Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Calon SPM pasrah buku rujukan, nota hanyut

HULU TERENGGANU, 1 MAC: Buku rujukan serta nota penting musnah dihanyutkan air, antara situasi sukar yang terpaksa dihadapi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat dengan banjir besar di daerah ini sejak Ahad lepas.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong Syadiyah Sulaiman, 18, berkata walaupun sedih dengan keadaan yang berlaku, dia pasrah dan berdoa agar dapat menduduki peperiksaan yang akan bermula esok dengan tenang.

“Saya hanya sempat menyelamatkan kad pengenalan kerana keadaan ketika itu sangat kelam-kabut. Semua nota ringkas yang saya buat sepanjang ulang kaji hilang sekelip mata,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi Mohd Fakhrul Radzi, 18, pula dia tidak mahu terlalu risau memikirkan nasibnya dalam SPM nanti kerana mahu fokus membantu keluarganya membersihkan rumah mereka di Kampung Padang Setar di sini, yang masih dipenuhi lumpur akibat banjir.

“Tekanan memang ada tapi apa boleh buat, saya akan cuba buat sehabis baik dalam peperiksaan nanti. Lagipun dah lama sangat SPM ini ditangguhkan, apa pun keputusannya nanti saya terima sahaja,” kata pelajar SMK Tun Indera itu.

Sementara itu di DUNGUN, Che Wan Muhammad Asyraf Che Wan Baharudin, 18, berkata dia tidak patah semangat walaupun sebahagian nota rujukannya musnah ditenggelami banjir Ahad lepas.

Calon SPM SMK Kuala Jengai itu berkata tidak seperti sebelum ini, banjir kali ini naik dengan mendadak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan hampir semua buku teks dan pakaian sekolah, yang baginya harta paling penting pada ketika ini.

“Saya akan ambil peperiksaan dengan tenang kerana itu yang penting. Tadi pengetua datang beritahu saya boleh tinggal di asrama sekolah hingga selesai peperiksaan,” katanya yang tinggal kira-kira satu kilometer dari sekolah.

Ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 akan dilaksanakan bermula esok hingga 29 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2021: 407,097 calon mula ujian bertulis 2 Mac

PUTRAJAYA, 28 FEB: Ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini melibatkan seramai 407,097 calon.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini, seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, membabitkan sebanyak 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Semua calon diingatkan merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” kata KPM.

Semua calon diingatkan agar membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) menerusi http://lp.moe.gov.my.

Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta tatacara operasi piawai yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Keputusan SPM 2020 terbaik dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM, 10 JUN: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pada SPM 2019 GPN direkodkan adalah 4.86 mata manakala 4.89 (2018), 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

Selain itu, katanya jurang pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar juga mengecil 0.38 peratus berbanding 0.44 peratus pada tahun sebelumnya.

“Calon layak memperoleh sijil SPM 2020 juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada tahun 2019,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Mohd Radzi berkata keputusan boleh dimuat turun bermula jam 10 pagi ini melalui pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my manakala slip keputusan penuh hanya boleh dimuat turun mulai 14 Jun di laman web myresult3.moe.gov.my.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet, pihak sekolah akan menghubungi mereka untuk membincangkan kaedah pengedaran sesuai,” katanya.

Seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan SPM 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Pelajar PTRS 2013 Azam Untuk Cemerlang Dalam SPM

PTRS Halimah Ali 01

SHAH ALAM 2 MAC: Peluang tuisyen percuma yang disediakan Kerajaan Negeri tidak akan disia-siakan bahkan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Itulah azam pelajar seperti Syahmi Anis Shamsuddin, 17, yang terpilih pada tahun ini untuk menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bersama 2,270 pelajar yang lain di seluruh Selangor.

Katanya, beliau ingin berjaya sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan seterusnya membalas jasa ibu dan bapanya.

“Saya bukanlah daripada kategori pelajar yang pandai.

?Tapi bila dapat peluang seperti ini, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk masuk universiti dan membantu mak ayah saya satu hari nanti,” katanya yang bersekolah di SMK Bandar Banting.

Ahmad Yusri Zainurdin, 17, pula turut bersemangat dan berazam untuk menggunakan peluang PTRS ini untuk mendapatkan keputusan cemerlang pada SPM kelak.

PTRS Halimah Ali 02“Selama hampir sebulan program ini baru berjalan, saya rasa tuisyen seperti ini bagus kerana percuma serta dapat tunjuk ajar daripada cikgu-cikgu yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui.

Syahmi dan Ahmad Yusri ditemui ketika menghadiri Majlis Perlancaran PTRS bagi tahun 2013 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Majlis ini dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan dihadiri pelajar-pelajar yang menyertai PTRS bagi tahun ini.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata PTRS adalah untuk membantu ibubapa yang menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam SPM tetapi tidak mampu membayar tuisyen.

Jesteru itu, Dr Halimah berkata, objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar.

Sejak dilancarkan pada 2009, PTRS berjaya membantu hampir 20,000 ribu pelajar di seluruh Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 17.25 juta sepanjang empat tahun.