Categories
NASIONAL

Seksyen 203A Kanun Keseksaan bukti Barisan Nasional tidak telus

Latheefa_KoyaSHAH ALAM, 22 OKT: Pindaan peruntukan kerahsiaan dalam Seksyen 203A Kanun Keseksaan bakal menyaksikan rakyat tidak lagi berpeluang memperoleh akses maklumat kepada penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) jika diluluskan.

Kesan daripada cadangan pindaan berkenaan peruntukan itu bakal menyaksikan negara berundur ke belakang dan memberikan ‘lesen’ bagi gejala rasuah dan penyelewengan terus berlaku.

Ketua Biro Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya, berkata Rang Undang-undang itu akan menjadikan Kanun Keseksaan lebih buruk daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Seksyen 203A merujuk kepada pegawai bukan sahaja pegawai kerajaan, tetapi individu yang memberikan maklumat atau dokumen ketika dia bertugas boleh dipenjara atau didenda sehingga RM1 juta.

“Kita sampai sekarang tidak pasti apa yang dimaksudkan ‘apa-apa maklumat’ atau ‘mana-mana maklumat’. Ia lebih teruk daripada Akta OSA yang mempunyai proses klasifikasi sesuatu dokumen,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, pada sesi perbahasan Dewan Rakyat yang menggesa kerajaan menggugurkan cadangan pindaan berkenaan kerana peruntukan itu tidak pernah dilakukan dalam dunia demokrasi moden, sebaliknya lebih sesuai untuk negara satu parti seperti Korea Utara.

Latheefa berkata, dokumen yang membabitkan keselamatan negara yang boleh disifatkan sebagai rahsia atau terhad dan dalam kes Seksyen 203A tidak wujud sebarang maklumat.

“Tindakan ini antara paling teruk dilakukan BN dan pasti bertujuan untuk menutup sebarang maklumat yang boleh diakses rakyat untuk melihat projek yang mempunyai skandal seperti projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).