Categories
AGENDA NASIONAL

Proton lancar laman web kereta terpakai

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan laman web kereta terpakainya, Proton Certified Pre-Owned (PCPO) untuk membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai stok semasa daripada 36 pengedar di seluruh negara dan tukar beli kenderaan untuk menerima tawaran hebat pembelian model baharu Proton.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata berikutan jumlah jualan yang meningkat pada 2019, ia jelas menunjukkan kecekapan pemprosesan tukar beli kereta pelanggan adalah kunci untuk mengekalkan kadar pertumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata sehubungan itu, Proton mewujudkan bahagian Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) untuk membina rangkaian pengedar yang berkebolehan menjual kereta terpakai bersama kereta baharu.

“Semua pengedar perlu memenuhi beberapa syarat dan bersetuju mengambil langkah yang diperlukan untuk menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual.

“Antara syarat lain bagi kereta PCPO ialah tidak melebihi tujuh tahun dengan jarak tempuh tidak melebihi 130,000 kilometer semasa ditukar beli dan bebas kerosakan disebabkan banjir atau kemalangan besar yang mungkin mempengaruhi kekuatan struktur kereta,” katanya.

Menurut Roslan, PCPO adalah langkah Proton yang selanjutnya untuk membina ekosistem yang menyeluruh.

“Selain terus menawarkan produk baharu dan ditambah baik, kami juga mahu menarik perhatian mereka yang ingin membeli kereta terpakai serta menawarkan kaedah yang senang dan cepat untuk pelanggan menukar beli kereta,” katanya.

Beliau berkata semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun untuk bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran.

Roslan berkata laman web itu turut menawarkan jenama kereta lain yang ditukar beli melalui PCPO, namun, kenderaan itu tidak akan menerima jaminan tambahan daripada syarikat.

Bagaimanapun, ia akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sekiranya perlu sebelum dijual.

“Selain membantu meningkatkan jualan kereta baharu, bahagian UCM Proton ditubuhkan bertujuan menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan Proton secara beransur-ansur.

“Dengan menawarkan kereta terpakai yang berkualiti tinggi, kami berharap harga kereta terpakai Proton akan meningkat secara keseluruhan dan memudahkan pelanggan mendapat kadar pinjaman kewangan yang kompetitif dan nilai tukar beli yang tinggi apabila ingin membeli kereta baharu,” kata Roslan.

Untuk maklumat lanjut, layari https://used-cars.proton.com

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perniagaan kereta terpakai merosot 50%

SHAH ALAM, 1 DIS: Penjualan kereta terpakai sekitar Lembah Kelang dilaporkan merosot sehingga 50 peratus akibat kemelesetan ekonomi dan kesukaran mendapatkan pinjaman bank.

Perkembangan itu diperoleh hasil tinjauan Oriental Daily selain mendapati syarat ketat dikenakan bank, tindakan syarikat pengeluar kereta menurunkan harga kereta model lama apabila adanya pengeluaran kereta model baharu turut menjejaskan industri kereta terpakai.

Akhbar itu juga melaporkan, situasi itu turut mendorong beberapa syarikat penjual kereta terpakai ini menamatkan perniagaan sejak beberapa bulan lalu, malahan keadaan ini bakal berlarutan sehingga tahun hadapan.

Seorang pengusaha syarikat kereta terpakai berkata, perniagaannya merosot hampir 30 peratus sejak awal tahun ini.

Katanya, ia lebih memburukan lagi apabila syarikat pengeluar kereta tempatan, Proton dan Perodua melancarkan produk baharu mereka.

“Syarikat pengeluar kereta biasanya melancarkan kereta baharu pada hujung tahun dan pada masa sama, mereka menurunkan harga kereta model lama.

“Sesetengah orang yang sebelum ini bercadang ingin beli kereta terpakai akhirnya bertukar fikiran apabila tertarik dengan kereta baharu. Inilah keadaan yang dialami kebanyakan syarikat kereta terpakai pada hari ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, pada tahun-tahun sebelum ini, perniagaannya meningkat ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.

“Saya harap kerajaan dan bank perlu mengkaji perniagaan kereta terpakai ini secara serius, terutama sekali dari segi melonggarkan syarat pinjaman dengan bank,” katanya.

*Dipetik Sinar Harian