Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 97 peratus premis diperiksa KPDNHEP patuh SOP PKP

PUTRAJAYA, 6 FEB: Lebih 97 peratus daripada 348,409 premis yang diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak 4 Mei 2020 sehingga 2 Feb lepas (Selasa) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata hanya 45 premis (0.013 peratus) daripada jumlah yang diperiksa dalam tempoh tersebut dikenakan kompaun, 554 premis (0.159 peratus) diberi amaran dan selebihnya diberi nasihat.

“Pendekatan kementerian adalah lebih kepada memudahcara pemain industri dalam konteks “ease of doing business” dengan kementerian mendahului memberi nasihat, amaran dan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, premis yang telah dikenakan kompaun termasuklah farmasi, kedai telekomunikasi dan restoran.

“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk menutup sesuatu premis jika tahap ketidakpatuhan pada peringkat yang serius,” katanya.

Dalam lawatannya ke Malakat Mall di Cyberjaya pada Rabu lepas bagi memantau pematuhan SOP PKP, Rosol berkata premis-premis di pusat beli belah itu mematuhi 100 peratus SOP termasuk menyediakan QR Code MySejahtera, had bilangan pelanggan dalam premis dan penjarakan fizikal antara pelanggan manakala kedai-kedai yang tidak termasuk dalam senarai Majlis Keselamatan Negara tidak beroperasi.

Berhubung penguatkuasaan bekalan barang, Rosol berkata pemantauan yang dijalankan setiap hari di seluruh negara mendapati keberadaan bekalan barangan khususnya barang makanan dan keperluan asas seperti gula dan minyak masak di peringkat peruncit dan pemborong adalah pada tahap stabil dan mencukupi.

“Ini termasuklah di kawasan yang mengalami bencana banjir baru-baru ini dan sejumlah 181,151 peruncit, 53,912 pemborong dan 9,227 pengilang telah diperiksa dan dapatan mendapati tiada krisis yang direkodkan berlaku di mana-mana kawasan di negara ini,” katanya.

Rosol berkata sejak pelaksanaan PKP sehingga 1 Feb lepas, 5,981 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Catut 8.0 pantau harga kelengkapan elektronik, komunikasi

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Catut 8.0 bagi memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata sejak Isnin lepas (25 Jan) sehingga semalam, bahagian penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap 130 premis yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi.

Katanya hasil pemantauan itu, 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh untuk mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, ia menjadi kesalahan tindakan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011.

“Kementerian mengambil maklum tentang pelajar sekolah yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keperluan terhadap perkakasan komputer, mesin cetak dan aksesorinya serta kelengkapan komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya pemantauan itu dilaksanakan selama dua minggu mulai 25 Jan dan peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan.

“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi Seksyen 21(5) AKHAP 2011 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata pengguna dinasihatkan menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, pengguna digalakkan membanding harga dan mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli terutama keperluan pembelajaran dalam talian serta tawaran pakej daripada penjual sebelum membuat keputusan membelinya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP, syarikat minyak bantu golongan terkesan Covid-19

PUTRAJAYA, 18 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan syarikat minyak melaksanakan inisiatif membantu golongan yang memerlukan dan terkesan oleh pandemik Covid-19, di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata antara inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pemberian barangan keperluan secara percuma dan jualan barangan pada harga murah di stesen-stesen minyak.

Shell Malaysia Trading Sdn Bhd umpamanya mewujudkan Kotak Makanan Komuniti dan Sudut Barangan Komuniti di 50 stesen minyak Shell bagi membantu golongan yang memerlukan, katanya.

