Categories
ADN SELANGOR

Penduduk Bukit Melawati dipelawa jayakan Program Jimat Air

SHAH ALAM, 21 OGOS: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dipelawa sertai Program Jimat Air di Balai Raya Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor, Ahad ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata program dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Kuching dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bukit Melawati memberi peluang kepada masyarakat menimba ilmu teknik penjimatan air.

“Kempen ini bertujuan memupuk sikap penjimatan air dalam kalangan pengguna sekali gus dapat mengelak daripada terpaksa menanggung bil domestik yang berlebihan,” kata Juwairiya Zulkifli di Facebook.

Program bermula jam 8 pagi turut menyediakan aktiviti menarik lain, antaranya pemeriksaan kesihatan secara percuma, bengkel canting batik bersama wanita PWB, kuiz dan cabutan bertuah.

Juwairiya turut mengingatkan orang ramai yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti disaran Kementerian Kesihatan.

“Anda yang ingin hadir ke program diwajibkan untuk sentiasa mematuhi SOP kesihatan seperti memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga jarak fizikal masing-masing. Tidak dibenarkan hadir ke program atau mengikuti aktiviti ini jika bergejala.”

Categories
AGENSI SELANGOR

Kempen jimat air tawar hadiah bernilai RM200,000

BATU CAVES, 15 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan kempen jimat air dengan slogan ‘Menjadi Wira Penjimat Air’ (Be A Water Conservation Warrior) menerusi pertandingan mencipta poster dan video.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pertandingan itu bermula hari ini hingga 15 Januari 2020 dengan menyediakan hadiah menarik yang semuanya bernilai RM200,000.

Katanya, usaha yang dilaksanakan itu memerlukan kerjasama semua pihak dan perubahan sikap menjimatkan air adalah perlu bagi menjamin kelestarian bekalan air.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua kecuali kakitangan Air Selangor. Peserta hanya perlu memuat naik ciptaan video atau poster jimat air di Facebook atau Instagram dengan tanda pagar #beawaterconservationwarrior.

“Pemenang akan dipilih berdasarkan kreativiti, mesej dan jumlah tanda suka (like) serta kongsi (share),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ‘Menjadi Wira Penjimat Air’ (Be A Water Conservation Warrior) Kempen Jimat Air, di Padang Awam, di sini.

Pada masa sama, Suhaimi berkata, sehingga kini Air Selangor melaksanakan 22 program jimat air dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri, institusi dan agensi kerajaan.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan kempen jimat air secara berterusan dan berharap usaha yang dilakukan itu diterima baik oleh pengguna serta menjadi budaya masyarakat kita untuk lebih menghargai air.

“Usaha penjimatan penggunaan air ini juga adalah selaras dengan sasaran pihak SPAN bagi mencapai purata penggunaan domestik 180 liter per kapita sehari pada tahun 2020 manakala pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan purata penggunaan air domestik adalah sebanyak 165 liter per kapita sehari.

“Dengan peningkatan jumlah pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta cabaran yang dihadapi bagi meningkatkan rizab margin bekalan air, sudah tiba masanya kita memandang serius berhubung penggunaan air dan meningkatkan kesedaran pengguna bagi menggunakan air dengan berhemat,” katanya.