Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MAHB catat rugi bersih RM91 juta pada suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.06 juta dalam suku kedua 2020 berbanding keuntungan bersih RM160 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Hasil bagi suku yang berakhir 30 Jun, 2020, itu turun sebanyak 78.4 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya kepada RM272.2 juta sejajar dengan penurunan ketara pergerakan penumpang sebanyak 96 peratus.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata impak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dan penutupan sempadan menyebabkan hasil operasi lapangan terbang jatuh menjunam sebanyak 80 peratus kepada RM238.7 juta.

“Keseluruhannya, operasi Malaysia dan Turki mencatatkan penurunan hasil yang ketara masing-masing sebanyak 75.5 peratus kepada RM221.6 juta dan 89.0 peratus kepada RM35.1 juta,” kata syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan sehingga Jun, 2020, pengendali lapangan terbang itu mencatatkan kerugian bersih RM111.45 juta berbanding RM309.65 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil menyusut kepada RM1.2 bilion berbanding RM2.5 bilion sebelumnya.

Pada masa depan, katanya, pengenalan Laluan Hijau Malaysia-Singapura yang diumumkan oleh menteri luar Malaysia dan Singapura pada 14 Julai, 2020, merupakan satu permulaan yang baik.

Sementara itu, MAHB berkata ia tidak akan mengurangkan usahanya bagi memastikan persekitaran lapangan terbang yang selamat kepada pengunjung dan memulihkan keyakinan terhadap perjalanan udara.

Mengenai impak daripada sekatan perjalanan dan larangan yang belum pernah terjadi sebelumnya terhadap industri penerbangan, syarikat itu berkata ia telah mengambil langkah awal dan segera untuk mengurangkan kesannya bagi menstabilkan syarikat dengan melaksanakan pelan mengoptimumkan kos secara agresif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rugi bersih Airasia X meningkat kepada RM305.24 juta

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Airasia X Bhd (AAX) mencatat kerugian bersih lebih tinggi kepada RM305.24 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 daripada RM207.11 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM91.44 juta daripada RM1.01 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia masih kekal dalam fasa hibernasi sepanjang tempoh suku kedua tahun ini sehingga sekarang dengan operasi minimum dalam bentuk sokongan penghantaran balik serta pengangkutan kargo.

“Kapasiti tempat duduk dan jumlah penumpang yang dibawa dalam suku berkenaan masing-masing mencecah 6,032 dan 2,291 manakala faktor beban muatan penumpang adalah 38 peratus.

“Bagi suku berkenaan, pihak sekutu kami di Thailand mencatatkan hasil sebanyak US$4.7 juta manakala bilangan penumpang sebanyak 309 orang dan kapasiti tempat duduk berjumlah 377.

“AirAsia X Thailand merekodkan kerugian bersih US$54.2 juta bagi suku tersebut,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, AAX berkata kumpulan itu dijangka kekal dalam mod hibernasi dalam tempoh terdekat memandangkan prospek menyambung semula penerbangan itu berkait rapat dengan kelonggaran sekatan perjalanan serta penarikan menarik balik sekatan sempadan dan jangkaan peningkatan permintaan bagi perjalanan antarabangsa.

Bagi tahun ini, syarikat tersebut mempunyai lindung nilai bahan api pada purata harga Brent sebanyak US$61.45 manakala 70 peratus daripada kontrak terbabit yang telah disusun semula.

“Kumpulan ini menjangkakan mencatat beberapa kerugian lindung nilai apabila harga bahan api diunjur terus lemah dalam masa terdekat ini,” katanya.

-BERNAMA