Kotak Makanan Komuniti merupakan ruang barangan keperluan kering seperti beras, tepung, gula, minyak masak, telur, susu pekat dan sardin yang boleh diambil secara percuma oleh mereka yang memerlukan, manakala Sudut Barangan Komuniti menjual barang makanan asas pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Masyarakat yang berkemampuan pula, apabila mereka datang ke stesen Shell, mereka boleh membeli beberapa barangan keperluan dan letakkan di dalam kotak itu untuk diambil oleh mereka yang memerlukan di kawasan berdekatan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau Kotak Makanan Komuniti di Stesen Minyak Shell Presint 18 di sini hari ini, Hasnol Zam Zam berkata Petronas pula akan memulakan projek rintis jualan barangan keperluan segar seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran pada harga lebih rendah berbanding pasaran di empat stesen minyak syarikat itu pada awal tahun depan.

“Kita bekerjasama dengan Petronas mewujudkan sudut barangan segar dengan RM20 atau RM30 sudah cukup untuk masyarakat membeli barangan untuk dimasak, jadi ini akan mengurangkan kos.

“Kita bekerjasama dengan syarikat-syarikat minyak ini kerana kewujudan mereka di seluruh negara, di tempat-tempat yang dekat dengan kumpulan sasaran kita yang mudah terkesan dengan keadaan berkaitan pandemik, kehilangan pendapatan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd Shairan Huzani Husain berkata syarikat tersebut menyasarkan untuk mewujudkan Kotak Makanan Komuniti di 100 buah stesen minyaknya menjelang penghujung tahun ini.

“Kami cukup terkesan apabila ada seorang mak cik datang ambil tepung, sardin dan bar coklat. Apabila ditanya kenapa ambil bar coklat, katanya anaknya tak pernah merasa (coklat) kerana dia tak mampu beli.

“Inilah antara cerita masyarakat kita dan kami harap inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat membantu memenuhi makanan keperluan harian mereka,” kata Shairan Huzani.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program KPDNHEP disambung semula lepas PKPB tamat

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Keputusan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri dan daerah di seluruh negara memberi peluang kepada sektor perniagaan dibuka semula dan merancakkan aktiviti ekonomi domestik negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu juga membolehkan aktiviti dan inisiatif kementerian diteruskan, seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang dilancarkan pada Julai lepas, selain Program Jelajah Francais 2020.

“Kementerian turut giat melaksanakan pelbagai usaha untuk mempromosikan KBBM dan PJM melalui media massa dan sosial sebagai satu suntikan semangat kepada para pengeluar dan usahawan untuk menghasilkan lebih banyak produk atau perkhidmatan berkualiti, dan sudah pasti pada harga berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata KPDNHEP juga berbangga apabila siri animasi, Upin & Ipin – Barang Baik, Barang Kita (Episod 14) yang diterbitkan khas bagi mempromosikan KBBM dan PJM merekodkan lebih lima juta tontonan sejak mula disiarkan melalui platform YouTube, minggu lepas.

Jelasnya, usaha itu merupakan pendekatan inovatif kementerian dalam mempromosikan inisiatif berkenaan dalam kalangan rakyat, termasuk kanak-kanak.

Selain itu, katanya semua pejabat KPDNHEP negeri akan menggerakkan inisiatif yang sama seperti Kempen Kembali Ke Sekolah 2021, program bantuan kepada mangsa bencana, program Foodbank kepada Siswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta program pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan.

Bagi kes-kes Tribunal Pengguna Malaysia yang tertangguh, Nanta berkata pelan tindakan juga telah disusun untuk dilaksanakan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Kempen beli barang Malaysia dapat sambutan positif

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus mendapat sambutan yang menggalakkan sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk buatan tempatan.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Ismainur Hadi Amat Bakeron, sejak kempen itu dilaksanakan, sebanyak 241,900 unit simpanan stok (SKU) produk tempatan telah dipasarkan di pelbagai platform beli-belah berbanding hanya 160,648 SKU sebelum ini.

Katanya pemasaran produk tempatan itu adalah hasil kerjasama strategik yang dijalinkan dengan pemain sektor peruncitan terdiri daripada pasar raya dan kedai serbaneka termasuk di stesen minyak bagi mengenal pasti produk tempatan yang berpotensi.

