Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti agama rumah ibadat selain Islam terhad 50 orang

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyelaras tatacara operasi piawai (SOP) bagi pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk penerima vaksin Covid-19 lengkap.

KPN menerusi kenyataan memaklumkan bagi negeri Fasa Satu dan Dua PPN, kehadiran penganut yang lengkap vaksinasi bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang adalah terhad kepada 50 orang pada satu-satu masa dengan waktu beroperasi dibenarkan dari 6 pagi hingga 2 petang dan dari 4 petang hingga 10 malam.

Bagi negeri di Fasa Tiga PPN, had kehadiran penganut yang telah lengkap vaksinasi bagi aktiviti keagamaan atau sembahyang pula tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat, manakala waktu beroperasi dibenarkan adalah dari 6 pagi hingga 2 petang dan dari 4 petang hingga 10 malam.

Menurut kenyataan itu, penerima vaksin lengkap merujuk kepada penganut yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac dan penganut berkenaan mesti telah melepasi 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua.

Bagi jenis vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, penganut berkenaan mesti telah melepasi 28 hari dari tarikh suntikan.

Negeri di Fasa Satu PPN ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.

Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah berada di Fasa Dua PPN manakala Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak berada di Fasa Tiga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Perpaduan Negara tangguh perhimpunan, ingatkan patuhi SOP

PUTRAJAYA, 4 OKT: Kementerian Perpaduan Negara mengarahkan penangguhan semua program yang membabitkan perhimpunan orang ramai melibatkan jentera di bawah kementerian tersebut berikutan kes Covid-19 yang meningkat sejak beberapa hari lepas.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua jentera perpaduan supaya mematuhi protokol kesihatan dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan.

“Ini termasuk 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 5,321 skim rondaan sukarela 1,874 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Genius,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Halimah berkata pelaksanaan aktiviti keagamaan di lebih 10,000 rumah ibadat bukan Islam dalam zon hijau dan kuning sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dipantau dan dikemas kini oleh kementeriannya, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan KKM dan MKN serta peraturan kerajaan negeri yang terlibat.

“Kementerian menasihatkan semua kakitangan, jentera perpaduan dan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP.

“Amalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dan sentiasa membersihkan tangan terutamanya ketika berada di tempat awam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

174 rumah ibadat zon hijau dibenar operasi 10 Jun

SHAH ALAM, 22 MEI: Sebanyak 174 rumah ibadat bukan Islam di kawasan zon hijau akan dibuka bermula 10 Jun ini.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui kenyataan berkata keputusan dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara mempersetujui tatacara operasi piawaian (SOP) yang dibentangkan Menteri KPN, Datuk Halimah Mohamed Saddiq dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri semalam.

“Hanya 30 individu dibenarkan berada dalam rumah ibadat itu tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.

“Bagi urusan seperti perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai manakala pengurusan kematian di rumah pula hanya dibenarkan tidak melebihi 20 orang, tertakluk kepada saiz keluasan rumah dan tiada upacara untuk memberi penghormatan terakhir,” katanya.

KPN berkata, ahli jawatan kuasa rumah ibadat berkenaan harus memastikan semua penganut agama faham dan patuh kepada garis panduan.

Katanya, penganut bergejala demam, batuk, sesak nafas dan selesema serta berusia lebih 70 tahun dan kurang 12 tahun tidak dibenarkan hadir selain pesakit kencing manis, kanser dan sebagainya juga tidak digalakkan hadir. Penanda jarak satu meter wajib diletakkan di lantai.

“Kebenaran beroperasi akan ditarik balik serta-merta jika gagal mematuhi SOP. Kementerian melalui Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau perkara ini,” katanya.