Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rugi bersih Airasia X meningkat kepada RM305.24 juta

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Airasia X Bhd (AAX) mencatat kerugian bersih lebih tinggi kepada RM305.24 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 daripada RM207.11 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM91.44 juta daripada RM1.01 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia masih kekal dalam fasa hibernasi sepanjang tempoh suku kedua tahun ini sehingga sekarang dengan operasi minimum dalam bentuk sokongan penghantaran balik serta pengangkutan kargo.

“Kapasiti tempat duduk dan jumlah penumpang yang dibawa dalam suku berkenaan masing-masing mencecah 6,032 dan 2,291 manakala faktor beban muatan penumpang adalah 38 peratus.

“Bagi suku berkenaan, pihak sekutu kami di Thailand mencatatkan hasil sebanyak US$4.7 juta manakala bilangan penumpang sebanyak 309 orang dan kapasiti tempat duduk berjumlah 377.

“AirAsia X Thailand merekodkan kerugian bersih US$54.2 juta bagi suku tersebut,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, AAX berkata kumpulan itu dijangka kekal dalam mod hibernasi dalam tempoh terdekat memandangkan prospek menyambung semula penerbangan itu berkait rapat dengan kelonggaran sekatan perjalanan serta penarikan menarik balik sekatan sempadan dan jangkaan peningkatan permintaan bagi perjalanan antarabangsa.

Bagi tahun ini, syarikat tersebut mempunyai lindung nilai bahan api pada purata harga Brent sebanyak US$61.45 manakala 70 peratus daripada kontrak terbabit yang telah disusun semula.

“Kumpulan ini menjangkakan mencatat beberapa kerugian lindung nilai apabila harga bahan api diunjur terus lemah dalam masa terdekat ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

AirAsia Group rugi RM803.85 juta suku pertama 2020

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Pandemik Covid-19 menjejaskan prestasi kewangan AirAsia Group Bhd, menyebabkan kumpulan syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun sama tahun lepas.

Perolehan merosot kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.

“Kebimbangan mengenai penularan virus tersebut, serta sekatan perjalanan dan kawalan sempadan yang diumumkan oleh kerajaan pelbagai negara menyebabkan permintaan terhadap perjalanan udara merosot pada Februari dan Mac 2020,” menurut kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Walaupun industri penerbangan menghadapi cabaran yang besar dengan kapasiti dan pengurusan kos yang proaktif selain prestasi kukuh daripada perniagaan bukan syarikat penerbangan, AirAsia Group mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang pulang modal.

Bagi perniagaan syarikat penerbangan, jumlah perolehan kumpulan pada suku pertama 2020 susut 18 peratus kepada RM2.16 bilion tahun ke tahun dengan sekatan perjalanan yang meningkat dan tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan Covid-19.

Kumpulan memberi respons proaktif dengan pengurusan kapasiti, menunjukkan keputusan dengan suku pertama 2020 melaporkan faktor muatan yang baik sebanyak 77 peratus.

Pengurangan kapasiti sebahagian besarnya dari Malaysia dan Filipina, masing-masing sebanyak 17 peratus dan 1.0 peratus berikutan laluan domestik dan antarabangsa ditangguhkan pada pertengahan Mac.

Indonesia, bagaimanapun, meningkatkan kapasitinya sebanyak 10 peratus dengan mengatur lebihan kapasiti laluan antarabangsa kepada pasaran domestik.

Sementara itu, segmen bukan syarikat penerbangan menyaksikan Teleport mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 49 peratus kepada RM150.4 juta berikutan ia berjaya menyelesaikan penggabungan kargo dalam syarikat operasi syarikat penerbangan Asean kumpulan itu.

Big Pay mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 161 peratus berikutan ia mendapat tarikan dengan pengembangan koridor pengiriman wang termasuk India, Bangladesh dan Nepal, manakala perolehan AirAsia.com naik 118 peratus berikutan ia melancarkan tawaran baharu, promosi, pakej penerbangan dan hotel.

Saham syarikat penerbangan itu di Bursa Malaysia digantung pagi ini. Ia kali terakhir diniagakan pada 85.5 sen.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Amerika had perjalanan dari Eropah

WASHINGTON, 12 MAC: Amerika Syarikat (AS) akan mengehadkan semua perjalanan dari negara Eropah kecuali United Kingdom (UK), bermula tengah malam Jumaat untuk membendung penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Donald Trump berkata sekatan itu akan “disesuaikan mengikut keadaan semasa” dan pengecualian hanya untuk rakyat AS “yang telah menjalani pemeriksaan sepatutnya.”

“Kami mengambil langkah keselamatan itu pada awalnya ke atas negara China sekarang Eropah pula,” katanya pada Rabu.

Negara terlibat termasuk Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway , Poland, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.

Sebelum ini, larangan sama dikuatkuasakan ke atas China dan Iran masing-masing pada Januari dan Februari.

Tindakan itu serentak dengan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik dan pengisytiharan darurat di AS.

Rumah Putih berkata Presiden turut membatalkan acaranya di Colorado dan Nevada.

-BERNAMA