Pasar raya seperti Mydin, Aeon, Tesco dan Giant serta peruncit telah memasarkan produk buatan tempatan berpotensi dan berkualiti untuk dipromosikan melalui gegantung dan rak khas bagi menempatkan produk buatan tempatan, katanya.

“Kolaborasi itu menjana nilai jualan berjumlah RM1.621 bilion pada suku ketiga tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM28 juta berbanding RM1.593 bilion untuk tempoh sama tahun lepas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Ismainur berkata platform e-dagang juga kini menjadi trend pengguna untuk membeli-belah, ditambah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan pergerakan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menjalinkan kolaborasi dengan tiga platform e-dagang iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall pada tahun ini sebagai medium mempromosikan barangan buatan Malaysia sekali gus membantu industri kecil dan sederhana.

“Menerusi platform beli-belah itu juga, nilai jualan produk tempatan telah mencecah RM43.5 juta dengan 71,877 SKU pada suku ketiga tahun ini, berbanding hanya RM7.4 juta nilai jualan dengan 15,399 SKU pada suku tahun pertama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian turut mengambil pendekatan baharu dengan melakukan kerjasama silang dengan pihak organisasi atau syarikat berkepentingan yang mempunyai pengikut atau pengaruh yang tersendiri.

“Antaranya membuat promosi atau kempen KBBM melalui paparan iklan termasuk papan iklan diod pancaran cahaya (LED) di lokasi-lokasi strategik di lebuh raya, jalan raya persekutuan atau negeri selain mengadakan kolaborasi khas bersama Siri Animasi Upin dan Ipin,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha yang menyertai KBBM menerusi platform e-dagang itu, Sharil Omar berkata syarikatnya masih mampu meneruskan operasi dalam tempoh mencabar ketika ini ekoran kecenderungan pelanggan membeli produk secara dalam talian.

Sharil yang merupakan Pengurus Eksekutif Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd berkata syarikatnya menawarkan lebih 50 produk menerusi pembelian dalam talian di laman seperti Shopee, Lazada, Fscebook, Instagram dan Tik Tok.

“Kerjasama dengan KPDNHEP menerusi KBBM turut membolehkan syarikat menembusi pasaran pasar raya selain mendapat pengecualian listing fee, promosi dan publisiti, serta sewaan ruang dan rak jualan di premis terpilih,” katanya.

Bagi Pengarah Operasi dan Pembangunan Perniagaan Oishiy Rich Empire Noorul Halimin Sabran, produk keluaran syarikatnya seperti kerepek lobak merah Cravia dan Muruku Cheese Minys menerima sambutan yang baik selepas menukar strategi jualan secara dalam talian.

Foto Facebook KPNDHEP Laman Rasmi

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Malaysia import bawang, elak gangguan bekalan

PUTRAJAYA, 23 NOV: Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai strategi untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada sesebuah negara sahaja, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka Malaysia tidak akan terancam dan bekalan bawang tidak terganggu walaupun harga mungkin menerima impaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 negara dengan lima negara adalah pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9.0 peratus) dan Thailand (7.0 peratus).

Katanya, India merekodkan jumlah terbesar pengimportan bawang iaitu sebanyak 149,539,411 kilogram (kg) dan jumlah itu adalah berdasarkan ‘minat dan cita rasa rakyat Malaysia’.

Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import, Bawang Besar Import, Bawang Kecil Merah Rose Import (India); Bawang Merah Import, Bawang Kecil Merah Import (China); Bawang Kecil Merah Import (Myanmar); Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland).

Pada 14 September kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram bertujuan menampung keperluan domestik di negara berkenaan berikutan bencana banjir yang berlaku pada Julai lepas.

Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

Dalam pada itu, Nanta berkata harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan.

“Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik. Inilah juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berkaitan bekalan dan harga bawang termasuk di peringkat pembekal, pemborong dan peruncit.

Katanya, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan harga kawalan seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengkujuh: KPDNHEP jamin bekalan makanan, keperluan asas cukup

KUALA NERUS, 16 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid berkata bagi negeri-negeri yang sering dilanda banjir, pihak Kementerian telah melantik peruncit dan pemborong terpilih untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas melebihi 30 peratus daripada stok bekalan biasa.

“Seperti di Terengganu kita ada 160 peruncit dan 74 pemborong terpilih yang akan menyediakan bekalan 30 peratus daripada stok biasa. Kita juga telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

“Jadi rakyat terutama di Pantai Timur tidak perlu bimbang semasa musim tengkujuh ini dan kita akan memastikan stok bekalan makanan dan keperluan asas sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Tinjauan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020, di sini semalam.

Sementara itu, Rosol berkata setakat lima hari pelaksanaan SHMMP Deepavali 2020 bermula 9 November lepas, sebanyak 26 kes peniaga tidak mematuhi peraturan telah direkodkan dan daripada jumlah itu, 24 kes berkaitan kesalahan tidak memaparkan tanda harga manakala dua kes menjual barangan melebihi harga kawalan yang ditetapkan, semuanya melibatkan jumlah rampasan dan kompaun keseluruhan bernilai RM5,847.

Sehingga kini katanya, sejumlah 8,305 premis telah diperiksa pasukan penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara membabitkan 276 premis borong dan 8,029 premis peruncit.

Beliau menambah KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum untuk 20 jenis barang keperluan sepanjang perayaan Deepavali ini termasuk kacang dal, ubi kentang import dan cili kering.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga siling 70 sen pelitup muka berkuat kuasa Ahad

SHAH ALAM, 27 OKT: Harga siling runcit bagi pelitup muka tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping, berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata harga di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen daripada 95 sen sekeping.

Sementara itu, harga runcit pelitup muka kategori N95 ialah RM6 dan borong RM5, bagi kategori satu lapis 7 sen (runcit) dan 5 sen (borong), bagi dua lapisan pula 20 sen (runcit) dan 16 sen (borong).

“Mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, KPDNHEP membuat kajian semula harga pelitup muka dengan melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport.

“Harga baru ini akan dikuatkuasa melalui Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 bermula 1 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP telah menjalankan 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari sehingga 25 Oktober lalu.

“Pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 543,737.40 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, KPDNHEP mewartakan harga maksimum pelitup muka tiga lapis iaitu 95 sen seunit bagi jualan borong manakala RM1 untuk harga runcit.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 4,560 kesalahan pelbagai akta direkod sejak PKP bermula

PUTRAJAYA, 17 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merekodkan 4,560 kesalahan di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM60,691,736 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam.

Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP hari ini, sebanyak 440,549 premis perniagaan diperiksa pada tempoh tersebut merangkumi kedai runcit, pasar raya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan serta lain-lain premis.

“Sebanyak 3,377 kesalahan telah dikompaun sepanjang tempoh PKP ini dengan kutipan kompaun berjumlah RM1,495,752,” menurut kenyataan itu.

Kesalahan tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat dengan 2,431 kes, diikuti dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 1,289 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 367 kes.

Menurut kenyataan itu, sejak PKP bermula sehingga kini, 12 barang keperluan harian pengguna iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka dipantau secara harian di seluruh negara.

Orang ramai disaran membuat aduan jika terdapat isu berhubung harga dan bekalan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP periksa kedai emas, elak pelanggan ditipu

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kedai emas seluruh negara akan diperiksa secara rawak bagi melindungi hak pengguna.

Timbalan menteri kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) berkata pihaknya menerima laporan penipuan timbangan emas ekoran harga tinggi barangan itu ketika ini, lapor Berita Harian.

“Ada peniaga mencampurkan logam lain dalam barangan kemas dengan tujuan menaikkan berat.

