaan dilakukan bagi memantau kenaikan kadar caj yang dikenakan melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011.

Sementara itu, mengulas berhubung trend harga minyak terkini, Nanta berkata pihak kementerian akan memastikan pengusaha stesen minyak mematuhi harga ditetapkan Kementerian Kewangan.

“Saya faham keluhan yang diutarakan pengguna sejak akhir-akhir ini seperti yang sering dikongsikan di media sosial berkaitan kenaikan harga minyak, namun ingin saya tekankan bahawa penentuan harga siling minyak ditentukan oleh Kementerian Kewangan dengan penetapannya masih menggunakan Mekanisma Harga Automatik (APM) yang dipengaruhi harga minyak yang selari dengan harga minyak mentah dunia,” katanya.

Jelasnya, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan memikirkan tindakan atau mekanisma yang sewajarnya sekiranya harga minyak naik pada paras yang tidak berpatutan.

Dalam pada itu, Nanta menegaskan sumbangan pegawai dan anggota KPDNHEP juga amat penting lebih-lebih lagi semasa negara sedang berjuang untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

“Semasa memerangi Covid-19, kita berganding bahu melaksanakan pasukan petugas bersama agensi penguat kuasa yang lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya.

Sementara itu di BUKIT MERTAJAM, seorang peniaga durian dikompaun RM1,000 oleh KPDNHEP Pulau Pinang kerana menggunakan alat timbang dan sukat yang telah tamat tempoh dalam satu pemeriksaan, Isnin lepas.

Pengarah pejabat KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata dalam pemeriksaan itu yang dijalankan penguat kuasanya di gerai sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mendapati kebanyakan peniaga mempamerkan tanda harga pada buah-buahan yang dijual mereka, namun sebuah gerai di Bukit Mertajam telah menggunakan alat penimbang yang telah tamat tempoh penentusahan untuk tujuan perdagangan.

Beliau berkata operasi yang dijalankan memfokuskan kepada pemeriksaan terhadap peniaga buah, terutama durian yang bersifat sementara serta bermusim dan ia akan berterusan terutama di lokasi tumpuan pembeli hingga tamat musim durian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP keluar 633 notis kepada pengusaha kedai gunting, dandanan rambut

KUALA TERENGGANU, 14 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan sebanyak 633 notis kepada pemilik kedai gunting dan dandanan rambut sepanjang pelaksanaan Ops Catut 7.0 yang bermula 10 Jun lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata notis itu dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan dan maklum balas daripada pemilik kedai gunting dan dandanan rambut berkenaan kenaikan caj perkhidmatan gunting rambut dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berbeza-beza di premis terlibat.

Beliau berkata pengusaha atau pemilik kedai terbabit diberi masa antara tiga hingga lima hari untuk memberi penjelasan atau maklumat bagi hal berkaitan dan sekiranya gagal, mereka akan dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Setakat ini kita telah jalankan pemeriksaan di 369 premis seluruh negara dan rata-ratanya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun kita terpaksa mengeluarkan notis kepada pemilik premis yang didapati mengenakan caj harga yang berbeza-beza dan tidak munasabah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan di Pasar Raya Pacific di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) hari ini.

Sebelum itu beliau yang diiringi Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia melakukan lawatan ke kedai gunting rambut Mat Barber Shop Premium di sini bagi melihat pematuhan harga dan SOP dalam tempoh PKPP.

Dalam pada itu Rosol turut menasihati pengguna supaya merujuk harga barangan di aplikasi ‘Price Catcher’ yang dibangunkan oleh KPDNHEP sebelum membuat pembelian terutama barangan kawalan.

Ia susulan terdapat laporan kenaikan harga ayam yang mendadak sehingga mencapai RM10 sekilogram di beberapa pasar basah dalam tempoh PKPP.

“Sebelum buat pembelian, kita boleh guna aplikasi ‘Price Catcher’ sebagai rujukan atau ‘tanda aras’ bagi mengelak membeli pada harga yang terlampau tinggi dan tidak munasabah.

Jika kita lihat di aplikasi tersebut, harga ayam di pasar raya seperti Pasar Raya Besar Mydin, Giant dan Pacific adalah antara RM7.50 sekilogram dan ia adalah tidak melebihi harga kawalan ditetapkan,” katanya yang meminta supaya pengguna membuat pilihan bijak dalam menentukan pembelian.

