Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen: Usul bahas untuk ungkai Ordinan Darurat dibawa ke sidang akan datang

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Usul bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya memohon usul Perdana Menteri berkenaan pengungkaian Ordinan-ordinan darurat nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini dibawa ke mesyuarat akan datang juga,” katanya di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Selain itu, Wan Junaidi berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 62, lapan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang tersenarai di nombor 5 hingga 12 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini turut akan dibawa ke mesyuarat akan datang.

Ia melibatkan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima RUU dibawa ke sidang Dewan Rakyat akan datang

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Bacaan kali kedua dan ketiga bagi lima Rang Undang-Undang (RUU) dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dan akan dibawa ke persidangan akan datang.

Mengemukakan usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU tersebut adalah Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020; Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; dan Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020;

Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 turut ditangguhkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat.

Sementara itu, Takiyuddin berkata mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan lima RUU termasuk Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2020.

“Tanpa mengambil kira usul Peraturan Mesyuarat 12 (1) terdahulu iaitu Selasa lalu dan mengikut Peraturan 12 (1), saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 serta Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

“….serta usul Menteri Kewangan di nombor 11 hingga 14 seperti tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dan selepas itu, majlis mesyuarat akan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya.

Usul itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Seksyen 203A Kanun Keseksaan bukti Barisan Nasional tidak telus

Latheefa_KoyaSHAH ALAM, 22 OKT: Pindaan peruntukan kerahsiaan dalam Seksyen 203A Kanun Keseksaan bakal menyaksikan rakyat tidak lagi berpeluang memperoleh akses maklumat kepada penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) jika diluluskan.

Kesan daripada cadangan pindaan berkenaan peruntukan itu bakal menyaksikan negara berundur ke belakang dan memberikan ‘lesen’ bagi gejala rasuah dan penyelewengan terus berlaku.

Ketua Biro Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya, berkata Rang Undang-undang itu akan menjadikan Kanun Keseksaan lebih buruk daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Seksyen 203A merujuk kepada pegawai bukan sahaja pegawai kerajaan, tetapi individu yang memberikan maklumat atau dokumen ketika dia bertugas boleh dipenjara atau didenda sehingga RM1 juta.

“Kita sampai sekarang tidak pasti apa yang dimaksudkan ‘apa-apa maklumat’ atau ‘mana-mana maklumat’. Ia lebih teruk daripada Akta OSA yang mempunyai proses klasifikasi sesuatu dokumen,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, pada sesi perbahasan Dewan Rakyat yang menggesa kerajaan menggugurkan cadangan pindaan berkenaan kerana peruntukan itu tidak pernah dilakukan dalam dunia demokrasi moden, sebaliknya lebih sesuai untuk negara satu parti seperti Korea Utara.

Latheefa berkata, dokumen yang membabitkan keselamatan negara yang boleh disifatkan sebagai rahsia atau terhad dan dalam kes Seksyen 203A tidak wujud sebarang maklumat.

“Tindakan ini antara paling teruk dilakukan BN dan pasti bertujuan untuk menutup sebarang maklumat yang boleh diakses rakyat untuk melihat projek yang mempunyai skandal seperti projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Enakmen SELESA Agenda Reformasi Dewan Negeri Selangor

Speaker Hannah Yeoh

SHAH ALAM 21 JUN : Gandingan Speaker dan Timbalannya yang baru, Hannah Yeoh dan Nik Nazmi Nik Ahmad, optimis bahawa Enakmen Dewan Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA) akan berjaya direalisasikan pada penggal kali ini.

Hannah berkata, perlaksanaan Rang Undang-Undang tersebut merupakan antara agenda reformasi yang dijangka mampu membawa perubahan serta meningkatkan lagi mutu persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kita jangkakan apabila enakmen tersebut diluluskan, kita akan membekalkan lebih banyak fasiliti kepada sidang DNS.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mereka melakukan kajian-kajian dengan lebih baik sebelum sesuatu isu dibahaskan.

“Perkara ini semestinya akan menjadikan mutu perbahasan itu lebih berkualiti, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” jelas Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Beliau bercakap demikian dalam satu sidang media di Bangunan Annex, SUK di sini sejurus selesai Majlis Mengangkat Sumpah Adun pagi tadi.

Nik Nazmi yang turut hadir dalam sidang media pula menjelaskan enakmen SELESA penting untuk dilaksanakan agar satu pasukan pentadbiran yang bebas dan profesional di bawah arahan Speaker dapat diwujudkan.

Timb Speaker Nik Nazmi

Enakmen tersebut akan menjadikan kuasa kerajaan kepada tiga bahagian iaitu, kuasa eksekutif di bawah Menteri Besar; badan kehakiman di bawah kuasa Persekutuan dan undang-undang negeri;  kuasa perundangan/legislatif terletak penuh di bawah DNS.

“Apabila DNS bebas daripada pengaruh eksekutif kelak, pemantauan dan semakan pentadbiran dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa sebarang sekatan dan birokrasi yang melampau,” ujar Nik Nazmi.

Katanya lagi, Rang Undang-Undang ini bukan satu amalan baru kerana sebelum dimansuhkan pada 1992, di peringkat Parlimen juga mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen yang menguruskan perjalanan kerja-kerja harian dan pengurusan kewangan Dewan Rakyat tanpa campur tangan kuasa eksekutif.

Draf Enakmen SELESA yang mula digubal sejak tahun 2009 kini sedang dikaji secara terperinci oleh barisan Exco Kerajaan Negeri serta penasihat undang-undang Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Speaker Teng: Orang Luar Boleh Buat Sidang Media Di Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Negeri tidak bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan sudut media di lobi Dewan Annex oleh orang luar sepertimana diputuskan oleh parlimen Malaysia kata, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim.

Sebaliknya menurut Teng, sesiapa sahaja berhak  mengadakan sidang media selagi mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita menghalang sebarang bentuk demonstrasi atau bantahan yang akan menimbulkan kekecohan di sini,” katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.

Katanya, pelaksanaan larangan di Parlimen itu disifatkan sebagai menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara atau menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara.

Awal November lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan larangan lisan penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan ahli Parlimen.

Dalam sidang media sama, Teng turut menerangkan garis panduan yang akan diguna pakai oleh Adun dalam mesyuarat Dewan Negeri yang dikuatkuasa serta-merta.

Antaranya, berkenaan Peraturan Tetap 24 di mana masa untuk Menteri Besar memberi jawapan lisan kepada setiap pertanyaan adalah terhad kepada tiga minit, masa untuk Adun mengeluarkan pertanyaan tambahan adalah terhad kepada 30 saat dan masa untuk Menteri Besar memberi jawapan balas terhad kepada tiga minit.

Sementara itu, di bawah Peraturan Tetap 26 menerangkan sesuatu usul yang dicadangkan itu akan digugurkan sekiranya tidak memperolehi sokongan daripada seorang Adun lain untuk dibahaskan.

“Berkenaan Peraturan 66(4), masa yang diperuntukkan bagi membincangkan setiap kepala perbelanjaan dalam anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang hendaklah tidak kurang daripada setengah jam.

“Pada akhir perbincangan, mana-mana kepala anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang, Menteri Besar boleh meminta izin untuk membuat penggulungan selama tiga minit.

“Walau apa pun yang diperintahkan di sini, Tuan Speaker atas pertimbangannya boleh melanjutkan had masa yang ditetapkan mengikut keadaan dan keperluan masa,” katanya lagi.