“Sebab itu kita akan buat pemeriksaan secara rawak. Beberapa barangan kemas diambil akan diuji di makmal bagi memastikan tiada unsur lain dalam barangan kemas itu,” kata Datuk Rosol Wahid ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jualan Malaysia semalam.

Menurutnya sehingga 31 Ogos lalu sebanyak 2,900 kompaun dikenakan kepada peniaga yang menipu berat barangan dijual selain rampasan bernilai lebih RM1.8 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP rekod 78 kes pelbagai kesalahan jualan murah

KUALA TERENGGANU, 26 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan sebanyak 78 kes pelbagai kesalahan berkaitan jualan murah sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata daripada jumlah itu, 20 kes dikesan berlaku sejak kementerian melaksanakan Program Jualan Murah (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 (KBBM) bermula Julai lepas.

“Ia membabitkan nilai rampasan RM44,604 dan nilai kompaun RM23,150 dan antara kesalahan yang dikesan ialah harga jualan mengelirukan pengguna, tidak mempamerkan notis jualan murah dan mengadakan jualan murah tanpa notis pemakluman.

“Selain itu, kementerian juga menerima 389 aduan mengenai jualan murah sepanjang tahun ini…kita harap pengguna sentiasa berhati-hati dan sentiasa bandingkan harga sebelum membuat pembayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia di sini hari ini.

Seramai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall menyertai PJM dan KBBM selama empat hari yang bermula Khamis lepas.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata rakyat Malaysia perlu mengutamakan produk tempatan kerana perbelanjaan pengguna dapat memperkukuhkan sektor peruncitan domestik agar berdaya saing dan akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Bagi memastikan hasrat ini tercapai, kementerian telah mengambil inisiatif dengan memudahkan proses kelulusan permohonan jualan murah sepanjang tahun. Peniaga hanya perlu mendaftar dalam Sistem Notis Jualan Murah. Notis pemakluman jualan murah boleh diisi dan dalam tempoh 24 jam jualan murah boleh diadakan.

“Notis ini tidak memerlukan kelulusan daripada KPDNHEP tetapi sebaliknya hanya memaklumkan tentang jualan murah yang ingin diadakan. Namun pada masa yang sama, KPDNHEP mengingatkan agar jualan murah tersebut adalah benar dan sekiranya pemeriksaan dibuat mendapati sebaliknya dan melanggar Peraturan Jualan Murah, maka tindakan masih boleh diambil,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP kesan pelitup muka murah di pasaran, keselamatan diragui

SUNGAI BESAR, 16 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan penjualan pelitup muka berharga semurah 50 sen di pasaran namun kualitinya tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid menasihati pengguna agar berhati-hati ketika membeli pelitup muka berharga jauh lebih murah daripada harga siling agar tidak terdedah kepada bahaya lain.

“Pelitup muka ini dijual dengan harga 50 sen dan penjual dakwa ia merupakan pelitup muka tiga lapis, bagaimanapun pemeriksaan mendapati bahan yang digunakan agak meragukan.

“Pelitup itu berdebu dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor di Sekinchan di sini hari ini.

Katanya pelitup muka terbabit sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya dan tidak menolak kemungkinan satu peraturan akan dibuat agar hanya pelitup muka memenuhi piawaian yang ditetapkan sahaja boleh dijual demi menjamin keselamatan pengguna.

Kerajaan pada Ogos lepas menetapkan harga siling bagi pelitup muka RM1 sehelai.

Sementara itu mengulas mengenai program jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia, beliau berkata kesedaran orang ramai didapati semakin meningkat dalam merancakkan semula ekonomi tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Rosol juga berkata pengguna tidak perlu gusar ketika membeli barangan buatan tempatan kerana kualiti produk tempatan adalah setanding dengan kualiti barangan antarabangsa malah ada yang lebih baik.

– BERNAMA