Bagaimanapun Rosol berkata pihaknya tetap akan menjalankan pemeriksaan di pasar-pasar basah bagi melihat sekiranya terdapat kenaikan ayam secara mendadak seperti didakwa.

“Setakat ini kita belum menerima laporan atau aduan secara rasmi, berhubung kenaikan berkenaan, tetapi pemantauan akan dipertingkatkan bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan berlebihan sehingga menganiaya pengguna,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes kesalahan peniaga turun, 70 kes sahaja sepanjang musim perayaan

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyifatkan penurunan kes kesalahan peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) tahun ini sebagai perkembangan positif.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Azman Adam berkata pihaknya telah mengesan 70 kes sahaja tahun ini, berbanding mencecah lebih 300 kes sepanjang perlaksanaan SHMMP tahun lepas.

Beliau berkata kesalahan yang dikesan membabitkan peniaga meletakkan harga tinggi pada barang yang dikawal dan tidak meletakkan tanda harga pada barang.

“Pihak kami melihat perkara ini sebagai satu perkara yang positif, ia menunjukkan pematuhan oleh peniaga-peniaga semakin baik dan kesedaran mereka juga bertambah.

“Kementerian berharap selepas tamat SHMMP ini peniaga akan terus mengamalkan etika harga barang dengan baik dan tidak ada yang menaikkan harga selepas tamatnya skim ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan dan pemeriksaan SHMMP di Pasar Moden Sri Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata, antara punca kes berkurangan tahun ini adalah kerana harga terhadap barang yang dikawal mengambil kira beberapa faktor, yang membolehkan peniaga mendapat keuntungan dengan mengikut harga yang ditetapkan.

Katanya, faktor lain ialah peranan aktif pengguna tahun ini kerana pihaknya telah menerima banyak aduan yang membantu tugas penguatkuasaan.

“Semalam kita ada 20 kes baharu dan kebanyakan kes pelanggaran hanya melibatkan pasar mini dan pasar raya, ini satu petunjuk yang baik kerana selalunya kesalahan ini dilakukan di pasar basah, tapi tahun ini kita dapati pematuhan di pasar basah semakin baik,” katanya.

Beliau berkata daripada 20 kes itu KPDNHEP telah mengutip kompaun sebanyak RM85,000.

Azman berkata sejak pelaksanaan SHMMP, KPDNHEP telah melakukan sebanyak 22,852 pemeriksaan di premis-premis perniagaan di seluruh negara dan semalam pegawai penguat kuasa telah membuat 2,200 pemeriksaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna aplikasi ‘Price Catcher’ buat perbandingan harga barang keperluan

KUALA BERANG, 22 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan para pengguna memanfaatkan aplikasi ‘Price Catcher’, bagi membandingkan harga barangan keperluan, terutama pada musim perayaan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna mengakses maklumat harga lebih 400 barangan keperluan di pasar awam, pasar raya dan kedai runcit yang terpilih di seluruh Malaysia.

Kesemua harga barangan dimasukkan dan dikemas kini ke dalam aplikasi itu oleh 1,100 pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

“Aplikasi ini memudahkan dan menjimatkan masa pengguna dan mereka boleh merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga yang berpatutan.

“Ia juga dapat mendorong para peniaga menjadi lebih beretika dan meletakkan harga yang munasabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2020 bagi negeri Terengganu di sini, semalam.

Dalam pada itu Rosol mengakui masih terdapat sebilangan besar pengguna di negara ini tidak menyedari kewujudan aplikasi ‘Price Catcher’ walaupun ia telah dibangunkan oleh KPDNHEP sejak 2018.

Terdahulu, Rosol mengumumkan sebanyak 10 jenis barangan yang telah ditentukan harga maksimum yang perlu dipatuhi peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2020 bagi Terengganu, yang akan bermula 20 Mei sehingga 30 Jun ini.

Antara harga barangan yang dikawal harga ialah ayam standard, telur ayam, daging lembu tempatan dan kelapa parut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Senarai barang kawalan musim perayaan diperluas – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kawalan bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) telah diperluaskan kepada 19 barang baharu, demikian menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata dengan senarai 16 barangan harga terkawal yang telah ditetapkan dan berkuat kuasa mulai 20 Mei 2020, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal yang ditentukan harga maksimum adalah sebanyak 35 barang.

