Categories
EXCO SELANGOR

EXCO cadang beri subsidi kerusi keselamatan kanak-kanak

KAJANG, 20 JAN: Cadangan beri subsidi bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak akan diusul kepada Kerajaan Negeri bagi meringankan beban golongan B40, kata EXCO Hal Ehwal Pengguna.

Hee Loy Sian berkata perkara itu akan dibincang pada peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mungkin membolehkan Ahli Dewan Negeri (ADN) menggunakan peruntukan masing-masing.

Katanya, pelaksanaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak perlu dipatuhi demi kebaikan mereka.

“Namun, tidak semua keluarga mampu menyediakan keperluan itu kerana kerusi tersebut mahal dan lebih membebankan jika mempunyai ramai anak,” katanya pada Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Balak di sini.

Pada masa sama, ADN Kajang itu menggesa kerajaan memperhebatkan kempen kesedaran dan pengetahuan mengenai pemilihan kerusi keselamatan kanak-kanak yang perlu mematuhi piawaian.

Bermula Januari 2020, Kerajaan Persekutuan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tindakan saman bakal dikenakan bermula Julai ini kepada pemandu kereta yang ingkar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada rancangan wajibkan CRS pada bas, ambulans

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Kerajaan pada masa ini tidak mempunyai perancangan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ (CRS) pada medium kenderaan lain termasuklah bas dan ambulans.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini kementerian hanya memberi fokus pada kereta persendirian sahaja.

“Dalam jangka masa panjang, kita harap ia dapat diperluaskan pada jenis kenderaan yang lain namun pada masa kini dan sebagai fasa pertama ini, kita hanya mahu mewajibkan kepada kereta persendirian terlebih dahulu.

“Ini kerana untuk melaksanakan langkah baharu, ia bukan mudah dan memang sukar …maka kita mahu menjayakan langkah yang dibuat untuk kereta persendirian ini dan kemudiannya kita akan melihat sejauh mana keberkesanan langkah tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai pelan masa hadapan penggunaan CRS.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan juga penawaran.

“Kita ambil langkah mengurangkan kos untuk memiliki CRS termasuklah penglibatan daripada pihak swasta…namun sudah tentu apabila kita mewajibkan peraturan ini maka mewujudkan pasaran yang besar sebab setiap orang memerlukan kerusi ini dan kita akan lihat penurunan harga dan penawaran yang banyak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis sedia kuat kuasa pelaksanaan CRS mula 1 Januari

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia melaksanakan tindakan penguatkuasaan susulan pelaksanaan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang diwajibkan mulai 1 Januari tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Namun begitu, polis akan menunggu peraturan yang terperinci daripada Kementerian Pengangkutan berhubung langkah penguatkuasaan CRS,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan mulai 1 Januari 2020.

Ini berikutan statistik menunjukkan seramai 1,559 kematian membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dicatatkan dari tahun 2007 hingga 2017.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pula dilapor berkata, keutamaan langkah penguatkuasaan CRS bermula 1 Januari itu adalah untuk mendidik pengguna jalan raya, dan bukannya menghukum.

Azisman berkata, PDRM menyambut baik usaha kerajaan mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bagi mengurangkan kadar kematian atau kecederaan membabitkan kanak-kanak.

“Saya sokong usaha ini kerana ia dilakukan demi keselamatan nyawa kanak-kanak yang berada dalam kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, bagi tujuan penguatkuasaan, pihaknya perlu menunggu arahan lanjut daripada Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya.

“Apa yang diumumkan satu perkara yang baik dan dari sudut penguatkuasaan, JPJ tunggu arahan lanjut,” katanya.

– BERNAMA