Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Kenderaan komersial tidak perlu surat kebenaran MOT

PUTRAJAYA, 13 JAN: Pemilik kenderaan komersial tidak perlu memohon surat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demikian menurut kementerian itu hari ini.

“Sekatan tidak akan dikenakan kepada kenderaan komersial yang beroperasi semasa PKP,” menurut MOT dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilaksanakan di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – bermula hari ini hingga 26 Januari.

PKP Bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKP Pemulihan bagi tempoh sama.

MOT memaklumkan pemilik kenderaan komersial hanya perlu mengemukakan surat pengesahan daripada majikan apabila diminta petugas penguat kuasa dan lorong khas akan disediakan di semua sekatan jalan raya untuk kenderaan komersial.

Bagi syarikat logistik lain seperti syarikat penghantaran barang dan pengendali gudang yang berdaftar dengan persatuan, MOT memberitahu kebenaran daripada kementerian boleh diperoleh daripada persatuan masing-masing.

“Surat ini perlu dikemukakan bersama-sama bukti keahlian dalam persatuan apabila diminta oleh petugas penguat kuasa di sekatan jalan raya,” menurut MOT.

Syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan pula, surat kebenaran boleh dimohon menerusi https://application.mot.gov.my/.

MOT turut menasihati pengguna pengangkutan awam supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan dan garis panduan seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengamalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan sebagai langkah untuk mencegah penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kenderaan komersial angkut barang dibenar operasi di Klang, Sabah

PUTRAJAYA, 9 OKT: Semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan serta yang berkaitan dengan perniagaan seperti bas pekerja dibenarkan beroperasi dan melakukan perjalanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor serta daerah Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan akan memastikan bahawa aktiviti ekonomi tidak akan disekat bagi melindungi kehidupan dan pekerjaan pada waktu yang mencabar ini susulan pelaksanaan PKPB selama 14 hari di kawasan terbabit bermula esok bagi membendung penularan kes Covid-19.

Menerusi satu kenyataan semalam, Wee berkata langkah itu selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan semua aktiviti ekonomi di Klang beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan MKN.

“Adalah sesuatu yang tidak elok untuk negara jika ekonomi terus terjejas semasa kita bergelut bagi memulihkan ekonomi. Klang sendiri mempunyai pangkalan industri yang besar dan merupakan pelabuhan kontena terbesar di Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa jumlah aktiviti perdagangan Pelabuhan Klang pada 2019 ialah lebih RM400 bilion, yang menyumbang sebanyak 22 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti perdagangan Malaysia.

Wee berkata keputusan itu mengambil kira maklum balas perbincangan antara Kerajaan Negeri Selangor, agensi-agensinya yang berkaitan dan MKN dalam mesyuarat secara dalam talian hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Meskipun kerajaan menyokong keupayaan sektor komersial dan perniagaan untuk melakukan urus niaga, ia tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan terhadap SOP sedia ada bagi memerangi pandemik berbahaya itu.

“Syarikat-Syarikat juga harus secara aktif memastikan bahawa persekitaran dan pekerja mereka selamat daripada terdedah kepada Covid-19 pada setiap masa, termasuk melabur dalam pelbagai peralatan tapisan kesihatan seperti pengimbas suhu badan, pensanitasi dan pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus membenarkan perniagaan beroperasi secara bertanggungjawab selaras dengan SOP yang ditetapkan manakala penguatkuasaan di lapangan akan memantau dan mengendalikan pemeriksaan serta lawatan.

-BERNAMA