Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Keputusan SPM 2020 terbaik dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM, 10 JUN: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pada SPM 2019 GPN direkodkan adalah 4.86 mata manakala 4.89 (2018), 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

Selain itu, katanya jurang pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar juga mengecil 0.38 peratus berbanding 0.44 peratus pada tahun sebelumnya.

“Calon layak memperoleh sijil SPM 2020 juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada tahun 2019,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Mohd Radzi berkata keputusan boleh dimuat turun bermula jam 10 pagi ini melalui pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my manakala slip keputusan penuh hanya boleh dimuat turun mulai 14 Jun di laman web myresult3.moe.gov.my.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet, pihak sekolah akan menghubungi mereka untuk membincangkan kaedah pengedaran sesuai,” katanya.

Seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan SPM 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan SPM Ulangan 2019 diumum 28 Ogos

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2019 membabitkan 9,827 calon akan dikeluarkan pada 28 Ogos ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, calon akan dimaklumkan mengenai keputusan masing-masing melalui pos atau mendapatkannya dengan menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat mereka mendaftar.

Keputusan juga boleh disemak melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan di sppat.moe.gov.my/semakan atau melalui mySMS 15888 yang akan diaktifkan mulai 10 pagi 28 Ogos dan tamat pada 6 petang, 3 September.

Peperiksaan ulangan SPM 2019 diadakan di 203 pusat peperiksaan melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

– BERNAMA