Categories
AGENDA NASIONAL

Kemudahan digital galak pendeposit TH tambah simpanan semasa pandemik

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Umat Islam di Malaysia kini boleh melakukan hampir keseluruhan transaksi kewangan berkaitan urusan haji secara dalam talian, bermula dengan membuka akaun Tabung Haji (TH), mendeposit wang ke dalam akaun TH, menyemak baki dan rekod akaun, mendaftar haji sehinggalah mengemukakan rayuan haji.

Lebih menarik, pada masa depan, urusan pengesahan menerima tawaran haji dan membayar dam haji juga boleh dilakukan secara dalam talian.

Semua kemudahan ini merupakan inisiatif digitalisasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan para pendepositnya membuat urusan mengikut keselesaan masing-masing dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa secara mudah.

Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata, kemudahan perkhidmatan dalam talian yang disediakan sejak 2020 menerusi platform THiJARI merupakan antara faktor TH berjaya mencapai sasaran jumlah simpanan pendeposit RM80 bilion, lebih awal daripada jangkaan.

“Pada 2020, simpanan terkumpul pendeposit TH adalah RM75.9 bilion dan TH menjangkakan jumlah itu akan mencecah RM80 bilion menjelang akhir tahun ini. Namun, sasaran RM80 bilion sudah berjaya dicapai awal bulan lepas walaupun negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan,” katanya kepada pemberita dalam wawancara secara dalam talian, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkembangan positif dan agak mengejutkan itu menunjukkan TH kini menyediakan platform dan saluran dalam talian yang cukup luas bagi pendeposit membuat simpanan sesuai dengan matlamatnya untuk menjadi institusi simpanan kewangan utama bagi umat Islam di negara ini.

Mustakim berkata, susulan jumlah simpanan terkumpul pendeposit yang dicapai lebih awal daripada yang dijadualkan, TH setakat ini belum menetapkan angka sasaran baharu bagi jumlah simpanan terkumpul pendepositnya menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menjangkakan jumlah pendeposit aktif TH yang kini hampir sembilan juta orang meningkat terutamanya dalam kalangan pendeposit muda melalui pemerkasaan platform digital TH.

TH ingin melihat lebih ramai pendeposit memulakan simpanan haji sejak dari kecil menerusi kemudahan terbaharu yang diperkenalkan iaitu pembukaan akaun secara maya (VAO) yang membolehkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai akses THiJARI membuka akaun TH untuk anak yang berusia 18 tahun ke bawah, katanya.

Menurut Mustakim melalui VAO, masa yang diambil untuk mengaktifkan akaun di kaunter TH sangat singkat iaitu hanya satu minit, iaitu melibatkan pembayaran deposit permulaan, rekod biometrik dan pengesahan dokumen yang perlu dilakukan di mana-mana kaunter TH dalam masa 30 hari selepas pembukaan akaun TH dipohon melalui platform THiJARI.

Kemudahan baharu lain yang ditawarkan TH selain di platform THiJARI ialah pemindahan wang dari akaun bank ke akaun TH menggunakan platform JomPay secara percuma menerusi perbankan dalam talian bank-bank di Malaysia, katanya.

Mustakim berkata, sambutan pelanggan TH terhadap VAO yang baru diperkenalkan pada 27 Mei lepas amat menggalakkan apabila sebanyak 4,000 permohonan diterima dalam tempoh 24 jam dengan 1,000 akaun sudah diaktifkan.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata TH akan terus memperluas akses perkhidmatannya menerusi platform digital dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan terkini apabila 80 peratus transaksi kewangan di TH terlaksana menggunakan platform digital dan hanya 20 peratus transaksi kewangan dilakukan di kaunter.

Pada masa yang sama, kata Mustakim, perkhidmatan untuk urusan pengeluaran simpanan TH kekal perlu dilakukan di kaunter atau di mesin pengeluaran wang dan perbankan Internet di bank-bank rakan strategik iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank.

Ini kerana keutamaan TH sebagai institusi simpanan haji adalah memudahkan pendeposit menyimpan, katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS antara empat PBT terawal guna kemudahan digital

SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) merupakan antara empat pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal menggunakan kemudahan digital dalam pentadbirannya.

PBT itu berkata pihaknya mula mengguna rangkaian internet Selangor Gigabit Network (SeGNet) bermula penghujung 2020 sejajar agenda Smart Selangor di bawah domain Infrastruktur Digital Pintar.

“Rangkaian SeGNet banyak membantu kami dalam mesyuarat secara virtual atau maya di mana ia lebih mudah, tidak secara bersemuka, menjimatkan kos dan mengupayakan talian dengan lebih efektif dan efisyen oleh kakitangan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, MDHS menerima penghargaan sebagai pengguna terawal kemudahan itu pada Majlis Pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor yang dianjurkan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU)  di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan semalam.

Majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar bertujuan menghargai usaha PBT dalam menggerakkan tranformasi digital untuk sektor awam di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor bersedia menjadi komponen penting bagi menjayakan sasaran 80 peratus penggunaan storan awan dalam sektor awam menjelang tahun depan, selari dengan pelan MyDigital Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, beberapa inovasi sistem berkenaan sudah dibangunkan dan dilaksana menerusi inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor (SDI) yang dikendalikan SSDU.