Senarai 19 barang baharu adalah:

1. Tomato
2. Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Kubis Beijing)
3. Cili merah
4. Lada benggala hijau
5. Kacang panjang
6. Sawi Hijau
7. Bendi
8. Bawang besar (China)
9. Bawang besar (Holland)
10. Ubi kentang import (China)
11. Cili kering
12. Kacang tanah
13. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
14. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
15. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
16. Ikan segar beku kembung (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
17. Ikan segar beku selayang (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
18. Ikan segar beku selar (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
19. Ikan demudok/Sagai/Cermin/Cupak (berat antara 3 ekor hingga 5 ekor setiap kilogram)

Nanta berkata tarikh kuat kuasa 19 barangan tambahan itu adalah pada 22 Mei hingga 3 Jun iaitu selama 13 hari.

KPDNHEP sedang melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) bermula 20 Mei sehingga 3 Jun. KPDNHEP juga akan menguatkuasakan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bermula 28 Mei hingga 3 Jun.

“Pertambahan barang-barang tersebut adalah atas permintaan pengguna dan barangan tersebut merupakan barangan pilihan utama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Tiga perayaan tersebut turut temasuk dalam tempoh PKPB.

“Diharapkan harga barang tersebut adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat borong dan runcit terutamanya di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

PKP: KPDNHEP Selangor periksa 5,506 premis, 136 kena tindakan kompaun

SHAH ALAM, 19 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan kompaun berjumlah RM79,650 dengan nilai rampasan RM2,411.30 sepanjang lima fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Jumlah itu hasil daripada laporan tindakan terhadap 136 kes hasil pemeriksaan 5,506 premis.

“Jumlah kes tertinggi direkodkan pada fasa empat PKP sebanyak 51 kes hasil pemeriksaaan 1,930 premis dengan nilai rampasan RM2,049.75 serta kompaun RM43,500,” kata agensi berkenaan di Facebook.

Berdasarkan laporan mingguan barangan keperluan asas dan penguatkuasaan sepanjang minggu bagi tempoh 10 hingga 16 Mei, Shah Alam mencatatkan jumlah aduan tertinggi sebanyak 33.79 peratus daripada keseluruhan 239 aduan diikuti Petaling Jaya 29.69 peratus dan 15.02 peratus di Kajang.

Sepang merekodkan 10.92 peratus aduan diikuti Gombak (4.78 peratus), Kuala Selangor (3.41 peratus) dan Kuala Kubu Bharu (2.39 peratus).

KPDNHEP Selangor memaklumkan hanya satu tindakan kes diambil hasil pemeriksaan pasar awam pelbagai akta terhadap 1,791 premis dengan nilai kompaun RM1,000.

“Pemeriksaan cecair pembasmi kuman dijalankan di 68 premis dengan bilangan 31,714 unit. Bagi laporan topeng muka pula terdapat 162 aduan diterima membabitkan lima kes dengan nilai rampasan RM1,936.60 serta kompaun berjumlah RM30,000,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP puas hati ramai patuh SOP premis niaga

BUKIT MERTAJAM, 18 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan tahap kepatuhan orang ramai dan peniaga di premis-premis perniagaan di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata sejak kementerian menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) pada 13 Mei lepas, sebanyak 5,469 pemeriksaan telah dijalankan sehingga semalam di premis-premis perniagaan di seluruh negara.

“Daripada 5,469 premis yang diperiksa itu, sebanyak 4,361 mematuhi SOP,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Easy Pack Technology Sdn Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata 801 premis telah diberikan nasihat manakala hanya 37 sahaja diberikan amaran oleh KPDNHEP.

“Peranan kita juga seperti penguat kuasa yang lain iaitu apabila melihat ramai yang berkumpul, kita menasihatkan agar mereka menjaga jarak sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman ketika memasuki premis perniagaan dan sekiranya mereka tidak memakai penutup hidung dan mulut, kita menasihatkan untuk memakainya.

“Setakat ini Alhamdulilah kadar kepatuhan sangat memuaskan. Secara keseluruhannya rakyat kita baik dan patuh kepada arahan. Macam tadi (semalam) saya pergi ke Perlis, dapat lihat ada pematuhan di mana pihak pusat membeli-belah selang satu jam mereka membuat pengumuman untuk mengingatkan pengunjung supaya mematuhi apa yang dipinta semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Rosol berkata tahap pematuhan ketika berada di premis perniagaan dan tempat terbuka amat penting kerana semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

– BERNAMA