Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Polis perketat sekatan jalan antara negeri, kawal Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat penguatkuasaan kawalan sekatan jalan raya di seluruh negara dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, sekali gus memastikan tidak berlaku ‘kluster antara negeri’.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sebelum ini ada tanggapan dan dakwaan menyatakan anggota keselamatan itu bertindak sambil lewa dalam penugasan anggota serta pegawainya di sekatan jalan raya.

Beliau berkata sehubungan itu, semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri diarahkan untuk mengerah anggota dan pegawai mereka mengawal setiap sekatan jalan raya dengan lebih ketat.

“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku pergerakan rakyat curi balik ke negeri di pantai timur, mungkin esok berlaku cubaan rentas ke Perak dan Pulau Pinang. Saya akan pastikan pegawai tinggi setiap negeri dan juga dari Bukit Aman turun pantau operasi.

“Saya tidak mahu PDRM dipersalahkan, dan tidak sanggup lihat sekali wujud ‘kluster interstate’ (antara negeri) seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata ada juga aduan mengatakan terdapat anggota polis hanya duduk di dalam khemah dan melambai tangan tanpa memeriksa pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan dan tindakan itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata penugasan sekatan jalan raya mengikut syif ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh anggota polis kerana ia adalah arahan yang jelas.

“Jika di waktu puncak misalnya perlu ada seramai mungkin untuk menjaga sekatan jalan raya supaya keadaan trafik boleh menjadi lancar daripada kebiasaan. Jika tiba waktu solat sistem penggiliran diwujudkan bagi memberi ruang kepada mereka untuk beribadat,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri yang didapati mengambil mudah soal penugasan anggota mahupun pegawai di bawah kendalian mereka.

– BERNAMA