Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman buka 1,897 kertas siasatan babit kes media sosial

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Sebanyak 1,897 kertas siasatan dibuka melibatkan kes-kes dalam media sosial bagi tempoh Januari 2019 hingga kelmarin, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 185 kes menyentuh institusi diraja, 112 kes melibatkan kaum, 168 kes penghinaan agama dan 248 kes berkaitan kerajaan.

“Jumlah yang selebihnya melibatkan kes individu atau agensi dan sebanyak 844 iaitu 44.5 peratus kes berjaya diselesaikan manakala bakinya iaitu 1,053 kes atau 55.5 peratus lagi masih dalam siasatan.

“Sepanjang tempoh 18 Mac tahun lepas hingga 20 Jun tahun ini, siasatan melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 mencatatkan 254 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 109 kes telah diselesaikan manakala 145 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata JSJ melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Bukit Aman bertanggungjawab memantau sekali gus dengan bantuan kontinjen di seluruh negara menjalankan siasatan kes melibatkan media sosial.

Beliau berkata ini melibatkan penyebaran berita palsu atau hasutan yang boleh membangkitkan perasaan tidak setia, menyebabkan kegentaran awam atau menggugat keamanan negara yang berbaur penghinaan terhadap institusi diraja, kerajaan, pentadbiran keadilan, sensitiviti agama serta kaum.

“Siasatan dijalankan selari dengan peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“…sekiranya mempunyai elemen seperti berikut iaitu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 500/504/505/298A/298/203A), Akta Hasutan 1948, kes-kes melibatan 3R (Ruler, Religion dan Races), kes melibatkan kerajaan, pentadbiran, keadilan, individu berpengaruh atau kes berprofil tinggi dan kesalahan di bawah undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya.

Abd Jalil berkata pihaknya menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyalurkan berita atau informasi yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Sebarang penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau apa-apa berita yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial tersenarai kepada kesalahan yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sungai Selangor tercemar: Polis buka kertas siasatan

SHAH ALAM, 10 NOV: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata siasatan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

“Kira-kira 3 petang tadi, polis menerima laporan seorang pegawai penguatkuasa Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengenai pencemaran yang dikesan di LRA Rantau Panjang.

“Siasatan awal Luas mendapati air loji disyaki mengandungi bahan solvent hingga ke tahap lapan TON (nombor bau nilai ambang). Ekoran itu, bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang tadi susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan kes Exco dipulang semula kepada polis

IPOH, 9 OGOS: Polis menerima kertas siasatan berhubung kes seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah daripada Pengarah Pendakwaan Negeri kali kedua untuk siasatan lebih terperinci.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata kertas siasatan itu akan disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya dua hari lagi.

“Kertas siasatan telah dipulangkan semula kepada pihak polis untuk melengkapkan sedikit lagi keterangan yang ada sebelum dihantar kembali kepada Pengarah Pendakwaan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Pemakaian Pangkat Kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak yang baharu di sini, hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan dengan teliti supaya memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak yang terlibat.

“Sebab itu kami perlu melengkapkan sedikit lagi siasatan yang tidak boleh didedahkan sebelum dibawa kepada Pengarah Pendakwaan Negeri,” katanya.

Pada 8 Julai lepas, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Ipoh daripada SAC Mohd Ali Tamby yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Staf Pasukan Khas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Jabatan Perdana Menteri kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohd Nordin Abdullah yang akan memangku jawatan itu.

Razarudin turut memakaikan pangkat kepada Mohd Ali dan SAC Anuar Othman yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak yang baharu.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pemandu kenderaan yang membawa barang kemas milik majikan mereka bernilai kira-kira RM1 juta yang disamun empat lelaki berparang dan bertopeng di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini pada Isnin lepas.

“Ketika kejadian, beg udara kenderaan dinaiki mangsa telah pecah dan keadaan yang gelap menyukarkan mangsa melihat dengan jelas. Mangsa kini masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, polis telah mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki dua kereta untuk dihantar ke Kelantan sebelum dirempuh sebuah lori dinaiki suspek yang kemudiannya melarikan empat beg berisi barang kemas itu.

-BERNAMA